Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jenayah seksual: Hukuman lebih berat 'sangat tepat pada masanya, amat diperlukan', kata Presiden

Keputusan parlimen untuk melanjutkan tempoh hukuman penjara bagi kesalahan seksual, termasuk membuat budak bawah umur melihat gambar lucah, "sangat tepat pada masanya dan amat diperlukan", kata Presiden Halimah Yacob.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Keputusan parlimen untuk melanjutkan tempoh hukuman penjara bagi kesalahan seksual, termasuk membuat budak bawah umur melihat gambar lucah, "sangat tepat pada masanya dan amat diperlukan", kata Presiden Halimah Yacob.

Dalam catatan Facebooknya hari ini (14 Sep), Puan Halimah menyifatkan rogol sebagai jenayah paling keji dan perbuatan memperkosa kanak-kanak kecil terutamanya adalah "zalim" kerana ia menghancurkan masa hadapan mereka sama sekali.

"Ia membuat saya berasa jijik saya setiap kali saya membaca tentang pedofil yang didapati bersalah memperkosa gadis muda yang tidak mampu membela dirinya sendiri, seringkali dalam sekitaran suci rumah mereka sendiri yang sepatutnya menjadi tempat selamat," luah Puan Halimah.

Beliau menekankan padah yang ditanggung mangsa bukan sahaja dari segi fizikal malah juga psikologi dan mungkin menghantui mereka seumur hidup.

"Sedang pedofil yang didapati bersalah dapat bebas setelah menjalani hukumannya, dan jika dia berusia 50 tahun dia bahkan tidak boleh dirotan, anak kecil (yang terjejas) itu terperangkap dalam penderitaan dan penyeksaan yang berlarutan," ungkap Puan Halimah.

Tahun ini sahaja, kata Presiden, tiga pedofil didapati bersalah. Seorang bapa yang merogol anak perempuannya sejak dia berusia tujuh tahun, seorang datuk tiri yang memperkosa cucu tirinya sejak dia berumur sembilan tahun dan seorang pedofil yang merogol budak sekolah perempuan berusia 15 tahun.

"Apa yang lebih menakutkan adalah bagaimana pedofil ini melakukan pengantunan seksual ke atas anak-anak kecil ini. Dalam dua kes pertama itu, mereka menunjukkan bahan-bahan lucah kepada kanak-kanak perempuan kecil tersebut," kata Puan Halimah.

Beliau menarik perhatian bahawa kes-kes yang dilaporkan itu menimbulkan persoalan sama ada kes-kes tersebut hanyalah sebahagian kecil daripada satu masalah yang lebih besar. Menurut Puan Halimah, campur tangan undang-undang berlaku hanya apabila kes rogol dilaporkan.

"Dalam dua kes di atas, perbuatan rogol diketahui hanya apabila bapa itu mencabul kehormatan kawan kepada anak perempuannya dan keluarga mangsa membuat laporan terhadapnya.

"Dalam kes kedua, ia dikesan apabila saudara lelaki budak perempuan itu yang ternampak perbuatan rogol tersebut dan memberitahu keluarga. Dalam satu kes yang dilaporkan lebih awal, mangsa melaporkan dirogol hanya kerana dia takut adik perempuannya juga akan menjadi sasaran," jelas Puan Halimah.

Lantaran itu, tambah beliau, masyarakat perlu menghulurkan sokongan menjangkaui undang-undang untuk melindungi gadis-gadis kecil ini.

"Saya sedar ada beberapa program yang dilaksanakan tetapi saya tidak pasti sejauh mana ia berkesan lebih-lebih lagi apabila pemangsaan seksual berlaku di rumah," kata Puan Halimah.

Presiden berkata pedofil menggunakan kaedah sama iaitu mencetuskan rasa takut, malu, mengugut dan hubungan kekeluargaan untuk menjerat budak perempuan kecil yang dalam kebingungan serta tidak tahu apa yang akan berlaku kepada mereka.

"Kanak-kanak perempuan perlu tahu bahawa ia selamat dan bagus untuk mereka bercakap kepada seseorang tentang tingkah laku orang dewasa yang kurang disenangi mereka dan di mana untuk mendapatkan bantuan," ujar Puan Halimah.

Selain itu, tambah beliau, budak perempuan juga perlu tahu had atau kelakuan yang tidak boleh diterima dalam apa juga keadaan sekalipun. Mereka perlu diberitahu bahawa ia bukan satu larangan untuk mendapatkan bantuan dan mereka tidak akan dipersalahkan kerana mahu melindungi diri sendiri.

"Kemudian, ada topik besar tentang pengantunan seksual dan tingkah laku pemangsa online yang perlu diketahui kanak-kanak. Kita perlu melakukan lebih banyak lagi untuk melindungi anak-anak kita daripada pemangsa seksual," gesa Presiden. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan