Images
  • masagos (1)
    Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli dan Menteri Kesihatan Gan Kim Yong di satu acara senaman. (Gambar fail, Mac 2020: Masagos Zulkifli/Facebook)

Jangan biarkan pandemik jejas usaha perang penyakit kencing manis - Menteri Masagos

SINGAPURA: Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli hari ini (15 Nov) menggesa orang ramai supaya jangan membiarkan keadaan pandemik COVID-19 membayangi isu-isu meruncing kesihatan awam - khususnya masalah penyakit kencing manis.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di satu acara sempena Hari Kencing Manis Sedunia - di mana Encik Masagos menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Diabetes Singapore dengan SportSG.

"Kita tidak harus leka dalam perang terhadap penyakit kencing manis. Ia terus menjadi keprihatinan kesihatan awam walaupun di tengah-tengah pandemik. Satu dalam setiap tiga rakyat Singapura berisiko mengalami penyakit kencing manis dalam jangka hayat mereka," kata Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Masalah berlebihan berat badan dan gaya hidup tidak aktif juga meningkatkan lagi risiko mengalami penyakit kencing manis Jenis 2.

Di Singapura, 19,000 orang didiagnos dengan penyakit kencing manis, setiap tahun.

Masalah kesihatan ini juga boleh dikatakan cukup membimbangkan bagi masyarakat Melayu. Ia antara lain dipercayai punca utama ramai penduduk Melayu mengalami kegagalan ginjal.

Daftar Buah Pinggang Singapura bahkan menunjukkan, bilangan pesakit Melayu melonjak setinggi 50 peratus dalam tempoh 10 tahun.

ORANG RAMAI DIGESA MAIN PERANAN; JALANI PEMERIKSAAN

Encik Masagos menarik perhatian bahawa ada banyak langkah-langkah pencegahan yang sudahpun dijalankan.

Ini termasuk menggunakan teknologi - hasil kerjasama dengan Apple bagi app 'LumiHealth' - untuk mengingatkan dan menggalak orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat.

Ada juga Cabaran Langkah Kebangsaan, yang tidak lagi asing dalam masyarakat kita.

"Saya menggalak anda mengambil bahagian jika belum melakukan itu," ujar Encik Masagos.

Namun, ada lagi peranan yang boleh dimainkan masyarakat.

"Kerap menjalani pemeriksaan satu lagi cara untuk kita menjaga kesihatan dengan lebih baik. Kami sudah menjadikannya lebih dimampui dan mudah diakses, menerusi program 'Screen for Life' HPB," kata Encik Masagos.

Mereka yang berusia lebih 40 tahun, digesa menjalani pemeriksaan sekali setiap tiga tahun sementara yang lebih muda pula boleh mengambil Penilaian Risiko Kencing Manis (DRA) di HealthHub untuk mengetahui risiko yang dihadapi.

"Sejak kami melancarkan kaedah itu, kami mendapati 18 peratus berdepan risiko lebih tinggi. Sekitar 10 peratus mereka yang menjalani pemeriksaan kesihatan juga didiagnos dengan tahap awal penyakit kencing manis (pre-diabetes) atau sudahpun menghidap penyakit kencing manis," dedah Encik Masagos.

"Ramai mungkin tidak akan tahu jika mereka tidak menggunakan alat DRA itu. Kami ingin mengesan dan mengurusnya lebih awal demi mengurangkan komplikasi nanti."  

- BERITAmediacorp/aq

Top