Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jamiyah anjur webinar kupas peranan besar pemimpin agama dalam COVID-19

Jamiyah Singapura bakal menganjurkan satu webinar antarabangsa yang mengupas peranan para pemimpin agama dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jamiyah Singapura bakal menganjurkan satu webinar antarabangsa yang mengupas peranan para pemimpin agama dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Webinar bertajuk 'Krisis Pandemik COVID-19 dan Peranan Pemimpin Agama: Pelajaran dan Kerjasama' itu akan disiarkan secara langsung di laman Facebook dan YouTube Jamiyah pada Jumaat (11 Sep).

Sepuluh pemimpin agama dan ahli akademik kesemuanya akan berkongsi pengalaman masing-masing, selain menjawab pertanyaan-pertanyaan tentang cabaran agama dan peluang yang boleh membawa ke arah usaha kolaboratif pada masa depan.

Tujuh daripada mereka berasal dari luar negara, termasuk Presiden Majlis Besar Dialog Silang Agama Vatican City, Cardinal Miguel Angel Ayuso Guizot dan Pengasas Globalethics.net Foundation dari Switzerland, Prof Dr Christoph Stueckelberger.

(Gambar: Jamiyah Singapore/Facebook)

Presiden Halimah Yacob akan turut menyertai webinar tersebut selaku tetamu terhormat dan menyampaikan ucapan pembukaan.

MENGAPA WEBINAR INI DIADAKAN

Dalam sidang media hari ini (4 Sep), Naib Presiden Ketiga Jamiyah, Dr Isa Hassan, menjelaskan bahawa Jamiyah menganjurkan webinar tersebut demi memberi perspektif lebih luas kepada orang ramai, tentang kesan krisis COVID-19 yang menjangkaui aspek ekonomi dan kesihatan.

"Apa yang dibincangkan tentang pandemik COVID-19 setakat ini, saya fikir penekanan diberi kepada aspek kesan yang ada pada ekonomi dunia. Yang akan dibincangkan dengan meluas sekali dalam webinar akan datang, adalah kerjasama (silang agama)," kata Dr Isa. 

Malah, tambah Dr Isa, para peserta akan diajak untuk merenung bagaimana pemahaman silang agama dapat terus diperkukuhkan lagi walaupun pada masa-masa sukar.

"Kami harus memberi pertolongan satu sama lain, mendapat persefahaman yang lebih tinggi dan saya fikir dalam aspek ini, Singapura dapat memainkan peranan yang besar."

Mengulas lebih lanjut, Dr Isa berkata ada satu salah tanggapan yang perlu ditangkis, iaitu pemikiran bahawa setiap agama mempunyai pendekatan berbeza-beza dalam menangani krisis COVID-19.

"Kita mempunyai satu matlamat. Menjaga nyawa, menjaga kesihatan, menjaga kerjasama yang dijalinkan begitu lama sekali, (seperti dalam) masyarakat Singapura," tambah beliau.

Orang ramai tidak perlu mendaftar untuk menyertai webinar ini. Ia akan berlangsung selama dua jam, dari pukul 7.30 malam pada 11 Sep.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan