Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jejak jalan ke Geylang Serai hasrat bantu masyarakat buat pilihan makanan lebih sihat

Jika anda berada di Pusat Penjaja Makanan Geylang Serai, anda tentu sekali tidak sabar menikmati pelbagai hidangan enak di sana.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika anda berada di Pusat Penjaja Makanan Geylang Serai, anda tentu sekali tidak sabar menikmati pelbagai hidangan enak di sana.

Tidak kira nasi beriani mahupun nasi ayam, semuanya kelihatan lazat-lazat belaka.

Namun berbeza sedikit bagi sekumpulan pengunjung hari ini (16 Feb).

Sekitar 25 peserta mempunyai misi yang lebih penting - mencari makanan lebih sihat dan rendah kalori.

Malah, menggalak pilihan makanan lebih sihat dalam membina masyarakat cergas dan berilmu menjadi tumpuan program jejak jalan di Pusat Penjaja Makanan Geylang Serai.

Ia juga diadakan sebagai sebahagian daripada projek akar umbi anjuran bersama Team Health SG dan Masjid Yusof Ishak.

Program akar umbi keempat Projek 'Aafiyah anjuran Team Health SG dan Masjid Yusof Ishak itu juga bertujuan mendidik orang ramai tentang gaya hidup lebih sihat.

PESERTA TUNJUK PENINGKATAN POSITIF

Kini mencecah bulan keempat, program enam bulan ini sudah menampakkan kesan positif dalam kalangan pesertanya.

Seorang peserta yang sudah menyertai selama tiga bulan, Cik Ainsah Saaini, berkata: "Kami memilih banyak buah-buahan, sayur-sayuran dan apabila kami di pusat penjaja, kami akan memilih makanan yang lebih berkalori rendah dan bijirin penuh."

"Kita dapat belajar cara sediakan makanan dan terutama sekali bersedia untuk beribadah dalam keadaan yang sihat," kata suaminya, Encik Muhd Taufik Abdul Jalil.

Inisiatif Projek 'Aafiyah yang juga disokong CLF Labs dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) turut menggalak amalan gaya hidup sihat sambil mengeratkan talian kekeluargaan.

JEJAK JALAN STRATEGI TANGANI CABARAN MAKAN DI LUAR

Memandangkan 60 peratus rakyat Singapura makan di luar sekurang-kurangnya empat kali seminggu, penting bagi pengguna memilih makanan sihat di luar.

Penganjur program dari Team Health SG, Cik Nurliyana Daros berkongsi: "Bila kita sibuk, kita tak tahu macam mana nak terapkan makanan sihat.

"Jadi kami fikir ia adalah satu strategi yang baik, yang kami boleh terapkan dan bentangkan kepada peserta pilihan yang luas dari segi makanan dan juga sebenarnya mudah dipraktikkan dalam hidup seharian mereka."

TURUT ANJURKAN PROGRAM KECERGASAN

Projek 'Aafiyah juga menerapkan ilmu kecergasan melalui program 'walkathon' dan latihan litar sejak empat bulan lalu.

(Gambar: Team Health SG/ Instagram)

Jelas, hasilnya agak ketara.

"Kalau sekarang saya bangun, dah tak malas, terus rasa segar kerana saya sudah mulakan rutin.

"Setiap pagi saya harus berlari-lari anak sekeliling blok saya, itu yang membuatkan saya berasa lebih cergas, segar," jelas peserta 55 tahun, Encik Azimi Attan.

SULAMKAN UNSUR KEROHANIAN DEMI KESIHATAN

Menganjurkan program dengan tema berlainan setiap bulan, unsur kerohanian turut disulamkan dalam menangani masalah kesihatan di masa hadapan.

Ketua Jabatan Dakwah, Masjid Yusof Ishak, Ustaz Muhd Aiman Abdul Khalid berkata: "Selain daripada mereka belajar tentang ilmu agama dan sebagainya, kita juga memberi penekanan yang penting untuk kesihatan tubuh mereka.

"Jadi kita nak kurangkan lagi risiko-risiko bagi orang Melayu/Islam daripada mengalami penyakit-penyakit kronik dalam masyarakat kita insya-Allah."

Pihak penganjur juga melahirkan harapan usaha gaya hidup sihat ini dapat diperkukuhkan dengan kerjasama masjid dan pertubuhan lain pada masa akan datang.

Program hari ini juga menyertakan demonstrasi masakan oleh pakar pemakanan di HPB.

Ini termasuk memberi petua seperti menggantikan santan dengan susu rendah lemak serta memilih cara membakar berbanding menggoreng. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan