Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jerebu akibat kebakaran hutan beransur baik di S'pura menjelang F1

Keadaan langit Singapura kelihatan lebih cerah pada Jumaat (20 Sep) dan mutu udara bertambah baik sedang jerebu akibat kebakaran hutan Indonesia berkurangan, sekali gus meredakan kebimbangan bahawa perlumbaan Formula One yang bakal diadakan hujung minggu ini mungkin terjejas.

Anggaran Waktu Membaca:
Jerebu akibat kebakaran hutan beransur baik di S'pura menjelang F1

(Gambar: Feline Lim/Reuters)

Diterbitkan : 20 Sep 2019 03:04PM Dikemas Kini : 20 Sep 2019 03:06PM

SINGAPURA: Keadaan langit Singapura kelihatan lebih cerah pada Jumaat (20 Sep) dan mutu udara bertambah baik sedang jerebu akibat kebakaran hutan Indonesia berkurangan, sekali gus meredakan kebimbangan bahawa perlumbaan Formula One yang bakal diadakan hujung minggu ini mungkin terjejas.

Kebakaran-kebakaran besar di Indonesia mengakibatkan negara-negara jiran seperti Singapura dan Malaysia terjejas oleh jerebu toksik. Pihak berkuasa Jakarta sedang mengerahkan pegawai-pegawai keselamatan dan pesawat bom air untuk memadamkan kebakaran itu.

Kebakaran hutan di Indonesia adalah satu masalah yang berlaku setiap tahun semasa musim kering apabila para petani menggunakan kaedah "tebang dan bakar" untuk membersihkan ladang bagi tujuan pertanian. Bagaimanapun, keadaan tahun ini adalah yang paling teruk sejak 2015.

Jerebu tebal meliputi Singapura sejak hujung minggu lalu, menyebabkan mutu udara berada di paras tidak sihat dan menjejas pemandangan latar langit Singapura. Ini mencetuskan kebimbangan mengenai perlumbaan F1 pada Ahad ini.

Namun, pada Jumaat keadaan cuaca di Singapura rata-rata cerah dan hanya sedikit berjerebu di kawasan bandar. Mutu udara juga bertambah baik dan berada di paras "sederhana" dengan bacaan sekitar 60 pada indeks Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Bacaan antara 101 hingga 200 menandakan mutu udara tidak sihat.
Bagaimanapun, arah tiupan angin masih boleh bertukar menjelang perlumbaan hujung minggu ini dan membawa jerebu kembali ke Singapura.

Menurut para penganjur F1, pihaknya mempunyai pelan luar jangka sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk dan sudah menyiapkan pelitup yang boleh dibeli oleh para penonton.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan