Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

JENGUK KEMBALI 2017: 10 Melayu/Islam S’pura cemerlang dan terbilang

BERITAMediacorp menyingkap kembali 10 kisah kejayaan yang memaparkan anak-anak Melayu/Islam bermotivasi tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Tidak kira apa pun bidang yang diceburi, ramai anak Melayu/Islam Singapura sudah dipaparkan BERITAMediacorp dalam tahun 2017 ini, demi mengungkap pelbagai pencapaian dan kisah menarik mereka.

Dalam laporan berikut, kami singkap kembali 10 kisah kejayaan yang memaparkan anak-anak Melayu/Islam bermotivasi tinggi:

1. HALIMAH YACOB - PRESIDEN WANITA PERTAMA S’PURA

Tahun ini tahun yang bersejarah buat Singapura kerana seorang wanita dipilih menyandang jawatan tertinggi negara. Pada 13 September 2017, Puan Halimah Yacob diisytihar sebagai Presiden kelapan Singapura. Dengan pemilihan beliau sebagai presiden, Puan Halimah Yaacob mencipta sejarah sebagai Presiden wanita pertama Singapura dan Presiden Melayu pertama dalam hampir 47 tahun selepas Encik Yusof Ishak.

Puan Halimah Yacob amat sinonim dengan ungkapan “memecahkan siling kaca”. Beliau pernah menjadi rakyat Singapura pertama dilantik mewakili negara dalam Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Wanita Melayu pertama menjadi Anggota Parlimen (AP) dan Wanita Singapura pertama menjadi Speaker Parlimen.

2. YUSRINA YA’AKOB - WANITA MELAYU S’PURA PERTAMA TAWAN EVEREST

Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya. Itulah yang dibuktikan oleh Cik Yusrina Ya’akob, setelah beliau berjaya menawan Gunung Everest pada bulan Mac tahun ini.

Dengan tekad yang kuat dan berpegang kepada falsafah "Anda bukan menawan gunung itu, tetapi menawan diri anda”, Cik Yusrina menjadi rakyat Singapura pertama yang sampai ke puncak gunung paling tinggi di dunia itu sejak tahun 2009. Lebih manis lagi, beliau juga merupakan wanita Melayu pertama yang menawan Everest!

3. NURUL ADIBAH MOHD YUSOFF - SISWA AL-AZHAR S’PURA HAFAL AL-QURAN DALAM 9 BULAN

Nurul Adibah Mohd Yusoff dinobatkan sebagai pelajar terbaik kohort Singapura yang lulus dari Universiti Al Azhar tahun ini. Ini setelah beliau meraih Ijazah Jayyid Jiddan ala martabat sharaf atau bersamaan dengan Ijazah Kepujian Kelas Kedua (Atas), dari universiti Islam berprestij itu dalam jurusan Shariah Islam.

Yang lebih membanggakan, adalah kejayaan beliau menghafal al-Quran hanya dalam tempoh sembilan bulan! Dengan jadual yang amat padat, menurut beliau, banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukannya. “Biasanya saya akan membahagikan masa. Hafal sedikit dahulu baru mula belajar,” tambah beliau. Ibarat sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit, segala usaha Cik Adibah itu akhirnya menghasilkan segunung hafalan.

4. HANIFA KAHAR - ANAK MELAYU PERTAMA JADI PRESIDEN KELAB PIDATO MANDARIN

Beliau mencipta sejarahnya sendiri setelah dilantik sebagai Presiden Kelab Pidato (Toastmaster) Mandarin, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI). Disebabkan kewibawaannya serta keupayaannya bertutur dalam bahasa Mandarin dengan begitu fasih, anak Melayu/Islam yang seorang ini diberi kepercayaan untuk menerajui kelab pidato tersebut oleh lembaga SCCCI.

Cik Hanifa juga boleh bertutur dalam empat bahasa lain, termasuk 1 bahasa dialek - Melayu, Inggeris, bahasa Indonesia dan juga Hokkien. Malah beliau dan adik-beradiknya hanya berbual dalam dialek Hokkien sejak kecil sehingga sekarang!

5.  MUHAMMAD RIDHWAN - JUARA PERTAMA S'PURA DALAM UBO

Petinju Singapura, Muhamad Ridhwan “The Chosen One” menjadi juara dunia pertama dari Singapura dalam Universal Boxing Organisation (UBO) bagi kategori super-featherweight dunia (58.97kg) pada bulan Mei tahun ini. Beliau kemudian memenangi kejuaraan kelas feather Pertubuhan Tinju Antarabangsa (IBO) pada bulan Oktober. Ini sekaligus mempertahankan rekod tanpa kalah.

“Perasaan saya bercampur-campur sekarang tetapi paling penting adalah saya gembira dan berupaya membuat para peminat bangga, rakyat Singapura bangga dan ia merupakan perasaan yang hebat,” kata Ridhwan.

6.  AMIR KHAN - HEBAT DALAM GELANGGANG

Penggiat seni bela diri campuran Singapura, Amir Khan, pula menjuarai perlawanan tiga pusingan di ONE: DYNASTY OF HEROES pada bulan Mei. Malah pada pusingan pertama beliau sudah ditabalkan sebagai juara setelah membelasah lawannya. Pada bulan September pula Amir Khan sekali lagi bergelar juara. Kali ini di Pusat Sukan Oriental Shanghai. Kemenangan itu adalah kali kelima berturut-turut sejak beliau tewas kepada Shannon Wiratchai pada tahun 2015.

7. RITA ZAHARA - DIIKTIRAF USAHAWAN WANITA 2017

Berdaya bingkas, cekal, tabah dan tidak mudah berputus asa - itulah sikap yang membantu usahawan usahawan wanita, Rita Zahara, mengecap kejayaan dalam dunia perniagaan. Tahun ini, Cik Rita diberi memenangi Anugerah Pulsar, iaitu antara pengiktirafan yang dikeluarkan semasa majlis Anugerah Usahawan Wanita 2017, yang diadakan buat julung-julung kalinya oleh Mediacorp dan syarikat penganjur acara S Auxano.

“Kemenangan ini bagi saya, adalah kemenangan untuk semua usahawan wanita dan saya berharap ia dapat dijadikan inspirasi bagi kaum wanita di luar sana yang mahu menjadi usahawan. Malah, bukan saja wanita tetapi sesiapa saja yang menceburi bidang keusahawanan,” kata Cik Rita.

8. SYAFIK ISKANDAR – MENANG PERTANDINGAN FOTO ANTARABANGSA

Syafik Iskandar Nordin, seorang anak Melayu Singapura muncul di tempat ketiga terbaik dalam pertandingan fotografi antarabangsa. Malah, beliau menduduki tempat ketiga itu dalam kalangan hampir 15,000 penyertaan! Itulah pencapaian membanggakan Syafik Iskandar Nordin, bukan sahaja untuk dirinya, malah juga untuk negara.

Beliau menjulang tempat ketiga dalam kategori "Seni Bina/ Sejarah" bagi Anugerah Fotografi Antarabangsa (IPA) 2017. Gambar yang ‘bertuah’ itu adalah St Peter's Basilica di Vatican City yang sekadar dipetik menggunakan kamera digital biasa saja. Jadi, bukan kamera profesional ribuan atau puluhan ribu dolar yang penting, tapi orangnya.

9. AQILAH FAAIQAH SHAMSURI - GRADUAN PALING CEMERLANG POLITEKNIK REPUBLIC

Lulusan Sekolah Sains Gunaan Politeknik Republic (RP) itu merupakan dalam kalangan enam pelajar sahaja yang menjadi penerima Anugerah Khas RP tahun ini. Setelah lapan tahun menetap di Dubai kepulangannya ke tanah air merupakan satu kejutan budaya. Dalam pada itu, ibunya menghidap barah dan bapanya hilang pekerjaan.

Namun, itu tidak mematahkan semangatnya untuk mengecap kejayaan yang sudah lama diimpikan. Kini, cita-citanya untuk menjadi seorang doktor juga menjadi lebih bermakna. Bagi Aqilah, sebagai seorang anak tunggal, matlamat Aqilah hanya satu - untuk membahagiakan kedua ibu bapanya.

10. DJAMAL TUKIMIN – DINOBATKAN DENGAN ANUGERAH PINGAT BUDAYA 2017

Setelah berkarya selama lebih 50 tahun, sasterawan Melayu Djamal Tukimin dikurniakan Anugerah Pingat Budaya - anugerah tertinggi di negara ini bagi mengiktiraf seseorang seniman.

Sasterawan Djamal Tukimin, sudah menyumbang pelbagai karya sastera sejak tahun 1963 lagi. Ribuan penulisan dihasilkannya, termasuk sekitar 300 sajak, 10 cerpen, dua novel, 70 kertas kerja dan 800 esei merangkumi pelbagai topik termasuk Dakwah dan Teater. Beliau telah memberikan sekitar 120 ceramah sepanjang hayatnya.

Beliau menganggap menjadi tanggungjawab moralnya untuk memberi sumbangan fikiran yang konstruktif dan bermanfaat kepada masyarakat. Ini kerana sastera itu sendiri, menurutnya, adalah saluran untuk menyampaikan mesej-mesej penting.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan