Images
  • jem westgate malls
    Pusat beli-belah JEM dan Westgate (Gambar: Google Street View) 

JEM, Westgate ditutup 2 minggu; disyaki berlaku 'penularan berterusan' COVID-19

SINGAPURA: Pusat beli-belah JEM dan Westgate akan ditutup kepada orang ramai selama dua minggu bermula hari ini (23 Mei), di tengah-tengah kemungkinan berlaku "penularan berterusan" COVID-19 dalam kalangan pengunjung, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Sebanyak 10 kes jangkitan COVID-19 baru-baru ini dikaitkan dengan pusat beli-belah itu, dengan empat daripadanya dikesan menerusi operasi saringan khas MOH.

Awal minggu ini, MOH menawarkan ujian COVID-19 secara percuma kepada sesiapa yang mengunjungi pusat beli-belah JEM atau Westgate di Jurong antara 10 dengan 14 Mei. Secara berasingan, aturan sedemikian juga dibuat untuk menguji para kakitangan di sana.

Kedua-dua pusat beli-belah tersebut akan ditutup sehingga 6 Jun untuk memutuskan sebarang rantaian jangkitan yang mungkin wujud dan membolehkan kedua-dua premis untuk dibersihkan secara menyeluruh, menurut kementerian itu pada Sabtu (22 Mei).

Orang ramai masih boleh mengakses Hospital Ng Teng Fong melalui Westgate dan menara-menara pejabat di lokasi-lokasi tersebut akan terus dibuka.

Dalam kalangan kes baru jangkitan tempatan COVID-19 semalam, dua pesakit mengunjungi pusat beli-belah Westgate. Kedua-dua kes itu bagaimanapun belum dapat dikesan punca jangkitannya.

Mereka dikesan ketika menjalani ujian yang ditawarkan kepada para pengunjung pusat beli-belah tersebut.

Salah satu daripadanya ialah seorang lelaki rakyat Singapura berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pengurus gudang Sony Electronics. Beliau menjalani ujian swab COVID-19 pada 21 Mei dan mula demam pada malam itu.

Beliau sudah divaksin sepenuhnya dan menerima dos keduanya pada 21 Mei.

Seorang lagi pesakit yang tidak terkait dengan kes-kes sebelumnya bekerja sebagai penolong dapur Fun Toast di Westgate Tower. Warga Malaysia berusia 24 tahun itu mula mengalami anosmia atau hilang deria bau pada 19 Mei dan diuji selepas beliau mengunjungi sebuah klinik.

PARA PENGUNJUNG DIGESA PANTAU KESIHATAN

Sesiapa saja yang mengunjungi Westgate dan JEM sejak 10 Mei dinasihati supaya memantau kesihatan masing-masing dengan teliti selama 14 hari dari tarikh kunjungan mereka.

Sebelum ini, MOH menyatakan bahawa dari 19 Mei hingga 1 Jun, sesiapa saja yang mahu menjalani ujian swab boleh menelefon atau menempah slot janji temu di Pusat Ujian Fullerton Heath yang ditempatkan di Szechuan Court di pusat beli-belah Raffles City.

Mereka juga boleh mengunjungi Hospital Raffles di 585 North Bridge Road atau Raffles Medical di Shaw Centre Orchard.

Orang ramai boleh menempah slot janji temu di pusat-pusat saringan daerah berikut:

  • Jurong Club House, 11 Jurong Town Hall Road
  • Bangunan lama Sekolah Rendah Da Qiao, 8 Ang Mo Kio Street 54
  • Bangunan lama Sekolah Menengah Shuqun, 450 Jurong East Street 21
  • Bangunan lama Sekolah Rendah Coral, 20 Pasir Ris Street 51
  • Bangunan lama Sekolah Menengah Bishan Park, 2 Sin Ming Walk

Orang ramai juga boleh menelefon lebih awal untuk menempah slot janji temu di sebarang Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) merata negara yang menawarkan khidmat Swab dan Hantar Pulang (SASH).

LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/AY/SU/tq

Top