Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Jamiyah lancar Projek Permata untuk kumpul dana S$100,000 bantu Alias Kadir

Persatuan Jamiyah Singapura pada Khamis (17 Jun) melancarkan kempen mengumpulkan S$100,000 demi membantu pelawak Alias Kadir, 58 tahun, yang kini dirawat di hospital setelah lagi sebelah kakinya dikudungkan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Jamiyah Singapura pada Khamis (17 Jun) melancarkan kempen mengumpulkan S$100,000 demi membantu pelawak Alias Kadir, 58 tahun, yang kini dirawat di hospital setelah lagi sebelah kakinya dikudungkan.

Kempen pengumpulan dana selama sebulan itu bermula hari ini (17 Jun).

(Gambar: Jamiyah Singapura)

Ini selepas dunia hiburan dikejutkan dengan khabar bahawa Alias Kadir kehilangan kedua-dua belah kakinya, setelah kaki kanannya pula terpaksa dikudungkan beberapa hari lalu, akibat komplikasi kencing manis.

Alias Kadir kini sudah sekitar sebulan dirawat di hospital.

"Di kaki kanan bapa ada gangren (tisu yang mati akibat terputus bekalan darah atau jangkitan bakteria). Beliau juga ada jangkitan di kaki kanannya dan ia memerlukan pembedahan. Jadi yang sebelah kanan sekarang sudahpun dibedah. Lagipun bapa ada serangan jantung, ada lagi lain-lain penyakit di badannya," kata Encik Juma'at Azhar, anak pelawak tersebut.

JAMIYAH LANCAR PROJEK PERMATA UNTUK BANTU ALIAS KADIR

Setelah mendapat tahu tentang nasib pelawak popular itu, Jamiyah segera menggerakkan usaha untuk membantu meringankan beban kos rawatannya termasuk rawatan di hospital dan sesi fisioterapi.

Projek mengumpul dana itu dipanggil Projek Permata, sesuai dengan status pelawak terkenal itu sebagai sebutir permata dalam industri seni Singapura -khususnya dalam bidang komedi Melayu tempatan.

Alias Kadir sudah lebih 30 tahun menghiburkan orang ramai dengan keletah lucu serta gaya selambanya yang mencuit hati.

Beliau mula berkecimpung dalam bidang seni melalui pelibatannya dengan kumpulan Teater Cekup, yang pernah memenangi pertandingan Pesta Drama Komedi Sriwana pada 1986.

Menurut Jamiyah, usaha mengumpul dana itu juga sebagai tanda mengenang jasa dan sumbangan aktif Alias Kadir yang sudah lama terlibat dalam kegiatan-kegiatan amal dan pernah menjadi sukarelawan membantu program-program Jamiyah.

Misalnya, beliau merupakan anggota Geng Pecah Perut, sebuah kumpulan komedi yang dibentuk dengan sokongan Jamiyah, serta terlibat dalam projek terkini Jamiyah iaitu dalam video Hulurkan Tangan - Episod 'Udang Ramadan' yang disiarkan pada bulan Ramadan yang baru berlalu.

"Kami menyasarkan untuk mengumpul sekurang-kurangnya S$100,000 dan dana ini akan digunakan untuk kos-kos perubatan dan rawatan pada waktu sekarang dan Insya-Allah mudah-mudahan apabila beliau keluar dari hospital," kata Presiden Jamiyah, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar.

Usaha itu disambut baik oleh anak Alias Kadir sendiri yang berbesar hati dengan bantuan yang diberikan Jamiyah.

"Dana itu dapat membantu membayar duit hospital, duit terapinya, duit ubat-ubatannya dan lain-lain lagi," kata Encik Juma'at.

BERITA PALSU MENGENAI ALIAS KADIR DISEBARKAN DI MEDIA SOSIAL

Sementara itu, sedang Alias Kadir dirawat di hospital, timbul pula berita-berita palsu di media sosial yang menyatakan pelawak kesayangan ramai itu sudah meninggal dunia.

(Gambar: Ukhti Aminah/Facebook)

Ini pastinya memeranjatkan dan menjejas keluarga beliau.

"Kami pun baru pulang dari hospital, jadi terkejut juga. Kami baru sahaja melawat bapa, kenapa bapa sudah meninggal dunia pula?" soal Encik Juma'at.

"Jadi kalau boleh, ini semua perlu dihentikan. Khabar angin ini disebarkan dengan cepat sekali. Dengan cepat semalam malam pun kita susah hati sehingga kita menghubungi hospital," tambahnya.

Jika anda mahu menghulurkan sumbangan kepada Alias Kadir menerusi kempen pengumpulan dana itu, anda boleh menderma melalui laman Jamiyah, wadah PayNow atau datang ke Ibu Pejabat Jamiyah yang terletak di 31 Lorong 12 Geylang.

Jamiyah juga merancang untuk mengadakan satu acara kemuncak, di mana para artis dan rakan-rakan Alias Kadir akan membuat persembahan dalam talian di Facebook Jamiyah pada 3 Julai nanti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan