Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jawatankuasa Tiga Pihak akan kaji keselamatan, kesihatan tempat kerja

Meskipun kadar kematian di tempat kerja sudahpun mencatat rekod paling rendah sekarang, negara ini masih di belakang negara-negara lain dan perlu lebih giat bertindak untuk memastikan keadaan tempat kerja yang selamat dan sihat.

Anggaran Waktu Membaca:
Jawatankuasa Tiga Pihak akan kaji keselamatan, kesihatan tempat kerja
Diterbitkan : 05 Mar 2018 10:37PM Dikemas Kini : 05 Mar 2018 10:39PM

SINGAPURA: Meskipun kadar kematian di tempat kerja sudahpun mencatat rekod paling rendah sekarang, negara ini masih di belakang negara-negara lain dan perlu lebih giat bertindak untuk memastikan keadaan tempat kerja yang selamat dan sihat bagi para pekerja, kata Menteri Negara Tenaga Manusia Sam Tan di Parlimen hari ini (5 Mac).

Encik Tan turut mengumumkan penubuhan jawatankuasa tiga pihak Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) yang baru semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Jawatankuasa Strategi Tiga Pihak WSH2028 akan melakarkan rancangan menyeluruh bagi pembangunan WSH sepanjang 10 tahun akan datang. Ia akan dipengerusikan oleh Encik John Ng, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan LNG Singapura yang juga seorang Anggota Majlis WSH.

WSH2028 akan mengambil alih WSH2018 yang ditubuhkan 10 tahun lalu dengan tujuan mengurangkan kadar kecederaan maut di tempat kerja dari 2.8 bagi setiap 100,000 pekerja pada 2008 kepada 1.8 tahun ini.

"Kita masih boleh melakukan lebih banyak lagi. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, kita harus berusaha untuk menyediakan para pekerja dengan tempat kerja yang merupakan antara yang paling selamat dan sihat di dunia," tambahnya.

Jawatankuasa itu akan mengkaji lima bidang luas berhubung keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Ia akan meneliti cara memperkukuh pemilikan WSH dalam kalangan syarikat-syarikat dan para pekerja serta mengkaji bagaimana ia boleh mempengaruhi semua pekerja untuk lebih komited terhadap gerakan tersebut.

Ia juga akan melihat bagaimana untuk meningkatkan integrasi antara keselamatan dengan kesihatan di tempat kerja, serta mendalami keupayaan WSH syarikat-syarikat dan para pekerja.

Selain itu, ia akan mengukuhkan kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan yang berbeza bagi menggalak dan mengukuhkan lagi tingkah laku WSH yang positif dan menyemak semula rejim kawal selia bagi memastikan ia tetap berkesan tanpa beban berlebihan kepada syarikat-syarikat yang mematuhinya.

Jawatankuasa tersebut akan mula bertugas pada April ini dan merancang untuk menyerahkan laporannya dalam masa setahun.

Selain menjadikan tempat kerja lebih selamat dan sihat, Encik Tan juga bercakap tentang usaha menjadikannya lebih mesra usia.

Beliau mengumumkan bahawa satu Jawatankuasa Tiga Pihak mengenai Amalan Tempat Kerja yang Mesra Usia sudahpun dibangunkan dan akan berkongsi lebih lanjut mengenainya apabila ia dilancarkan bulan depan.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan