Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jawatankuasa Asatizah Masa Depan dalam perancangan bangunkan golongan asatizah 'profesional'

Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) sedang dalam proses melakarkan program untuk membangunkan asatizah yang 'profesional', menurut Pengerusi COFA, Dr Mohamad Maliki Osman.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) sedang dalam proses melakarkan program untuk membangunkan asatizah yang 'profesional'.

Demikian dikongsi oleh Pengerusi COFA, Dr Mohamad Maliki Osman, sambil menambah langkah tersebut penting untuk memastikan asatizah kekal relevan dan dapat berdepan dengan cabaran semasa seperti ketidaktentuan ekonomi global dan saluran maklumat tanpa batasan.

MELUASKAN PERANAN TRADISIONAL ASATIZAH 

Dr Maliki menambah fokus itu akan dicapai dengan meningkatkan keupayaan golongan asatizah terlebih dahulu dengan set kemahiran yang sesuai pada konteks hari ini.

Ini agar golongan itu dapat meluaskan peranan tradisional mereka sebagai guru agama dan menjangkaui bidang seperti penjagaan pastoral, bioetika, pekerjaan sosial, dan menjadi seorang penyelidik dalam sosio-politik.

"Saya rasa apa yang penting ialah para asatizah kita lihat bahawa ini adalah cara kita meningkatkan taraf profesionalisme mereka. Seringkali kita dapat maklum balas juga keluhan terhadap asatizah kita mengatakan bahawa mereka tidak dianggap sebagai profesional mereka hanya dianggap sebagai guru agama sahaja.

"Kami ingin memastikan bahawa mereka juga ialah profesional bahawa mereka telah mendapat pengajian tinggi di pusat-pusat pengajian tinggi maka itu mereka dapat taraf yang sama seperti para peguam, doktor dan sebagainya," tekan Dr Maliki ketika diwawancara BERITAmediacorp.

KERJASAMA SEDANG GIAT DIJALANKAN

Akur bahawa ia bukan sesuatu yang mudah, Dr Maliki berkata pelbagai kerjasama sedang dijalankan dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk institusi tempatan dan pihak kementerian.

Bidang lain yang akan dilihat termasuk memberikan golongan asatizah peluang melalui latihan amali di bidang khusus yang akan mereka ceburi.

Lebih dari itu, Dr Maliki juga berkata COFA akan mengadakan 13 sesi perkongsian antara bulan Mac dengan Ogos ini untuk mendapatkan maklum balas terhadap rancangan tersebut.

Sesi bersama golongan akademik yang dianjurkan (26 Apr) membincangkan tentang struktur pengikhtisasan atau 'professionalization' bagi masa depan asatizah.

"Kita harus memberi peluang meluas untuk asatizah- asatizah kita mendapatkan pekerjaan bukan sahaja dari sektor keagamaan sahaja tapi juga dari sektor-sektor yang lain.

"Kerana kita juga mahu asatizah kita rasa mereka mempunyai masa depan yang cerah dan bagaimana kita boleh memastikan apa yang kita lakarkan hari ini memberi mereka jaminan bahawa masa depan mereka akan menjadi lebih cerah dengan pekerjaan pekerjaan lebih luas.

ANGGOTA MASYARAKAT BOLEH BERI MAKLUM BALAS

Dr Maliki menambah anggota masyarakat juga boleh memberikan saranan dan maklum balas menerusi sebuah portal yang akan dilancarkan MUIS kelak.
"Saya harap golongan asatizah dan anggota masyarakat kita tahu bahawa yang COFA lakukan hari ini adalah untuk masyarakat kita bersama.

"Pada penghujung bulan April ini kami akan memulakan maklum balas secara online di mana kita merasakan anggota masyarakat yang ingin memberikan buah pandangan mereka tentang COFA untuk pertimbangkan, mereka digalakkan untuk memberi maklum balas mereka menerusi platform online ini," kongsi Dr Maliki.

Portal tinjauan tersebut akan menyentuh tiga bidang utama, pertama tentang pembangunan masa depan golongan asatizah, kedua, peranan dan kemahiran golongan asatizah dan yang terakhir ialah pendidikan serta latihan golongan asatizah.

Ia boleh didapati di: https://www.muis.gov.sg/Our-Services/COFA 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan