Images
  • Cofa main
    (Gambar: Muis)

Jawatankuasa COFA bentangkan 3 dapatan utama sejauh ini

SINGAPURA: Setelah tujuh bulan menjalankan sesi mendapatkan maklum balas melibatkan lebih 1,300 orang, Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) mendedahkan tiga dapatan utama sejauh ini.

Pertama, adanya keperluan berterusan bagi asatizah untuk menyediakan bimbingan agama kepada masyarakat.

Kedua, perlunya asatizah menjalin kerjasama dengan para karyawan dalam bidang-bidang lain yang relevan untuk menyediakan sokongan yang holistik bagi para asatizah menjalankan peranan mereka.

Ketiga, perlunya mewujudkan sektor agama Islam yang lebih menarik dan bertenaga dengan pelbagai peluang pertumbuhan dan kemajuan kerjaya.

Tiga dapatan tersebut dibentangkan dan dikongsi semasa satu sesi perbincangan anjuran Jawatankuasa COFA di Pusat Konvensyen Suntec pada Sabtu (12 Okt), yang dihadiri 100 asatizah, karyawan dan pemimpin masyarakat. Sesi tersebut dipengerusikan Pengerusi COFA, Dr Mohd Maliki Osman, yang juga merupakan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar.

Dapatan tersebut, menurut siaran media MUIS, mencerminkan aspiras-aspirasi yang dikumpulkan sepanjang sesi-sesi maklum balas dan tinjauan online yang dijalankannya.

COFA ditubuhkan pada Mac tahun ini dengan tujuan memperkukuh pembangunan tenaga kerja asatizah tempatan. Laporan muktamad Jawatankuasa COFA akan dikeluarkan pada awal tahun 2020.

MASA DEPAN AKAN LEBIH MENCABAR BAGI ASATIZAH

Dalam ucapannya kepada para hadirin di sesi tersebut, Dr Maliki berkata keadaan akan menjadi lebih mencabar lagi pada masa hadapan, bukan sahaja dalam domain agama tetapi juga dalam hubungan antara agama dan kehidupan sosioekonomi masyarakat. Ia akan saling terkait sehingga satu sisi tidak boleh berfungsi tanpa sisi yang lain, kata Dr Maliki.

Beliau akur bahawa usaha membangunkan asatizah yang sedia-masa depan (future-ready) bukan tugas MUIS sahaja. Sebaliknya beliau juga menyeru agar masyarakat sama-sama menyumbang idea-idea baru.

Dr Maliki turut memberi jaminan bahawa usaha untuk meningkatkan sektor itu tidak akan mencapai titik akhir. Ia adalah sesuatu yang berterusan untuk memberi harapan dan inspirasi kepada golongan asatizah sekarang dan masa depan untuk bergerak ke hadapan.

Beliau menambah bahawa asatizah Singapura pada masa depan sangat memandang ke hadapan dan komited untuk meraih pengetahuan baru tetapi pada masa yang sama meluahkan kebimbangan berhubung peluang kerjaya apabila mereka bersedia melangkah ke tenaga kerja.

BANYAK CARA ASATIZAH BOLEH MENYUMBANG


Di sesi tersebut juga, salah seorang peserta, Ustazah Marhamah Senewi berkata terdapat banyak cara bagi para asatizah menyumbang kembali kepada masyarakat dan latar belakang pendidikan Islam beliau membentuknya untuk melakukan demikian.

Sebagai seorang pegawai khidmat awam berurusan dengan golongan belia, beliau berkata pengalamannya dalam sektor agama memberinya kelebihan untuk memahami jurang dengan lebih baik dan lantas, memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

Ustazah Marhamah seorang asatizah diiktiraf yang tamat pengajian di Universiti Yarmouk dengan pengkhususan dalam Bahasa dan Kesusasteraan Arab.

- BERITAmediacorp/ha

Top