Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jabatan Penjara S’pura: Rakyat M'sia nantikan hukuman mati bukan penulis rencana terbitan media M'sia

Jabatan Penjara Singapura (SPS) menyatakan pada Jumaat (23 Ogos) bahawa beberapa rencana yang didakwa adalah hasil tulisan pesalah dadah rakyat Malaysia yang sedang menantikan hukuman mati sebenarnya ditulis oleh orang lain, dan ia sebahagian daripada kempen yang diatur dengan sengaja.

Anggaran Waktu Membaca:
Jabatan Penjara S’pura: Rakyat M'sia nantikan hukuman mati bukan penulis rencana terbitan media M'sia

Gambar fail ibu pejabat Jabatan Penjara Singapura.

Diterbitkan : 24 Aug 2019 09:00AM Dikemas Kini : 24 Aug 2019 09:01AM

SINGAPURA: Jabatan Penjara Singapura (SPS) menyatakan pada Jumaat (23 Ogos) bahawa beberapa rencana yang didakwa adalah hasil tulisan pesalah dadah rakyat Malaysia yang sedang menantikan hukuman mati sebenarnya ditulis oleh orang lain, dan ia sebahagian daripada kempen yang diatur dengan sengaja.

Pannir Selvam Pranthaman memberitahu SPS bahawa dia tidak menulis rencana-rencana itu, menurut SPS dalam kenyataan medianya.

SPS mengeluarkan kenyataan tersebut setelah lelaman Malay Mail dan Malaysiakini menerbitkan beberapa rencana antara 31 Julai hingga 19 Ogos yang mendakwa rencana-rencana itu adalah hasil tulisan Pannir.

Rencana-rencana itu didakwa menceritakan pengalaman Pannir ketika sedang menunggu untuk menjalani hukuman mati, dan renungan kehidupannya.

Lelaki 31 tahun itu didapati bersalah membawa 51.84 gram heroin ke Pusat Pemeriksaan Woodlands pada September 2014.

Rayuan pengampunan Pannir ditolak oleh Presiden Singapura, tetapi hukumannya ditangguhkan pada Mei, sehari sebelum dia dijadual menjalani hukuman mati.

Pannir dan keluarganya dimaklumkan menerusi kiriman surat Presiden Singapura yang menolak rayuan pengampunannya. Mereka juga sudah diberitahu tentang tarikh hukuman mati, seminggu sebelum ia dijalankan.

Mengulas tentang keputusan untuk membenarkan penangguhan hukuman mati, Hakim Besar Sundaresh Menon berkata Pannir harus diberi "peluang yang sewajarnya untuk mendapatkan nasihat tentang sama ada dia boleh mengemukakan bantahan".

Singapura menerima tiga permohonan daripada Malaysia untuk menimbangkan semula hukuman mati terhadap rakyat Malaysia di negara ini sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan setahun lalu. Dua daripadanya melibatkan pengedar dadah, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam pada Mei.

Namun, keputusan untuk membenarkan penangguhan khas kepada rakyat Malaysia sedangkan hukuman berkenaan terhadap orang lain diteruskan, tidak dapat dipertahankan, tambah beliau.

Encik Shanmugam berkata demikian setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia Liew Vui Keong berkata, beliau berurusan dengan rakan-rakan sejawatannya di Singapura dan beliau "berasa senang setelah mendapat tahu tentang penangguhan hukuman mati" Pannir.

Bulan lalu, Encik Shanmugam dalam jawapan bertulisnya memberitahu Parlimen bahawa Kementerian Ehwal Dalam Negeri sedang menyemak prosedur untuk memaklumkan banduan yang bakal menjalani hukuman mati tentang keputusan rayuan pengampunan dan tarikh hukuman mereka akan dijalankan. 

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan