Images
  • supreme court
    Pintu masuk Mahkamah Agung di Singapura.

Jangan sewenangnya sebar bahan fitnah; elak komen 'tumpang sekaki'

SINGAPURA: Anda pasti pernah menyaksikan seseorang mengongsi artikel yang meragukan di laman Facebook atau membuat hantaran semula bagi catatan yang sama di laman Twitter. Dalam sesetengah kes, seseorang itu disaman fitnah atas perbuatannya.

Bolehkah anda disaman fitnah semata-mata atas perbuatan mengongsi atau "share" sesuatu di media sosial?

Jawapannya adalah ya, jika artikel berkenaan mengandungi bahan yang mungkin mendatangkan fitnah, kata beberapa peguam yang ditemui Mediacorp.

Soalan-soalan tentang undang-undang fitnah atau saman malu Singapura - termasuk perkara-perkara yang diliputi dan mengapa ia wujud - sering ditanyakan menyusuli keputusan mahkamah dalam kes Lee Hsien Loong lawan Leong Sze Hian pada Rabu (24 Mac).

Ia mencetuskan perbincangan awam tentang mengapa seseorang itu boleh dipertanggungjawabkan atas perbuatan sekadar mengongsi artikel yang tidak dikarangnya, tetapi mengandungi kenyataan palsu yang merendahkan martabat seseorang.

Sesetengah pengguna online juga bertanya sama ada mereka boleh disaman fitnah jika mereka mengongsi artikel berunsur fitnah tanpa menokok komen-komen mereka sendiri.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong, 69 tahun, menyaman Encik Leong Sze Hian, 67 tahun, kerana mengongsi pautan di Facebook, tanpa sebarang kapsyen, pada rencana oleh laman berita Malaysia, The Coverage, pada November 2018, yang membuat dakwaan palsu seolah-olah PM Lee terkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Leong Sze Hian (kiri) disaman fitnah oleh PM Lee Hsien Loong. (Gambar-gambar: Gaya Chandramohan, Jeremy Long)

Mahkamah Tinggi memutuskan agar Encik Leong membayar ganti rugi S$133,000 kepada PM Lee.

Dalam keputusan bertulisnya, Hakim Mahkamah Tinggi Aedit Abdullah berkata PM Lee menang dalam kes tersebut atas beberapa sebab seperti berikut:

  • Rencana The Coverage membayangkan seolah-olah PM Lee terbabit dalam kegiatan jenayah yang serius dan tidak jujur
  • Catatan Facebook Encik Leong dan pautan laman berkenaan adalah penerbitan bahan fitnah
  • Encik Leong bersetuju dengan kandungan itu meskipun beliau tidak menulis sebarang kapsyen
  • Encik Leong bertindak tanpa menghiraukan sama ada rencana itu benar
  • Nama baik PM Lee tercalar

Bagi menjawab pertanyaan yang tercetus menyusuli penghakiman tersebut, Mediacorp bertemu dengan beberapa orang peguam untuk mendapatkan pencerahan tentang undang-undang sivil yang wujud sejak sekian lama - bahkan sejak sebelum penubuhan Singapura - dan asal usulnya sejak zaman tamadun Rom.

APAKAH MAKSUD FITNAH DI SISI UNDANG-UNDANG?

Encik Suang Wijaya dari firma guaman Eugene Thuraisingam LLP berkata bahawa fitnah berlaku apabila seseorang menerbitkan kenyataan yang merendahkan martabat seseorang dalam pandangan pihak ketiga.

"Tujuan undang-undang fitnah adalah untuk melindungi martabat dan nama baik seseorang dan menggantikannya dengan kerugian yang dialami orang berkenaan," kata Encik Wijaya.

Encik Azri Imran Tan dan Encik Joshua Chow dari IRB Law berkata, konsep itu wujud pada zaman tamadun Rom, di mana nama baik seseorang dianggap sebagai perkara yang bernilai dan wajar dilindungi undang-undang.

"Ujiannya adalah sama ada defendan mendedahkan pihak menuntut kepada kebencian, cemuhan atau penghinaan, atau merendahkan martabat pihak menuntut, tanpa asas, dalam pandangan anggota masyarakat yang berfikiran wajar dan munasabah, atau kedua-duanya sekali, kata kedua-dua peguam tersebut dalam jawapan emel mereka.

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Jonathan Cho dari Covenant Chambers menggariskan faktor-faktor yang dipertimbangkan untuk menentukan sama ada berlaku fitnah:

  • Sama ada kenyataan berkenaan mendatangkan fitnah - ia merendahkan martabat orang yang difitnah
  • Sama ada kenyataan itu diterbitkan dan disediakan kepada khayalak awam
  • Sama ada identiti orang difitnah dikenal pasti
  • Encik Cho menambah, jika disaman fitnah, seseorang itu boleh menyediakan beberapa sebab untuk mempertahankan diri mereka, termasuk:
  • Kenyataan berkenaan munasabah kerana ia adalah benar
  • Kenyataan berkenaan adalah ulasan yang wajar kerana ia merupakan pandangan yang adil dan benar, berdasarkan fakta-faktar benar dan berhubung kepentingan awam.

Mahkamah akan meneliti setiap kes berdasarkan fakta-faktanya untuk menentukan sama ada seseorang patut dipertanggungjawabkan, kata Encik Cho.

ADAKAH SAYA BERTANGGUNGJAWAB ATAS KANDUNGAN YANG SAYA 'SHARE' DI FACEBOOK?

Jawapan ringkasnya adalah seperti berikut: Jika artikel berkenaan mengandungi bahan fitnah, orang yang mengongsi artikel itu secara online boleh dipertanggungjawabkan.

Ia bukan perkara yang baru, kata Encik Wijaya, kerana sudah diputuskan sejak sekian lama bahawa perbuatan mengongsi - atau menerbitkan semula - kandungan orang lain dianggap sebagai satu penerbitan di bawah undang-undang fitnah.

Encik Wijaya menjelaskan, ini supaya seseorang itu tidak berupaya melindungi diri daripada saman fitnah dengan sekadar mengatakan bahawa dia tidak mengetahui sama ada kandungan yang dikongsinya adalah benar.

Pengarah penghuraian pertikaian firma guaman Drew and Napier Gary Low berkata, "Penerbitan merupakan kaedah dengan mana sesuatu kenyataan fitnah sampai ke mata dan telinga pihak ketiga.

"Apabila bahan fitnah dikongsi di Facebook dan wadah-wadah media sosial lain, dan kenyataan fitnah itu dimaklumkan kepada pihak ketiga, pengongsian sedemikian sudah tentu dianggap sebagai suatu bentuk penerbitan."

Lantaran itu Encik Low menegaskan, setiap penerbitan semula kenyataan fitnah merupakan perbuatan fitnah yang baru.


BAGAIMANA JIKA SAYA 'SHARE' CATATAN TANPA KOMEN?

Dalam kes terhadap Encik Leong, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa beliau menerbitkan artikel berkenaan meskipun beliau tidak menyertakan kapsyen atau komennya sendiri, ujar Encik Low.

Dalam penghakimannya, Hakim Aedit tidak cenderung dengan pendirian di Kanada, yang menyatakan bahawa penggunaan pautan laman web saja tidak boleh dianggap sebagai satu penerbitan.


Hakim Mahkamah Tinggi Aedit Abdullah (Gambar: Laman Mahkamah Tinggi)

Hakim Aedit sebaliknya memutuskan bahawa tiada tafsiran lain yang boleh disimpulkan daripada catatan Facebook Encik Leong selain sokongan atau persetujuan beliau terhadap kandungan artikel terbabit sambil menambah bahawa pandangan sedemikian "selaras dengan peranan yang didakwanya sendiri sebagai pengkritik tegar pemerintah".

Hakim Aedit juga mendapati Encik Leong menaruh niat jahat berdasarkan fakta-fakta, yang sebahagiannya menyumbang kepada ganti rugi bernilai S$130,000 yang perlu ditanggungnya.

ADAKAH SEMUA ORANG YANG 'SHARE' KANDUNGAN FITNAH AKAN DISAMAN?

Encik Low dari Drew and Napier berkata, "Orang yang difitnah boleh menyaman setiap orang yang menerbitkan semula kenyataan berkenaan, dan mempertanggungjawabkan mereka seolah-olah sama seperti penerbit asal kenyataan itu."

Namun seperti semua kes saman sivil, terpulang kepada pihak difitnah untuk memilih sama ada beliau ingin menuntut ganti rugi atau huraian lain, tambah Encik Low.

Akta Fitnah merupakan undang-undang sivil, sementara perbuatan fitnah juga boleh menimbulkan kesalahan di bawah Kanun Jenayah, kata para peguam. Ini bermakna, pihak polis boleh mengenakan tuduhan jenayah atas perbuatan fitnah.

Lantaran itu, dalam persekitaran online di mana maklumat fitnah begitu mudah diakses dan disebarkan, para peguam menggesa orang ramai supaya berhati-hati tentang perkara-perkara yang dicatat atau dikongsi online.

Encik Wijaya dari Eugene Thuraisingam LLP berkata, "Secara amnya orang ramai perlu berhati-hati ketika memuat naik atau menghantar semula sebarang dakwaan kerana ia boleh dianggap sebagai penerbitan semula kenyataan fitnah."

Encik Cho dari Covenant Chambers memberi peringatan: "Berfikir jelas dalam minda anda apa tujuan anda membuat catatan itu, kerana anda mungkin akan dihubungi untuk menerangkan mengapa anda berbuat demikian, mengapa anda katakan seperti yang dikatakan."

- TODAY/ZM/zm

Top