Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jangan sebar berita palsu, guna kata laluan kuat, kata S Iswaran

Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran pada Jumaat (15 Feb) menggesa rakyat Singapura supaya bersikap bertanggungjawab, kekal berwaspada dan memastikan keselamatan di wadah online. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Feb 2019 04:39PM Dikemas Kini : 15 Feb 2019 11:02PM

SINGAPURA: Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran pada Jumaat (15 Feb) menggesa rakyat Singapura supaya bersikap bertanggungjawab, kekal berwaspada dan memastikan keselamatan di wadah online, sedang beliau menggariskan langkah-langkah bagi melaksanakan Pertahanan Digital - tunggak keenam dan terbaru Pertahanan Mutlak negara.

Sikap bertanggungjawab dan berwaspada merujuk kepada usaha memerangi berita palsu sementara memastikan keselamatan bermakna mengambil langkah-langkah mencegah serangan siber dan penipuan online.

Encik Iswaran berkata ini adalah penting sedang Singapura menuju ke arah sebuah Negara Bijak. Beliau menarik perhatian, sebuah ekonomi digital mewujudkan peluang-peluang baru bagi perniagaan dan penduduk, sedang sebuah pemerintah digital menyampaikan khidmat lebih baik kepada rakyat dan syarikat.

"Sama ada kita berjaya atau gagal dalam daya usaha penting ini akan bergantung kepada sama ada kita juga mempunyai sistem Pertahanan Digital yang kukuh," kata Encik Iswaran di satu acara memperingati Hari Pertahanan Mutlak di Fort Canning Green.

Ucapan beliau disampaikan sehari selepas Menteri Pertahanan Ng Eng Hen mengumumkan satu lagi tunggak Pertahanan Mutlak pada Khamis (14 Feb), yang memberi isyarat betapa penting untuk mengukuhkan keselamatan siber dan keupayaan memberikan respons kepada ancaman digital.

BERITA PALSU

Encik Iswaran turut menarik perhatian kepada "lebih-lebih lagi ancaman merosakkan" menerusi operasi-operasi hibrid melibatkan kempen maklumat bersifat permusuhan dan penyebaran maklumat palsu.

"Ia boleh menimbulkan rasa tidak percaya di antara masyarakat berbilang kaum dan agama, melemahkan perpaduan sosial dan mencetuskan keganasan," jelas Encik Iswaran.

Beliau menambah, rakyat Singapura perlu bersikap bertanggungjawab dengan menimbangkan kesan tindakan mereka terhadap masyarakat apabila mengeluarkan atau menyebarkan maklumat.

Beliau menambah bahawa rakyat Singapura patut kekal berwaspada terhadap berita palsu sambil menekankan pentingnya memeriksa kesahihan sesuatu maklumat.

SERANGAN SIBER DAN PENIPUAN ONLINE

Di samping ancaman berita palsu, Encik Iswaran berkata serangan siber boleh "melemahkan seluruh sistem, mengganggu ekonomi dan kehidupan harian, bahkan meyebabkan kecederaan mahupun kematian".

Penipuan online juga kian berleluasa serta lebih rencam dan canggih, tambahnya.

Dalam satu serangan siber terhadap SingHealth pada Jun lalu, rekod 1.5 juta pesakit diakses dan disalin, sementara sejak September lalu, lebih 90 mangsa ditipu untuk memberikan butiran akaun perbankan internet DBS mereka di lelaman palsu.

Encik Iswaran mengingatkan rakyat Singapura supaya melaksanakan amalan keselamatan siber yang baik untuk melindungi keselamatan data dan peranti mereka.

Ini termasuk menggunakan kata laluan yang kuat dan pengesahan dua faktor (2FA), memuat turun sofwe antivirus, mengemas kini sofwe secepat mungkin dan berwaspada terhadap sebarang percubaan memancing data.

Langkah-langkah ini kian penting dalam usaha mengekang penipuan online dan serangan siber yang dijangka akan berterusan, kata Encik Iswaran.

Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) pula boleh memanfaatkan program 'SME Go Digital' oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) untuk mendapatkan nasihat serta subsidi bagi huraian-huraian serangan siber yang sudah diluluskan.

SEMUA MEMAINKAN PERANAN

Pada dasarnya, rakyat Singapura berada di barisan hadapan Pertahanan Mutlak, kata Encik Iswaran yang menggesa setiap rakyat supaya mempertahankan negara dari semua aspek.

Selepas Encik Iswaran dan Menteri Negara Kanan Pertahanan Maliki Osman melancarkan Pertahanan Mutlak, para hadirin bertafakur selama seminit bagi memperingati mereka yang terkorban dalam Perang Dunia Kedua.

Para rekrut dari Institut Latihan Komando juga diberikan senjata mereka dalam satu Majlis Penyerahan Senjata Api. Ini kali pertama para komando mengadakan majlis itu di tempat awam.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan