Jenaka bangsawan 'Ratu Sanggilagula' disajikan percuma online 19 dan 20 Dis
Manuskripnya dihasilkan 16 tahun lalu. Namun, atas sebab kewangan, ia tidak dapat segera dipentaskan.
SINGAPURA: Manuskripnya dihasilkan 16 tahun lalu. Namun, atas sebab kewangan, ia tidak dapat segera dipentaskan.
Bagaimanapun, dua hari hujung minggu ini, jenaka bangsawan 'Ratu Sanggilagula', hasil naskhah pemenang Anugerah Persuratan, M Saffri A Manaf menemui penonton di YouTube 'Panggung Digital' secara percuma pada 8 malam, Sabtu dan Ahad (19-20 Dis).
Lebih manis lagi, penerbitannya yang diubah bagi pementasan digital, diarah oleh anak M Saffri sendiri, M Fadlin M Saffri.
(Gambar: Saiful Amri Ahmad Elahi)
Mengisahkan tentang permusuhan di antara dua koloni semut - Manismanis Madu dan Batuemas, bangsawan Ratu Sanggilagula menyelitkan mesej kesihatan mengenai kencing manis serta pembelajaran sepanjang hayat. Ini akan disampaikan menerusi syair dan nyanyian lagu.
"Selain kita tunjukkan persembahan lakonan, kemudian nyanyian yang kita tak pernah dengar dan disusun begitu menarik, mereka bukan setakat berlakon. Tapi gerak langkah dengan sendiri mengikut nyanyian dan tarian, kata Encik M Saffri yang berlakon selaku Datuk Memanda Madutiga.
"Saya nak perkenalkan ini dia syair-syair yang dipopularkan zaman Bangsawan dulu oleh tokoh-tokoh Bangsawan. Supaya ini jadi aset untuk generasi sekarang. Kalau mereka tengok ‘Oh rupanya begini ya’," ujarnya.
BANGSAWAN DENGAN ELEMEN-ELEMEN BARU
Jenaka bangsawan ini juga turut menampilkan barisan pelakon lama dan baru. Dalam kalangan bakat muda termasuk Suhaili Safari yang memainkan watak utama selaku Ratu Sanggilagula, Rusydina Afiqah selaku Puteri Kiambang Kembang, Azzy Mozerin yang memegang watak Datuk Bendahara Sukamanis, watak Paduka Kolonel Perakos dimainkan Anwar Hadi Ramli dan Saiful Amrin selaku Datuk Panglima GulaBatu.
Selain M Saffri sendiri, pelakon veteran, Nadiputra juga turut menyerikan persembahan Bangsawan tersebut.
(Gambar: Saiful Amri Ahmad Elahi)
Walaupun tidak biasa berlakon di hadapan layar hijau atau 'green screen', M Saffri memberi jaminan bahawa mutu persembahan yang diberikan para pelakon sama seperti di dalam panggung.
"Kita tak dengar orang tepuk tangan. Jadi sekarang senyap saja. Saya rasa ini satu pembaharuan yang sesuai kerana kita sudah biasa naik atas pentas. Jadi bila kena depan kamera, kita buat sama juga, persembahannya sama," tambahnya.
Bagi Nadiputra yang membawakan watak Raja Kering Maharengue, pula menyifatkan penggunaan layar hijau dalam bangsawan sebagai suatu kecanggihan teknologi dalam berseni.
"Kecanggihan teknologi kini, telah mencorakkan kain rentang hijau yang digunakan juga dengan pemantulan berbagai latar belakang pemandangan dalam bangsawan ini. Pelakon juga mesti penuhi tuntutan unik ini corak bangsawan ini. Nampak mudah tapi tidak, dan tidak boleh diperlekehkan.
"Bangsawan juga satu persembahan teater yang mesti terima pergolakan tuntutan zaman - sekalipun Jenaka Bangsawan yang dipelopori teman saya M Saffri A Manaf," kata Nadiputra.
PEMENTASAN DIHARAP DAPAT DITERIMA GENERASI MUDA
Menerusi pementasan ini, M Saffri berharap dapat menarik generasi muda untuk menghayati warisan budaya bangsawan yang artistik lagi indah.
"Kita buat bukan untuk kita, kita buat untuk kita naikkan warisan kita. Kita mahu supaya generasi baru tengok Bangsawan ini bukan macam lembik, lalai, atau mendayu-dayu. Ia sebenarnya berbagai-bagai," jelas M Saffri.
(Gambar: Saiful Amri Ahmad Elahi)
Menurut pengasas Panggung Digital dan penerbit eksekutif pementasan, Saiful Amri Ahmad Elahi, kos penerbitan bangsawan online itu adalah sekitar S$40,000 - S$50,000. Sebahagiannya disokong oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan PA MESRA.
Memandang ke hadapan, Panggung Digital ingin terus menghasilkan lebih banyak karya yang boleh memartabatkan seni pementasan Melayu di Singapura.
Harapannya untuk menerbitkan pementasan penuh Ratu Sanggilagula satu hari nanti.
Ratu Sanggilagula disajikan secara percuma pada 8.00 malam, 19 dan 20 Dis 2020 di:
- www.youtube.com/c/panggungdigitalsg
- www.facebook.com/panggungdigital
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.