Images
  • catholic church
    Gereja Katolik di Singapura. (Gambar: Cathedral of the Good Shepherd)

Isu Watain: Gereja-gereja S'pura hormat kebebasan memilih tetapi ingin perpaduan sosial dilindungi

SINGAPURA: Gereja Katolik dan Gereja Cornerstone Community menyatakan, meski menghormati kebebasan memilih dalam hiburan, mereka akan menyuarakan keprihatinan mereka kepada Pemerintah dan orang ramai supaya melindungi "perpaduan sosial" dan apa yang dianggap "suci kepada kepercayaan (mereka)".

Komen-komen itu dikeluarkan selepas Majlis Gereja Kebangsaan Singapura (NCCS) melahirkan penghargaannya kepada pihak berkuasa kerana memutuskan untuk membatalkan konsert Watain yang seharusnya berlangsung pada Khamis lalu (7 Mac).

"Watain bebas untuk mementaskan persembahan muzik mereka di mana jua diundang," kata Paderi Kanan Gereja Cornerstone Community Yang Tuck Yoong pada Selasa (12 Mac), sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Namun, kami berasa ia tidak sesuai jika kami memberikan wadah kepada kugiran dengan ideologi-ideologi seperti itu di negara berbilang kaum Singapura, di mana rakyatnya saling menghormati dan menghargai satu sama lain," tambahnya.

Seorang jurucakap Gereja Katolik berkata meski pihak gereja tidak menentukan apa yang dipilih orang ramai dalam media, ia mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kepentingannya.

"Namun, jika ada acara yang memperlekehkan apa yang Gereja dan para pengikutnya anggap sebagai suci kepada kepercayaannya, sudah menjadi tanggungjawab kami untuk melindungi kepentingan itu dan menyuarakan keprihatinan kepada pihak berkuasa," kata Encik Andre Ahchak, pengarah perhubungan Gereja Katolik kepada Mediacorp.

Dalam surat kepada para penganut Katolik di Singapura, Ketua Paderi William Goh berkata pemerintah perlu melindungi kebaikan bersama masyarakat, khususnya terhadap mereka yang menggalak "budaya individualisme dan tidak bertolak ansur".

Encik Yang dari Gereja Cornerstone Community juga memberi amaran tentang fahaman-fahaman pelampau yang mampu menggugat perpaduan sosial.  

- CNA/AQ/aq

Top