Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jaguh silat negara Sheik Farhan terima Anugerah Belia S'pura

Jaguh silat tanah air, Sheik Farhan Sheik Alau'ddin antara tujuh belia yang menerima Anugerah Belia Singapura hari ini (3 Nov) - iaitu pengiktirafan tertinggi bagi golongan belia di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jaguh silat tanah air, Sheik Farhan Sheik Alau'ddin antara tujuh belia yang menerima Anugerah Belia Singapura hari ini (3 Nov) - iaitu pengiktirafan tertinggi bagi golongan belia di Singapura.

Anugerah tersebut khusus bagi belia Singapura yang menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan menjadi inspirasi kepada orang ramai atas pencapaian luar biasanya.

Jumlah penerima Anugerah Belia Singapura tahun ini juga merupakan yang tertinggi tahun ini, sejak ia diperkenalkan pada 1975.

Farhan, 22 tahun, tidak dapat menghadiri majlis penyampaian anugerah di Istana hari ini (3 Nov) kerana sedang menjalani Perkhidmatan Negara. Namun, beliau diwakili keluarganya, untuk menerima anugerah tersebut daripada Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.

BERITAmediacorp sempat bertemu dengan atlit muda itu untuk menyorot perjalanannya sebagai individu 'luar biasa' sehingga menerima pengiktirafan tertinggi bagi golongan belia itu.

KEGAGALAN AJAR ERTI KERJA KERAS

Pencapaian seorang atlit tidak sahaja mencerminkan tekad mencapai kecemerlangan tetapi juga azamnya untuk mengharumkan nama negara.

Bagi Sheik Farhan, pada usia 22 tahun, beliau tidak sahaja sudah berjaya merebut mahkota juara dunia tetapi juga dua kali mempertahankan kedudukannya.

(Gambar-gambar: Sheik Farhan)

Bahkan dalam tempoh empat tahun sejak pertama kali bergelar 'Juara Dunia' pada 2015, Farhan membawa pulang 11 pingat emas menerusi pelbagai pertandingan di Asia.

Namun siapa sangka, kegagalan satu ketika dahulu menjadi pendorong atlit berbadan sasa ini.

"Ketika saya berusia antara 10 tahun sampai 14 tahun, saya selalu kalah. Itu membuat saya menyedari bahawa saya harus kerja lebih keras. Saya tidak boleh setakat ikut latihan yang biasa. Saya harus latih sendiri juga," cerita Farhan. 

Beliau bangkit dari kegagalan lalu mengatur strategi dan tekun menjalani latihan menyeluruh untuk membina ketangkasannya. Kecederaan juga tidak dibiarkan menjadi hambatan.

INGIN TERUS JADI JUARA, MENTOR DIHORMATI

Kini kisah perjuangan beliau menjadi sumber inspirasi bagi atlit muda. Malah, Farhan menjadi mentor kepada pesilat muda lain - sesuatu yang membakar semangatnya untuk terus unggul dalam arena sukan pencak silat.

"Yang muda tetap mahu melihat mentor atau abang tetap menang. Jadi kalau mereka mahu tanya soalan, mereka dapat bertanya dari seorang juara," ujar Farhan.

BERITAmediacorp difahamkan, belia sibuk itu juga mencuri masa untuk mengajar silat kepada kanak-kanak Darul Ma'wa di bawah projek Persekutuan Silat Singapura (PERSISI). Ini selain membantu mengagihkan makanan kepada keluarga-keluarga memerlukan.

Atas dedikasi Farhan memburu kecemerlangan selain mengharumkan nama negara dan menjadi peran contoh kepada belia lain, beliau dipilih panel SYA untuk menjadi antara penerima Anugerah Belia Singapura tahun ini.

Pemenang emas Kejohanan Pencak Silat Dunia di Bali, Sheik Farhan, bersama bapanya dan CEO Persisi, Sheik Alau'ddin. (Gambar: Facebook/Persisi)

(Gambar: PERSISI/Facebook)

Lebih manis lagi, anak bekas juara dunia Sheik Alau'ddin ini mendapat pengiktirafan sama yang dianugerahkan kepada bapanya pada tahun beliau dilahirkan.

Farhan rancang menjadi atlit sepenuh masa selepas tamat menjalani Perkhidmatan Negara pada Apr 2021.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan