Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jangan rasa terancam atau takut dengan teknologi: Chan Chun Sing

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing hari ini (19 Okt) merasmikan majlis konvokesyen Institut Teknologi Singapura (SIT) dengan menyeru kepada para graduan supaya jangan berasa terancam atau takut dengan teknologi. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Pendidikan Chan Chun Sing hari ini (19 Okt) merasmikan majlis konvokesyen Institut Teknologi Singapura (SIT) dengan menyeru kepada para graduan supaya jangan berasa terancam atau takut dengan teknologi.

Dalam ucapannya di majlis tersebut Encik Chan menceritakan bagaimana beliau pernah bertemu 400 akauntan dan bertanyakan soalan mudah bagi mereka:

"Apakah akan ada lebih banyak peluang atau kurang peluang dalam tempoh lima tahun lagi?"

Menurut beliau, 200 akauntan berasa terancam dan percaya bahawa ijazah akauntan dan kepakaran mereka mungkin tidak lagi menjadi relevan serta pekerjaan mereka mungkin akan diambil alih oleh robot dan Kecerdikan Buatan (AI).

Lagi 200 akauntan lain pula percaya bahawa teknologi sebaliknya boleh membuka pasaran lebih besar bagi khidmat profesional mereka ke seluruh dunia.

TEKNOLOGI NEUTRAL TAPI HARUS DIKUASAI UNTUK MAJU

Menurut Encik Chan, jawapan yang diberikan kedua-dua kumpulan akauntan itu mempunyai asas yang sama - iaitu teknologi. Bahawa teknologi mengancam kehidupan sebilangan orang, tetapi bagi sebilangan yang lain ia boleh membuka ruang baru bagi mereka.

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing merasmikan majlis konvokesyen Institut Teknologi Singapura (SIT) pada 19 Okt.

Di sinilah Encik Chan kemudian menekankan bahawa teknologi sebenarnya adalah neutral tetapi harus dikuasai untuk terus maju dan bertakat.

"Ada satu pengajaran buat kita: tiada apa-apa yang perlu ditakutkan mengenai teknologi," tegas Encik Chan.

"Semua orang di dunia ini menghadapi cabaran dan peluang tetapi perbezaannya, siapa dalam kalangan ini lebih berani untuk menguasainya, mempergunakannya dan menggabungkannya dengan kemahiran mereka," tambah beliau.

SUMBANG KEMBALI KEPADA GENERASI SETERUSNYA

Encik Chan mengakhiri ucapannya dengan mengucapkan tahniah kepada para graduan dan berharap mereka akan menyumbang kembali kepada generasi mahasiswa seterusnya.

"Saya berharap pada masa akan datang, apabila anda menonton generasi seterusnya mendapat ijazah, anda juga akan teringat akan hari ini dan bagaimana kita semua sampai ke tahap ini atas sokongan rakan-rakan, keluarga dan masyarakat," ucap beliau.

"Dengan itu, menjadi tanggungjawab kita untuk menyumbang kembali, kepada generasi seterusnya," tambahnya lagi.

Kesemuanya sebanyak 11 sesi konvokesyen SIT dijalankan dari hari ini hingga Jumaat (22 Okt).  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan