Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jejambat PIE runtuh: Rekahan dikesan 3 kali sebelum runtuh

Pada awal pagi 14 Jul 2017, struktur jejambat sedang dibina di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) runtuh, meragut nyawa seorang pekerja binaan manakala 10 lagi cedera. 

Anggaran Waktu Membaca:
Jejambat PIE runtuh: Rekahan dikesan 3 kali sebelum runtuh

Jurutera mengaku tahu kesilapan rekaan, rekahan struktur sebelum kemalangan. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 01 Aug 2019 05:56PM Dikemas Kini : 01 Aug 2019 05:58PM

SINGAPURA: Pada awal pagi 14 Jul 2017, struktur jejambat sedang dibina di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) runtuh, meragut nyawa seorang pekerja binaan manakala 10 lagi cedera.

Sebulan sebelum kejadian itu para pekerja syarikat binaan Or Kim Peow (OKP) Contractors sedar akan keretakan di bahagian struktur sokongan jejambat itu namun, tidak memaklumkannya kepada jurutera projek berkenaan Encik Robert Arianto Tjandra.

Bahkan, terdapat beberapa tanda amaran sebelum tragedi tersebut.

Apabila keretakan dikesan buat kali kedua, Encik Tjandra mengarahkan pemeriksaan dilakukan. Beliau mendapat tahu tentang kesilapan pada reka bentuk awal sesangga - iaitu pendakap yang membantu menyokong struktur jejambat tetapi tidak memaklumkannya kepada OKP.

Pada hari insiden itu, jurutera projek tersebut mengesan rekahan pada sesangga di bahagian jejambat terjejas dan mengirimkan gambar keretakan itu kepada pengarah projek tersebut, tetapi mereka tidak menghentikan kerja-kerja binaan.

Pihak pendakwa membentangkan kes itu dalam perbicaraan terhadap OKP dan tiga lagi individu yang dituduh berhubung peranan mereka dalam kejadian jejambat PIE yang runtuh di Upper Changi pada tahun lalu. Perbicaraan di mahkamah bermula Khamis (1 Ogos).

TUDUHAN TERHADAP SYARIKAT BINAAN DAN TIGA LELAKI

Tiga lelaki yang mencabar tuduhan-tuduhan itu ialah: Tjandra, 46 tahun, yang berkhidmat bagi konsultan CPG dan berperanan sebagai individu yang bertauliah bagi reka bentuk dan penyeliaan projek itu; Wong Kiew Hai, 31 tahun, jurutera projek OKP dan Pengarah Projek OKP Yee Chee Keong, 49 tahun.

Tjandra menghadapi jumlah tuduhan paling banyak - empat tuduhan di bawah Akta Kawalan Binaan dan satu tuduhan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja.

Wong dan Yee masing-masing didakwa atas tuduhan membahayakan keselamatan orang lain di bahagian jejambat yang roboh - antara tiang 40 dan 41 - apabila mereka menyedari keretakan di sesangga pada hari insiden namun gagal menghentikan semua kerja.

Kedua-dua lelaki juga dituduh cuba menghalang proses keadilan dengan memadamkan komunikasi di Whatsapp antara mereka berdua, yang mengandungi gambar keretakan di sesangga di tiang 40 dan 41.

Syarikat binaan OKP yang dilantik Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pula menghadapi satu tuduhan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja kerana gagal mengambil langkah-langkah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para pekerja yang bekerja di atas struktur itu pada hari kejadian tersebut. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan