Images
  • shanmugam
    Gambar fail Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam. (Gambar: TODAY)

'Itu karut': Shanmugam tentang dakwaan ganja boleh digunakan dalam bidang perubatan

SINGAPURA: Trend meluluskan penggunaan ganja dalam bidang perubatan didorong "kuasa wang dan propaganda", kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam kepada Mediacorp. Beliau mendakwa syarikat-syarikat farmaseutikal sebetulnya menyembunyikan niat sebenar mereka.

Pada Disember, Thailand menjadi negara pertama di Asia Tenggara - yang mempunyai hukuman paling berat di dunia bagi kesalahan dadah - untuk meluluskan penggunaan ganja atas tujuan perubatan. Malaysia dan Filipina sedang mempertimbangkan untuk mengikuti langkah yang sama.

Encik Shanmugam berkata demikian selepas satu kenyaataan bersama dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan. Kenyataan itu menegaskan tentang pendirian Singapura mengenai penggunaan produk-produk farmaseutikal yang mengandungi cannabinoid - sebatian kimia yang ditemui dalam pokok ganja.

Dua kementerian itu menekankan bahawa terdapat perbezaan antara produk-produk farmaseutikal yang dipercayai mempunyai kegunaan terapeutik, dengan produk-produk yang mengandungi ganja yang belum diproses. Produk yang mengandungi ganja mentah dikatakan mempunyai kesan berbahaya dan mampu membuat penggunanya menjadi ketagih.

"Sehingga kini, belum ada kajian yang mengesahkan dakwaan bahawa ganja mentah mampu merawat masalah kesihatan," menurut MOH dan MHA.

GANJA DAPAT RAWAT PENYAKIT? ITU KARUT

Dalam satu temu bual, Encik Shamugam berkata syarikat-syarikat farmaseutikal sebenarnya mengejar keuntungan.

"(Hasil) kajiannya, pada pendapat kami, agak jelas. Institut Kesihatan Mental (IMH) meneliti 500 rencana tentang kesan ganja. Nyatanya, ia boleh menyebabkan kecederaan otak. 50 peratus mereka yang mengambilnya menjadi ketagih," kata Encik Shanmugam.

"Syarikat-syarikat yang mengejar keuntungan daripada (ganja) ini - yang mendatangkan kemusnahan dan kematian - mencari cara baru untuk meyakinkan orang ramai tentang penggunaan ganja dalam bidang perubatan."

"Mereka cuba meyakinkan bahawa ganja kononnya baik bagi orang ramai atas tujuan perubatan. Mereka melaburkan wang untuk memasarkan produk mereka," kata Encik Shanmugam.

"Mereka tidak boleh secara terbuka memberitahu anda: Kami ingin anda beli lebih banyak dadah, dan kami sedang mengaut keuntungan daripada anda," tambahnya.

"Mereka berkata ia dapat merawat penyakit. Itu semua karut."  

- CNA/AQ/aq

Top