Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Jangan tunggu, rebut peluang kerja yang ada' kata Menteri Masagos

Jangan tunggu dan sebaliknya segera rebut peluang pekerjaan yang ada, lebih-lebih lagi jika anda terjejas dengan pembuangan pekerja.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jangan tunggu dan sebaliknya segera rebut peluang pekerjaan yang ada, lebih-lebih lagi jika anda terjejas dengan pembuangan pekerja.

Demikian ditekankan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.

Beliau akur masih ada jurang maklumat tentang peluang-peluang tersebut dan usaha-usaha akan dipergiat untuk meningkatkan tahap kesedarannya.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) minggu lalu menyatakan, sekitar 5,300 warga Singapura diberhentikan kerja antara Januari hingga Jun tahun ini.

MOM juga menyatakan, sehingga Jun juga, sekitar 90,500 penduduk tempatan tidak bekerja - naik 16,600 berbanding perangkaan pada Disember lalu.

Dalam ulasan beliau pula, Encik Masagos menyebut contoh sektor pelancongan yang dijangka sukar bangkit dalam tempoh setahun dua ini.

Di sinilah para pekerja sektor itu, kata beliau, harus tahu sama ada mereka perlu berpindah dari sektor itu.

"Jumlah pekerjaan yang ada akan lebih kurang daripada permintaan kepada pekerjaan tersebut. Sebab itu jangan tunggu. Walaupun keadaan kita mampan. Kalau kita sudah terkesan oleh pembuangan pekerjaan, terus rebut di tempat-tempat balai rakyat yang diwujudkan melalui laman SGUnited ataupun Majlis Pekerjaan Kebangsaan," kata Encik Masagos.

Beliau ditemui selepas rakaman rancangan ehwal semasa Cetusan oleh Mediacorp baru-baru ini. Cetusan yang mengetengahkan Encik Masagos selaku salah seorang anggota panel, disiarkan pada 8.30 Khamis malam (10 Sep).

Namun demikian Encik Masagos akur bahawa masih terdapat jurang informasi tentang bagaimana untuk mengetahui tentang peluang-peluang yang ada, serta sektor-sektor mana yang harus diwaspadai kerana mungkin "jatuh atau tumbang pada masa-masa akan datang".

Di sinilah kata Encik Masagos, Jawatankuasa Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu - yang ditubuhkan lima bulan lalu demi membantu masyarakat Melayu/Islam yang terjejas oleh COVID-19 - harus memikirkan bagaimana untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat tentang hal ini.

"Sebab itulah kami di masyarakat Melayu/Islam, M³ - MUIS, MENDAKI dan juga MESRA - bersama dengan MMO (badan-badan Melayu) lain seperti PERGAS, seperti PPIS, MHPA dan NTUC dan Dewan (DPPMS) bekerjasama mengatasi hal-hal ini bersama dengan Pemerintah," kata Encik Masagos.

Beliau menambah, keutamaan jangka pendek atau segera adalah untuk menyediakan sokongan pekerjaan dan daya kerja sebagai persiapan bagi ekonomi baru.

Selain itu, pemerintah juga mahu memastikan keluarga-keluarga kekal utuh menerusi sokongan menyeluruh daripada inisiatif-inisiatif SGTeguhBersatu dan M³.

"Selain daripada mendapatkan bantuan kewangan daripada tahap kebangsaan. MUIS juga akan menyediakan program-program untuk zakat dan sebagainya. Mendaki pula akan membantu pendidikan anak-anak mereka jika mereka kurang pembiayaan di universiti umpamanya kerana kehilangan pekerjaan," kata Encik Masagos lagi.

Semasa sesi rakaman Cetusan itu, para anggota panelnya yang juga terdiri daripada Pensyarah dan Zamil Kanan Dr Norshahril Saat, Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) Rahayu Mohamad dan Angota Parlimen GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Rahim, mengupas tentang isu-isu pekerjaan yang menjadi kebimbangan masyarakat.

Para peserta, yang datang dari pelbagai latar belakang, juga rancak menyuarakan pandangan dan saranan yang dapat menjadi maklum balas berguna kepada anggota panel.

Ini termasuk peluang-peluang pekerjaan bagi lulusan pengajian tinggi, jurang yang dilihat kian membesar antara lapisan masyarakat, aspek kerohanian dalam mengharungi cabaran sedia ada dan gagasan pemerintah dalam usahanya untuk mencipta semula ekonomi.   

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan