Images
  • makkah11
    (Gambar fail: Mosa'ab Elshamy/AP)

Jemaah umrah 'berulang' perlu bayar levi S$720 jika ingin tunai umrah pada 1439H

BERITAMediacorp: Jika anda sudah melakukan umrah pada tahun Hijrah yang lalu (1438H), dan ingin melakukan umrah lagi pada tahun Hijrah sekarang ini (1439H), anda perlu membayar tambahan 2,000 riyal atau S$720 setiap seorang.

Jadi, jika anda pergi suami isteri, anda mungkin perlu menokok lagi S$1,400 untuk umrah berkenaan. Bermakna, umrah bagi golongan sedemikian menjadi lebih mahal.

Ini kerana Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kini menguatkuasakan bayaran 2,000 riyal untuk jemaah umrah ‘berulang’ seperti itu, berkuatkuasa 12 Oktober 2017.

Persatuan Ejen-ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS), mengesahkan demikian semasa dihubungi BERITAMediacorp hari ini (16 Okt).

Presiden AMTAS, Ustaz Tengku Mohd Fouzy Tengku Mahid Jumat, mendedahkan kepada pihak kami bahawa AMTAS baru dimaklumkan tentang bayaran tambahan tersebut pada minggu lalu.

SUDAH ADA JEMAAH YANG TARIK DIRI

Ustaz TM Fouzy, yang juga merupakan Pengarah Urusan TM Fouzy Travel & Tours, mengatakan bahawa ekoran bayaran tersebut, sudah ada jemaah berkenaan yang menarik diri daripada umrah.

"Bagi pihak saya, 2 orang sudahpun menarik diri. Mungkin dalam satu dua hari ini, akan mendapat lebih banyak maklum balas," katanya lagi kepada BERITAMediacorp.

Ketua AMTAS itu menyifatkan pelaksanaan langkah terbaru itu dilakukan secara “mendadak”. Ini memandangkan tiada pemberitahuan sebelum pelaksanaannya.

"Pengumuman ini datang secara mendadak dan para jemaah juga mungkin tidak dapat membuat persiapan lebih awal.

"Cuma kesannya tidak menyeluruh kerana jemaah yang terjejas pun tidak banyak, mungkin sekadar lima hingga 10 peratus daripada jumlah jemaah yang ada, itu anggaran saya sahaja," jelas Ustaz TM Fouzy kepada BERITAMediacorp.


(Gambar: AMER HILABI / AFP)

JEMAAH ‘BERULANG’ BOLEH TERJEJAS MAKSIMUM 24 BULAN

Secara terperinci, ini bermakna bahawa sebilangan jemaah boleh ‘terhalang’ daripada mengerjakan umrah selama sekurang-kurangnya 24 bulan.

Ini kerana, jika seseorang jemaah sudah mengerjakan umrah pada atau selepas Muharram 1438H, mereka hanya akan ‘bebas’ daripada levi tersebut pada Muharram 1440H (bersamaan dengan September 2018).

Menjelaskan lebih lanjut, Presiden AMTAS itu berkata, bagi ‘jemaah berulang’, tidak kira pada bulan mana seseorang jemaah sudah mengerjakan umrah pada tahun 1438H (awal atau penghujung), dan tidak kira pada bulan mana mereka pergi dalam tahun 1439H, mereka tetap akan dikenakan levi berkenaan.

PERLU BAYAR LEVI 1 BULAN SEBELUM BERANGKAT

Menurut beliau, bayaran tersebut juga perlu dijelaskan sekurang-kurangnya sebulan sebelum para jemaah berangkat bagi menunaikan ibadah umrah.

"Kami memohon visa secara online, paling lewat tiga minggu atau sebulan sebelum mereka berangkat. Visa mereka tidak dapat diproses sekiranya bayaran itu belum dijelaskan," katanya lagi.

Ustaz TM Fouzy turut menasihati para jemaah yang ingin meneruskan dengan pakej umrah mereka untuk membuat bayaran tersebut.

"Kalau mereka tidak mahu membayar, mereka harus batalkan, tetapi tertakluk kepada terma dan syarat pihak-pihak yang mereka berdaftar, kena potongan atau sebagainya," jelasnya.


(Gambar fail: AP/Mosa'ab Elshamy)

PELANGGAN RUNGUT, MENGAPA LEVI BARU TIDAK DIJANGKAKAN

Bagi sebuah lagi ejen pelancongan yang menjalankan umrah, Shahidah Travel & Tours Pte Ltd, peraturan levi yang dikuatkuasakan ini menjadi isu besar yang ia dihadapi sekarang.

"Ada jemaah yang tidak dapat menerima rasional di sebalik peraturan ini dan menyoal mengapa kami tidak menjangkakan keadaan ini. Tetapi ini adalah sesuatu yang baru bagi kami.

"Tiada siapa yang dapat menjangkakannya. Peraturan ini adalah di luar jangkaan kami,” jelas Pengarah Urusannya, Ayob Angullia, kepada BERITAMediacorp.

Bagi pihak ejen haji seperti Shahidah Travel, ini juga bermakna pertambahan kos dalam mengendalikan operasi umrah. Menurutnya lagi, dua orang pegawai dan seorang jemaahnya yang dijangka berangkat Oktober ini terjejas oleh perubahan itu.

"Kami masih sedang memeriksa satu persatu jemaah, kumpulan demi kumpulan bagi 26 kumpulan yang bakal berangkat dalam tahun 1439H, iaitu sebanyak 1,000 jemaah. Setakat ini, kami belum mendapat keputusan penuhnya lagi," katanya kepada BERITAMediacorp.

Langkah mengenakan levi 2,000 riyal itu pertama kali diumumkan pada Ogos tahun lalu (2016) oleh kerajaan Saudi. Kabinet negara itu membuat keputusan tersebut berdasarkan saranan Kementerian Kewangan serta Kementerian Ekonomi dan Perancangan bagi meningkatkan hasil bukan minyak di negara itu.

Namun pada Disember tahun lalu (2016), pihak berkuasa Saudi membatalkan bayaran 2,000 riyal itu.

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAMediacorp/im

Top