Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jawatankuasa Semakan Keselamatan Data Sektor Awam adakan mesyuarat pertama

Sebuah jawatankuasa yang ditugaskan untuk menyemak amalan perlindungan data semua sektor perkhidmatan awam mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini (18 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Apr 2019 08:07PM Dikemas Kini : 18 Apr 2019 11:01PM

SINGAPURA: Sebuah jawatankuasa yang ditugaskan untuk menyemak amalan perlindungan data semua sektor perkhidmatan awam mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini (18 Apr).

Jawatankuasa Semakan Keselamatan Data Sektor Awam dibentuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong bulan lalu untuk melihat bagaimana Pemerintah menjamin keselamatan dan melindungi data warga di semua peringkat, termasuk peranan vendor serta pihak-pihak ketiga lain yang diberi izin. Ia dijangka menyerahkan saranan-saranannya menjelang 30 November ini.

Jawatankuasa tersebut dibentuk berikutan siri pelanggaran keselamatan siber dan insiden kebocoran data dalam institusi-institusi jagaan kesihatan Singapura sepanjang tahun lalu termasuk maklumat lebih 14,000 pesakit HIV dibocorkan di online.

Di mesyuarat pertama tersebut, jawatankuasa itu menyemak kejadian kebocoran data yang lalu dan membincangkan pendekatan yang diambil yang diambil negara lain. Demikian menurut kenyataan media Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO). Jawatankuasa itu turut membincangkan pendekatan luas untuk meningkatkan keselamatan data supaya Pemerintah boleh menggunakan data untuk memberi perkhidmatan serta menjalankan pembangunan rancangan dan dasar.

Dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean, jawatankuasa 10 anggota itu terdiri daripada kedua-dua menteri dan karyawan sektor swasta yang mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan data serta teknologi.

Menteri-menteri lain yang duduk dalam jawatankuasa itu termasuk Dr Vivian Balakrishnan, Encik S Iswaran, Encik Chan Chun Sing dan Dr Janil Puthucheary, yang semuanya terlibat dalam inisiatif Negara Bijak Singapura.

Barisan anggota bukan pemerintah ialah: Professor Anthony Finkelstein, ketua penasihat saintifik bagi keselamatan nasional kerajaan United Kingdom; David Gledhill, ketua pegawai maklumat DBS, Ho Wah Lee, pengerusi Ensign Infosecurity Lee Fook Sun dan Ketua Pegawai Eksekutif Optum Sir Andrew Witty.

Menurut SNDGO, jawatankuasa tersebut turut menerima sokongan sebuah pasukan bertindak terdiri daripada para pegawai awam dari semua sektor Pemerintah.

Jawatankuasa itu juga akan berunding dengan kumpulan pakar berasingan tujuh anggota yang dipilih berdasarkan pengalaman serta kepakaran mereka dalam teknologi digital dan perlindungan data, tambah SNDGO.

Meskipun jawatankuasa itu dijadual membentangkan saranannya pada 30 Nov, SNDGO menyatakan, Pemerintah mungkin mengumumkan langkah keselamatan data yang boleh dilaksanakan lebih awal.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan