Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jawatankuasa Perikatan Tiga Pihak sasar muktamad saranan bagi undang-undang antidiskriminasi jelang 2022

Jawatankuasa Perikatan Tiga Pihak merancang untuk memuktamadkan saranan-saranan bagi menjadikan garis panduan tentang antidiskriminasi di tempat kerja sebagai undang-undang menjelang separuh pertama 2022, umum Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Koh Poh Koon di Parlimen pada Selasa (14 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Sep 2021 06:17PM Dikemas Kini : 14 Sep 2021 10:05PM

SINGAPURA: Jawatankuasa Perikatan Tiga Pihak merancang untuk memuktamadkan saranan-saranan bagi menjadikan garis panduan tentang antidiskriminasi di tempat kerja sebagai undang-undang menjelang separuh pertama 2022, umum Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Koh Poh Koon di Parlimen pada Selasa (14 Sep).

Selepas itu, pemerintah akan menimbangkan saranan-saranan tersebut dan sekiranya diterima, ia akan digubal sebagai undang-undang.

Dr Koh berkata demikian semasa menjawab pertanyaan para Anggota Parlimen tentang menjadikan garis panduan sedia ada Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) sebagai satu undang-undang baru.

"Pendekatan rakan-rakan tiga pihak dalam mempertingkatkan keadilan di tempat kerja adalah satu perjalanan yang berjaya sejauh ini," kata Dr Koh sambil menambah bahawa amalan-amalan sumber manusia para majikan di sini sudah "meningkat dengan ketara" sejak TAFEP ditubuhkan pada 2006.

"Ini adalah pendekatan yang betul. Daripada tergesa-gesa untuk menjadikannya sebagai satu undang-undang baru, rakan-rakan tiga pihak menyedari bahawa pendidikan untuk memupuk norma-norma dan nilai-nilai yang betul di tempat kerja adalah tugas yang paling asas dan utama.

"Kami tidak mahu proses itu menjadi undang-undang yang berbentuk konfrontasi. Adalah lebih baik sekiranya sebarang pertikaian dapat dileraikan secara berbaik-baik," kata beliau.

Sedang Singapura "secara bertahap-tahap" mempergiatkan usahanya menerusi pendidikan dan penguatkuasaan, negara ini juga sudah membangunkan Garis Panduan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif.

"Sebahagian besar" majikan mematuhi garis panduan itu, kata Dr Koh.

Beliau menambah bahawa sekitar dua pertiga kes yang diadukan "tidak berasas" dengan sebahagian besarnya merupakan salah faham yang kemudian berhasil dileraikan.

BAGAIMANA PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG BOLEH MEMBANTU

Penggubalan undang-undang boleh memperluaskan huraian sedia ada, yang boleh memanfaatkan para majikan dan pekerja, jelas Dr Koh.

"Bagi para pekerja, huraian-huraian sedemikian boleh memberikan mereka penyelesaian secara langsung berbanding melalui tindakan penguatkuasaan terhadap majikan," kata beliau.

"Bagi para majikan, pembatasan keistimewaan pas kerja mereka, yang membawa kesan besar terhadap operasi perniagaan, mungkin bagi sesetengah kes, tidak seimbang dengan pelanggaran yang dilakukan mereka."

Beliau turut menarik perhatian bahawa sekalipun dengan faktor-faktor penguranan, tiada hukuman alternatif yang menyediakan "pendekatan yang lebih seimbang".

Dr Koh juga menambah bahawa Jawatankuasa Perikatan Tiga Pihak mengenai Keadilan di Tempat Kerja akan mengkaji bagaimana Singapura boleh mengelakkan budaya yang cenderung membuat tuntutan di tempat kerja.

"Kita seharusnya mempunyai proses tuntutan di mana pengantaraan adalah langkah pertama dan perlu manakala tribunal pula adalah ikhtiar terakhir," kata beliau sambil menambah bahawa ia "berjalan lancar" sejauh ini bagi kes-kes berhubung gaji dan dibuang kerja secara tidak adil.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan