Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jemaah S'pura sedang sertai lebih 2 juta jemaah haji berwukuf di Arafah

900 jemaah haji Singapura kini (10 Ogos) menyertai lebih 2 juta jemaah haji dari merata dunia yang sedang mengerjakan ibadah berwukuf di padang Arafah, bermula sekitar 5.00 petang waktu Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: 900 jemaah haji Singapura kini (10 Ogos) menyertai lebih 2 juta jemaah haji dari merata dunia yang sedang mengerjakan ibadah berwukuf di padang Arafah, bermula sekitar 5.00 petang waktu Singapura.

Mereka tiba di Arafah pada malam semalam waktu tempatan untuk memulakan kemuncak ibadah haji tahun ini, tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Menurut Ketua Delegasi Haji Singapura Dr Albakri Ahmad, perjalanan ke Arafah malam semalam amat lancar dan semua jemaah haji tempatan berada dalam keadaan selamat.

Para jemaah haji berdoa di Arafah pada 10 Ogos 2019 (Gambar: AFP/Fethi Belaid)

Para jemaah berdoa di Arafah (Gambar: AFP/Fethi Belaid)

Buat julung-julung kalinya tahun ini, para jemaah haji Singapura dapat menikmati peningkatan perkhidmatan di Arafah dan Mina yang lebih selesa daripada tahun-tahun sebelumnya.

Hasil peningkatan perkhidmatan pihak muasasah di Arab Saudi, khemah-khemah para jemaah haji Singapura tahun ini, lebih baik dan lebih luas dengan keselesaan para jemaah menjadi keutamaannya.

Kini ada tilam untuk setiap jemaah dan keadaan khemah yang tinggi melancarkan lagi aliran udara.

Selain khemah-khemah berhawa dingin bagi mengatasi suhu cuaca di Saudi yang melebihi 40 darjah selsius, peningkatan perkhidmatan di Arafah dan Mina kali ini, turut menyertakan hidangan makanan buffet untuk para jemaah.

Kalau dulu hanya makanan-makanan paket, kini para jemaah Singapura dapat menikmati makanan segar yang dihidangkan langsung.

"Keadaan di sini tidak berapa panas dan makanan yang ada semua Alhamdulilah semuanya teratur. Walaupun nampaknya ramai tapi semuanya sempurna," kongsi Encik Mohammed Othman, seorang jemaah haji Singapura.

(Gambar: Ihsan pembaca BERITAmediacorp)

(Gambar-gambar: Ihsan pembaca BERITAmediacorp)

Para jemaah haji Singapura mula berangkat dari penginapan masing-masing di Shisha dan Makkah selepas solat Jumaat semalam dan tiba di Arafah menjelang malam.

Selepas bermalam di Arafah malam semalam (9 Ogos), mereka mengerjakan ibadah wukuf tepat pada Zohor tadi, waktu Saudi.

(Gambar: Ihsan pembaca BERITA Mediacorp)

Para jemaah haji akan meninggalkan Arafah selepas Maghrib untuk meneruskan perjalanan ke Muzdalifah untuk mengutip batu.

Selepas tengah malam nanti, barulah mereka akan menuju ke Mina sebelum membuat lontaran pertama, Jamrah Aqaba.

Esok pagi, para jemaah haji di Saudi juga akan menyambut Hari Raya Aidiladha seperti masyarakat Islam di Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan