Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jawatankuasa PBB perbaharui gesaan kesamarataan jantina di S'pura

Sebuah jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Singapura untuk menggubal satu takrifan dan melarang semua bentuk diskriminasi terhadap wanita.

Anggaran Waktu Membaca:
Jawatankuasa PBB perbaharui gesaan kesamarataan jantina di S'pura

Gambar hiasan. (Gambar fail TODAY)

Diterbitkan : 23 Nov 2017 04:57PM Dikemas Kini : 23 Nov 2017 05:00PM

SINGAPURA: Sebuah jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Singapura untuk menggubal satu takrifan dan melarang semua bentuk diskriminasi terhadap wanita.

Permohonan itu pertama kali didaftar pada 2011, semasa Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW). Tahun ini jawatankuasa CEDAW menarik perhatian bahawa Perlembagaan Singapura melarang diskriminasi yang hanya berdasarkan "agama, bangsa, keturunan ataupun tempat kelahiran".

Jawatankuasa berkenaan melakarkan beberapa saranan selepas mesyuarat ke-68 yang dimuktamadkan di Geneva, Switzerland minggu lalu. Acara itu dihadiri satu delegasi daripada pemerintah Singapura yang dipimpin Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Saranan-saranan jawatankuasa itu termasuk membasmi konsep "ketua keluarga" dalam semua pertimbangan dasar bagi menggalakkan perkongsian tanggungjawab keluarga yang sama rata, memberi pembantu rumah perlindungan buruh yang sama dengan para pekerja lain, menghapuskan kekebalan perkahwinan untuk merogol dan menangani stereotaip jantina dan sebagainya.

Dalam laporannya pada Selasa lalu (21 Nov), ia mengetengahkan keprihatinan seperti kekurangan mekanisme untuk memastikan jantina dijadikan arus utama (gender mainstreaming) dalam menggubal undang-undang, dasar-dasar dan program-program di sini.

PBB menyifatkan usaha menjadikan jantina sebagai arus utama sebagai satu strategi dasar awam yang majmuk, yang menghargai kepelbagaian di kalangan lelaki dan wanita.

Jawatankuasa itu turut menyatakan bahawa pemerintah Singapura harus mengambil langkah-langkah yang kukuh untuk melaksanakan satu pelan bertindak dengan penyertaaan orang awam yang aktif untuk mengamalkan saranan-saranannya. Selain itu ia juga akan menambah kepada pengumpulan data untuk mengenal pasti bidang-bidang khusus di mana wanita kurang diwakili ataupun tiada kelebihan.

Ia juga menggesa pemerintah Singapura untuk menubuhkan sebuah "institusi hak asasi manusia kebangsaan yang bebas" untuk menggalak dan melindungi hak wanita dan kesamarataan jantina.

Singapura merupakan anggota Konvensyen itu sejak 1995. Kesemua anggota dikehendaki menyerahkan satu laporan setiap empat tahun kepada jawatankuasa CEDAW mengenai langkah-langkah bagi mematuhi peruntukan-peruntukan Konvensyen tersebut.

Sumber : Today/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan