Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jawatankuasa perbatasan sempadan maritim S'pura-M'sia adakan mesyuarat pertama

Sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan untuk membincangkan perbatasan sempadan perairan antara Singapura dengan Malaysia, mengadakan pertemuannya yang pertama dan dianggap sebagai "perbincangan membina".

Anggaran Waktu Membaca:
Jawatankuasa perbatasan sempadan maritim S'pura-M'sia adakan mesyuarat pertama

Barisan anggota jawatankuasa perbatasan sempadan maritim S'pura-M'sia. (Gambar: High Commission of Malaysia, Singapore/Facebook)

Diterbitkan : 16 May 2019 12:35AM Dikemas Kini : 16 May 2019 12:39AM

SINGAPURA: Sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan untuk membincangkan perbatasan sempadan perairan antara Singapura dengan Malaysia, mengadakan pertemuannya yang pertama dan dianggap sebagai "perbincangan membina". Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Rabu (15 Mei).

Jawatankuasa tersebut, yang ditubuhkan berikutan mesyuarat antara menteri ehwal luar kedua-dua negara pada Mac, berhimpun di Singapura pada Isnin bagi mesyuarat tersebut.

Mesyuarat itu dipengerusikan secara bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Ehwal Luar Singapura, Chee Wee Keong, dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia, M Shahrul Ikram Yaakob.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu malam, Kementerian Ehwal Luar Malaysia menyatakan jawatankuasa itu bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil untuk "menangani aspek undang-undang dan teknikal perbatasan".

Jawatankuasa kecil itu akan dipimpin oleh Ketua Pengarah Jabatan Ehwal Maritim Kementerian Ehwal Luar Malaysia dan Ketua Pengarah Divisyen Ehwal Antarabangsa Pejabat Peguam Negara Singapura.

Semasa mesyuarat itu, Jawatankuasa tersebut juga bersetuju dengan mengadakan "modaliti praktikal untuk agensi-agensi operasi demi mengelakkan kejadian yang tidak diingini di lapangan".

"Kedua-dua Malaysia dan Singapura bertekad untuk menyelesaikan isu sempadan maritim dan bersetuju dengan format mesyuarat yang dijadualkan untuk memastikan kemajuan berterusan dalam perkara tersebut," kata kementerian itu.

"Dengan penubuhan Jawatankuasa bagi Perbatasan Sempadan, semua cadangan di bawah Kumpulan Kerja - yang ditubuhkan pada 8 Januari 2019 oleh para Menteri Luar Malaysia dan Singapura - sudahpun berjaya dilaksanakan."

"Kedua-dua perwakilan mengadakan perbincangan yang membina mengenai perbatasan sempadan maritim yang memberikan dasar baik untuk rundingan lanjut," menurut jurucakap MFA sebagai respons kepada pertanyaan CNA.

"Mesyuarat seterusnya akan diadakan di Malaysia."

Awal dari itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura membuat catatan di Facebook dengan menyatakan bahawa mesyuarat tersebut diadakan "dengan jayanya".

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan