Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jawatankuasa khas PBB puji usaha S'pura lindungi, perjuang hak kanak-kanak

Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (UNCRC) memuji kemajuan Singapura yang amat ketara dalam mempertingkat dan memperjuangkan hak golongan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Jawatankuasa khas PBB puji usaha S'pura lindungi, perjuang hak kanak-kanak

Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan, Dr Faishal Ibrahim, mengetuai delegasi silang agensi di Sesi ke-81 UNCRC. (Gambar-Gambar: Dr Faishal Ibrahim/Facebook)

BERITAmediacorp: Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (UNCRC) memuji kemajuan Singapura yang amat ketara dalam mempertingkat dan memperjuangkan hak golongan tersebut.

UNCRC juga menyambut baik pelbagai usaha Singapura termasuk pindaan untuk menaikkan had usia Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda dari 16 tahun kepada 18 tahun bagi melindungi golongan kanak-kanak dengan lebih berkesan lagi, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada Rabu (22 Mei).

Jawatankuasa itu turut mengalu-alukan penggunaan alat pemeriksaan dan laporan bagi perlindungan kanak-kanak, selain penubuhan Mahkamah Keadilan Keluarga dan pelaburan besar yang dibuat dalam sektor Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Menulis di laman Facebooknya pada Rabu (22 Mei), Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim berkata visi Singapura adalah untuk menjadi sebuah kediaman yang selain menyediakan persekitaran pengasuhan yang baik, turut berupaya melindungi dan mewujudkan suasana penuh kasih sayang bagi kanak-kanak generasi sekarang dan seterusnya.

Dr Faishal baru-baru ini memimpin delegasi silang agensi dari Singapura ke Geneva, Switzerland untuk membentangkan laporan Singapura di Sesi ke-81 UNCRC, yang berlangsung dari 16 hingga 17 Mei lalu.

Semasa dialog berkenaan, Dr Faishal mengesahkan komitmen Singapura untuk melindungi kesejahteraan kanak-kanak.

Beliau turut menggariskan empat langkah konkrit yang diambil Singapura untuk menjadi sebuah kediaman yang sesuai dan penuh kasih sayang bagi golongan tersebut.

MENYEDIAKAN PERMULAAN BAIK BAGI KANAK-KANAK

Singapura, kata Dr Faishal, berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa pendidikan adalah pemangkin sosial utama dan tiada seorang pun kanak-kanak yang tidak akan diberikan peluang untuk menerima pendidikan semata-mata kerana tidak berkemampuan.

Beliau berkata pelaburan besar dibuat dalam sektor pendidikan awal, dengan Pemerintah komited untuk meningkatkan perbelanjaan tahunannya terhadap sektor prasekolah sebanyak tiga kali ganda dari 2012 hingga 2023.

Sokongan tambahan juga diperluaskan kepada kanak-kanak yang kurang berkemampuan. Misalnya, program rintis KidSTART menyediakan pelbagai sokongan bagi keperluan kesihatan, pembelajaran dan pembangunan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.

Pasukan Bertindak bagi Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi Kepada Keluarga (UPLIFT) pula memperkukuhkan sokongan bagi kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

MEWUJUDKAN PERSEKITARAN BAGI KANAK-KANAK MENCAPAI KEJAYAAN

Dr Faishal berkata Pemerintah akur bahawa keluarga merupakan pengaruh besar dalam kehidupan kanak-kanak. Maka itu, Pemerintah berganding bahu dan menyokong keluarga-keluarga di Singapura.

Singapura, menurut beliau, sudahpun mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan tekanan akademik dengan menyusun semula Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan mengurangkan jumlah peperiksaan yang perlu diduduki para pelajar.

MELINDUNGI DAN MENYOKONG KANAK-KANAK LEMAH

Semasa berucap di dialog itu, Dr Faishal menarik perhatian kepada bantuan tambahan yang dihulurkan kepada kanak-kanak yang memerlukan sokongan pembangunan dan pendidikan khas.

Misalnya, Singapura melabur sekitar S$60 juta setiap tahun dari 2019, naik 30 peratus dari 2018, bagi mempertingkatkan program Intervensi Awal bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang berbeza-beza dan menjadikan yuran lebih dimampui.

Singapura juga sedang menyemak undang-undang bagi menjaga, melindungi dan memulihkan kanak-kanak serta para belia yang lemah dengan lebih berkesan lagi.

Salah satu contoh adalah saranan bagi meningkatkan had usia Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda kepada 18 tahun, bagi mencerminkan definisi seorang kanak-kanak yang ditetapkan oleh UNCRC.

BEKERJASAMA DENGAN NGO, SEDIAKAN SOKONGAN LEBIH KUKUH

Selain itu, Dr Faishal turut menyentuh tentang bagaimana Pemerintah menggalak rakyat supaya bersikap lebih aktif dan murah hati, serta berunding dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk badan bukan pemerintah (NGO) dalam usahanya.

MSF menyatakan seperti Pemerintah, NGO juga komited dan bertekad untuk melindungi kanak-kanak.

Menurut kementerian itu lagi, kesemua pihak akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan masyarakat sivil bagi menyediakan rangkaian sokongan yang lebih kukuh bagi kanak-kanak.

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan