Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jemaah S'pura mula ikuti kursus umrah menerusi kaedah VR - Realiti Maya

 Sekitar 150 jemaah umrah Singapura hari ini (15 Dis) menjadi yang pertama di negara ini untuk mengikuti kursus umrah menggunakan teknologi Realiti Maya atau VR.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sekitar 150 jemaah umrah Singapura hari ini (15 Dis) menjadi yang pertama di negara ini untuk mengikuti kursus umrah menggunakan teknologi Realiti Maya atau VR.

Dengan menggunakan gogal VR, para jemaah dapat merasa dengan lebih realistik rutin mengerjakan umrah seperti bertawaf, bersa'i serta menikmati suasana di hadapan Kaabah - sebelum mereka menjejakkan kaki di Tanah Suci Makkah.

BERITAmediacorp meninjau bagaimanakah teknologi VR itu digunakan, apakah manfaatnya dan apa kata para jemaah umrah setelah mengikuti sesi sulung kursus umrah VR itu.

KAEDAH MANASIK UMRAH TERBARU

Jika sebelum ini teknologi VR lazimnya digunakan dalam permainan komputer dan sebagainya, kini ia juga dimanfaatkan sebagai alat pendidikan agama.

Bakal-bakal jemaah umrah Shahidah Travel & Tours yang menghadiri taklimat umrah di Masjid Sultan pagi tadi, dapat melihat sendiri bagaimana teknologi VR itu membawa mereka terus ke Makkah dan berdiri di hadapan Kaabah.

Petikan gambar dari video. 

Petikan gambar dari video VR. (Video: Shahidah Travel)

Ini merupakan kaedah manasik umrah terbaru diperkenalkan oleh Shahidah Travel dan dijangka diperkenalkan juga kepada bakal-bakal jemaah hajinya pada masa depan.

150 bakal jemaah umrah itu adalah kohort pertama yang melalui kursus umrah VR itu dan dijadual berangkat ke Arab Saudi pada Januari dan Februari tahun depan.

DAPAT LIHAT DALAM KAABAH

Istimewanya taklimat umrah mereka kali ini, adalah mereka dapat menimba pengalaman dengan penuh realistik seolah-olah berada di Masjidil Haram.

Tambah menarik lagi, para jemaah juga dapat 'masuk' ke dalam Kaabah dan melihat ruang di dalamnya dalam gambaran tiga dimensi (3D). Jika tidak kerana VR, entah bila agaknya kita-kita ini dapat dijemput masuk. Ini kerana hanya orang-orang VVIP tertentu yang diberi peluang tersebut.

Pengurus Shahidah Travel, Cik Hairani Aznor, memberitahu BERITAmediacorp bahawa manfaat yang diraih daripada penggunaan teknologi VR itu bermanfaat bagi kedua-dua syarikat dan juga bakal jemaah.

"Kami rasakan dengan adanya VR lebih mudah untuk kami melakukan kelas dan mengajar para jemaah sebab bila jemaah Shahidah melakukan umrah ada yang pertama kali. Sebelum ini sewaktu kelas kita gunakan sekadar video atau gambar untuk mengajar. Jadi sekarang dengan VR pengalamannya lebih 'immersive' (mendalam)," kata Cik Hairani.

(Gambar: BERITAmediacorp)

JEMAAH SAMBUT BAIK KERANA VR BERI GAMBARAN LEBIH JELAS

Pengalaman kursus umrah lebih interaktif itu ternyata disambut baik para jemaahnya, khususnya jemaah kali pertama, seperti Cik Faezah Hasan, 48 tahun.

"Kita boleh lihat persekitaran itu, macam mana dia punya bayangan itu. Alhamdulillah. Saya rasa sangat membantulah," kata beliau yang akan berangkat menunaikan ibadah umrah pada 2 Januari nanti.

Bagi Encik Mohamed Ali Rahmat pula, walaupun pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi melaksanakan ibadah haji, pengalaman belajar menerusi teknologi VR itu sesuatu yang baru bagi dirinya. Malah beliau berharap usaha ini diteruskan.

"Saya sarankan di masa hadapan jika kursus umrah atau haji digunakan seperti ini jadi mempermudahkan bagi para jemaah. Dan juga akan lebih faham tentang kaedah dan perjalanan haji atau umrah," kata beliau.

Shahidah Travel memberitahu BERITAmediacorp, ia mengambil masa enam bulan untuk mengusahakan sendiri projek inovatif manasik umrah VR ini, yang menurutnya juga, mungkin yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Inisiatif itu tercetus setelah mendapati tidak ada mana-mana syarikat pengendali umrah dan haji lain yang sudah memanfaatkan teknologi sedemikian.

Syarikat itu juga memanfaatkan geran Pemerintah sebanyak $40,000, yang menyokong daya usaha teknologi dan digitalisasi seperti ini.

(Gambar: BERITAmediacorp)

"Shahidah Travel sebagai agensi pertama untuk memulakan VR ini kami ingin menggalakkan GSA yang lain untuk sama-samalah mengikuti perkembangan dan memberi jemaah lebih banyak pengalaman melalui platform digital," tambah Cik Hairani.

MAHU PERLUAS VR BAGI KHIDMAT WISATA

Bagi para jemaah yang ingin mencuba sendiri kursus umrah VR itu secara orang perseorangan, mereka boleh datang ke pejabat Shahidah Travel.

Shahidah Travel turut mendedahkan bahawa teknologi VR seperti itu juga akan ia gunakan untuk khidmat pelancongan ke negara-negara lain seperti Jepun tidak lama lagi.

"Perancangan masa hadapan kami adalah untuk menggunakan teknologi VR ini juga untuk wisata, di mana sebelum jemaah dapat ke destinasi idaman mereka, mereka dapat sedikit 'teaser' (bayangan), apa yang mereka boleh jangkakan semasa di sana. Jadi akan membuat mereka lebih ghairah untuk pergi," ujar beliau.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Dengan teknologi VR dimanfaatkan oleh syarikat pelancongan, siapa tahu, pada masa akan datang anda mungkin boleh 'berjalan-jalan' ke beberapa destinasi percutian terlebih dahulu sebelum memutuskan yang mana satu ingin dituju. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan