Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jangan lihat soalan sensitif sebagai anggapan buruk terhadap agama

Soalan sensitif berkaitan agama, tidak harus dilihat sebagai anggapan buruk terhadap agama tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Feb 2018 07:22PM Dikemas Kini : 04 Feb 2018 10:04PM

SINGAPURA: Soalan sensitif berkaitan agama, tidak harus dilihat sebagai anggapan buruk terhadap agama tersebut.

Sebaliknya, ia harus diterima dengan terbuka, sebagai peluang untuk meningkatkan persefahaman antara agama.

Inilah antara pandangan yang disuarakan oleh pemimpin agama dan peserta tentang inisiatif serata negara, oleh kelima-lima Majlis Pembangunan Masyarakat atau CDC.

Ia bertujuan menguatkan benteng perpaduan sosial, di tengah-tengah ancaman seperti penyalahgunaan agama, yang boleh meretakkan keharmonian masyarakat.

Program 'Common Senses for Common Spaces', atau CSCS adalah usaha terbaru untuk mengukuhkan perpaduan sosial di Singapura.

Sepanjang tahun ini, kesemua lima CDC akan menganjurkan 20 sesi dialog dan setiap sesi diharap dapat mendampingi sehingga 250 individu.

"Lebih ramai rakyat Singapura akan diberi peluang untuk bertanya apa juga yang mereka ingin tahu tentang agama-agama yang diamalkan di Singapura.

"Dengan ini kita harap akan dapat meningkatkan kesedaran, mengisi apakah kekosongan pemahaman mereka. Dengan ini kita dapat memupukkan lagi satu aspek keharmonian kaum yang lebih baik di Singapura ini," menurut Datuk Bandar CDC Tenggara, Dr maliki Osman.

Siri pertama dialog itu dimulakan semalam (3 Feb) dengan penyertaan sekitar 350 pemimpin dan rakan-rakan sokong masyarakat.

Para pemimpin dari empat kumpulan agama utama menerima banyak soalan asas tentang agama masing-masing dan ini termasuk soalan-soalan sensitif berkaitan amalan dan kepercayaan setiap agama.

"Masyarakat Islam Singapura tidak seharusnya melihat persoalan-persoalan sensitif ini sebagai tohmahan terhadap agama Islam tetapi seharusnya mereka perlu terbuka untuk mengatasi salah tanggap tentang Islam," kata Docent Pusat harmoni, Ustaz Ashraf Anwar.

Dengan cara itu, lebih banyak ruang persamaan berbanding perbezaan, antara pelbagai agama, diharap dapat diwujudkan.

"Program ini meluaskan minda saya tentang tanggapan saya terhadap beberapa agama sebelum ini. Ia mewujudkan satu ruang bersama, khususnya tentang Islam. Di Singapura cara pemikiran Islam jauh lebih progresif berbanding negara-negara lain dan saya rasa banyak agama lain akan menghargainya selepas menyertai sesi ini," menurut salah seorang peserta, Andy Seah.

Bagi peserta Islam mereka juga mendapati sesi itu membantu memperdalam pengetahuan asas tentang agama-agama lain.
Menurut seorang lagi peserta, Dr Norhisham Main: "Kalau kita tidak biasa bergaul kita hanya ketahui apa yang dalam lingkungan kawan-kawan atau yang beragama sama, jadi kita tidak dapat bertukar fikiran dan kita tidak dapat mengetahui apakah agama lain, apakah mereka amalkan atau pun apakah mereka lakukan dan ini penting untuk mengeratkan Singapura yang berbilang bangsa dan juga berbilang agama."

Dr Maliki menekankan, usaha pemerintah sahaja tidak cukup untuk menangani cabaran keselamatan Singapura yang boleh menggugat perpaduan sosial.

Masyarakat juga perlu lebih bertanggungjawab dan turut memberi respons melalui inisiatif-inisiatif dari bawah. 

Sumber : CNA/EM/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan