Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu Sistem Pendaratan Instrumen: M'sia yang minta ILS dipasang; satu ironi kini ia membantahnya

Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan berkata Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) sudah memasang Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) atas permintaan syarikat penerbangan Malaysia, Firefly. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Jan 2019 10:39PM Dikemas Kini : 14 Jan 2019 11:08PM

SINGAPURA: Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan berkata Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) sudah memasang Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) atas permintaan syarikat penerbangan Malaysia, Firefly. Ia berhubung isu ruang udara dan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar.

Beliau berkata ia dimaklumkan bahawa Penguasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memerlukan semua syarikat penerbangan negara itu hanya beroperasi ke lapangan-lapangan terbang yang mempunyai sistem ILS.

Dr Vivian Balakrishnan menambah adalah satu ironi untuk Malaysia kini membantahnya.

 "Ada dakwaan bahawa laluan penerbangan ILS akan lebih menyekat ketinggian bangunan di bawahnya. Ini tidak benar. ILS tidak mengenakan syarat atau batasan tambahan yang menghalang Malaysia daripada membina bangunan tinggi di Pasir Gudang atau mengendalikan kapal-kapal tinggi di Pelabuhan Pasir Gudang," menurut Dr Balakrishnan.

Beliau menarik perhatian kepada beberapa bangunan tinggi di kawasan Pasir Gudang seperti yang dapat dilihat di gambar satelit yang diperolehi dari sumber-sumber terbuka.

Dr Balakrishnan berkata ILS tidak akan menghalang pembinaan struktur tinggi seperti yang didakwa oleh Malaysia.

Tambahnya, Singapura bersedia membincangkan dan menyesuaikan prosedur ILS jika perlu - sekiranya Malaysia mempunyai rancangan pembangunan baru.

Beliau juga bercakap mengenai Kawasan Larangan tetap yang diisytiharkan Malaysia di bahagian selatan negeri Johor.

Dr Balakrishnan berkata Singapura, yang menyediakan khidmat trafik udara untuk kawasan tersebut, tidak diberitahu mengenai langkah sedemikian terlebih dahulu.

Menyusuli pertemuan antara Dr Balakrishnan dengan rakan sejawatan dari Malaysia pada 8 hari bulan lalu, Singapura menggantung pelaksanaan prosedur ILS bagi Lapangan Terbang Seletar selama sebulan.

Bagi tempoh yang sama Malaysia pula menggantung penguatkuasaan Kawasan Larangan tetap itu.

Isu-isu lain termasuk hasrat Malaysia untuk mengkaji semula perjanjian tahun 1974 mengenai pengurusan ruang udara di selatan Johor, yang dinyatakan akhir tahun lalu.

Dr Balakrishnan berkata perbincangan mengenai urusan navigasi udara melibatkan pihak-pihak antarabangsa dan tidak boleh dilakukan serta-merta.

Berhubung harga air mentah Malaysia yang dijual kepada Singapura

Dr Balakrishnan berkata Peguam Negara kedua-dua negara bertemu pada bulan lalu untuk lebih memahami pendirian satu sama lain -adakah Malaysia masih mempunyai hak untuk memyemak semula harga air di bawah perjanjian air 1962.

Walau bagaimanapun, perbincangan itu dibayangi oleh isu-isu maritim dan ruang udara.

Beliau berkata kedua-dua Peguam Negara akan bertemu lagi untuk meneruskan perbincangan.

Menggulung Kenyataan Menteri, Dr Balakrishnan menyeru warga Singapura supaya kekal bersatu padu dan tabah.

"Itulah sebabnya Pertahanan Mutlak dan pelaburan kita dalam SAF amat penting. Ketahanan termasuk memperelok prasarana bekalan air kita, terutamanya AirBaru dan air sulingan, mengukuhkan aspek keselamatan makanan dengan mempelbagaikan sumbernya dan memastikan kita mempunyai pasaran buruh yang kukuh dan pelbagai. Saya yakin kita boleh terus bergantung kepada sokongan semua pihak di dalam Dewan ini dan bersatu tujuan dalam kalangan semua rakyat Singapura," menurut Dr Balakrishnan lagi. 

Sumber : CNA/NU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan