Images
  • anifah aman
    Mantan Menteri Luar Anifah Aman menggesa Putrajaya supaya tidak membenarkan ego jejas hubungan M'sia-S'pura. (Gambar: The Malaysian Insight melalui TODAY)

Jaga hubungan baik dengan S'pura - Anifah Aman

KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Luar Malaysia Anifah Aman meminta semua pihak terlibat agar tidak sewenang-wenangnya melakukan sebarang tindakan provokasi bagi menjaga hubungan baik antara Malaysia dengan Singapura.

Mengulas mengenai hubungan diplomasi antara Malaysia dengan Singapura menyusuli isu sempadan maritim berhampiran Tuas serta isu ruang udara Pasir Gudang, Encik Anifah meminta pihak yang tidak mempunyai maklumat serta latar belakang yang kukuh supaya tidak memberikan komen tanpa memikirkan kesan daripada tindakan seperti itu.

"Singapura adalah satu daripada rakan Malaysia yang sering menjadi sekutu yang rapat dalam memperjuangkan pendirian dalam isu-isu multilateral (berbilang hala) dan antarabangsa di mana Malaysia dan Singapura mempunyai nilai-nilai persamaan.

"Nilai dan elemen seperti inilah yang perlu diambil kira dalam menjalinkan hubungan diplomatik yang sihat. Janganlah kerana keegoan kita memusnahkan apa yang dibina selama ini," kata Encik Anifah dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Khamis (17 Jan).

TERPANGGIL SELEPAS PERTIKAIAN UNDANG PELBAGAI REAKSI 

Encik Anifah, yang kini Anggota Parlimen bebas Kimanis, berkata beliau berasa terpanggil untuk menyampaikan pandangan berkaitan isu dua hala antara Malaysia dengan Singapura yang menjadi berita sensasi dalam media kedua-dua negara.

Kenyataannya juga berkongsi tentang peranan yang dimainkan oleh Wisma Putra termasuk di sebalik tabir dalam menghadapi pelbagai cabaran mengurus hubungan dua hala dengan negara tetangga sebelum ini.

Malaysia dan Singapura dalam proses menyelesaikan pertikaian ruang udara dan maritim antara kedua-dua negara yang berlaku sejak Oktober 2018.

Setakat ini, kedua-dua pihak berjaya mengatur perbincangan untuk menyelesaikan pertikaian yang berlaku semasa pertemuan dua hala antara kedua-dua Menteri Luar iaitu Encik Saifuddin Abdullah dan Dr Vivian Balakrishnan pada 8 Jan.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk menggantung pelaksanaan Kawasan Larangan oleh Malaysia di Pasir Gudang, Johor dan pelaksanaan prosedur Sistem Pendaratan Alatan (ILS) oleh Singapura bagi Lapangan Terbang Seletar. Kedua-dua tempoh penggantungan serta-merta itu adalah selama sebulan.

Mengenai isu maritim berkaitan had pelabuhan Johor Bahru dan Singapura, kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja yang akan mengkaji dan membincangkan isu perundangan dan operasi untuk meredakan keadaan di lapangan dan menyediakan asas untuk perbincangan dan rundingan lanjut.

Encik Saifuddin dalam sidang medianya di Putrajaya pada Rabu (16 Jan) berkata hubungan Malaysia-Singapura kekal baik meskipun memerlukan rundingan lanjut dalam beberapa perkara. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top