Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu S'pura-M'sia: Kedua-dua pihak mesti bertindak secara jujur, tegas Vivian Balakrishnan

Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan berkata kedua-dua Singapura dan Malaysia mesti bertindak "secara jujur" untuk menghuraikan isu-isu dua hala antara kedua-dua negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Jan 2019 03:44PM Dikemas Kini : 14 Jan 2019 11:18PM

SINGAPURA: Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan berkata kedua-dua Singapura dan Malaysia mesti bertindak "secara jujur" untuk menghuraikan isu-isu dua hala antara kedua-dua negara.

Semasa menyampaikan kenyataan menterinya di Parlimen hari ini (14 Jan), Dr Balakrishnan berkata meskipun berdepan dengan kesukaran sekarang, "Singapura masih berharap untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menjalin hubungan lebih baik dan kerjasama lebih erat yang memanfaatkan kepada kedua-dua pihak".

"Bagaimanapun, kedua-dua pihak mesti bertindak secara jujur dengan mematuhi undang-undang dan norma-norma antarabangsa, serta menghormati perjanjian-perjanjian sedia ada," tambahnya.

Dr Balakrishnan juga menekankan bahawa beliau tidak menjangkakan "huraian pantas atau lancar bagi kesemua isu ini", namun menegaskan Singapura akan melakukan yang terbaik untuk membincangkan isu-isu sedemikan dengan Malaysia "secara tenang, munasabah dan tertumpu".

Dalam kenyataannya, Dr Balakrishnan menjelaskan pendirian Singapura berhubung pertikaian ruang udara, maritim dan air dengan Malaysia.

Pertikaian maritim itu tercetus akibat keputusan sepihak Malaysia untuk meluaskan had pelabuhan Johor Bahru pada Oktober lalu, dan pencerobohan oleh kapal-kapal milik kerajaan Malaysia di perairan Singapura.

Singapura mengemukakan "bantahan tegas" kepada kerajaan Malaysia mengenai had pelabuhan tersebut, yang menurutnya mencerobohi perairan wilayah Singapura dekat Tuas. Singapura dalam satu kenyataan media menyifatkan tindakan Malaysia itu sebagai "pelanggaran serius terhadap kedaulatan dan undang-undang antarabangsa Singapura".

Semasa Parlimen bersidang, Dr Balakrishnan merujuk kepada peta yang dipaparkan di skrin, yang mencerminkan "peluasan sepihak" Malaysia.

"Kawasan perairan di lokasi itu adalah terhad, luasnya kurang 24 batu nautika. Malah peluasan itu melebihi tuntutan perairan wilayah Malaysia sendiri menurut petanya pada 1979, yang secara tetap ditolak oleh Singapura. Kesimpulan yang tidak dapat dielakkan adalah Had Pelabuhan Johor Bahru yang baru mencerobohi Perairan Wilayah Singapura yang tidak dapat disangkal," kata beliau.

Dr Balakrishnan menambah bahawa Singapura sudah sekian lama mengamalkan kedaulatan dan melakukan rondaan di kawasan perairan itu tanpa menerima sebarang bantahan daripada Malaysia. Namun sejak lewat Oktober 2018, Dr Balakrishnan menarik perhatian bahawa kapal-kapal milik kerajaan Malaysia mula mencerobohi perairan Singapura.

Pada minggu lalu, Menteri Besar Johor Osman Sapian melakukan 'lawatan tanpa kebenaran' ke kapal Pedoman milik Malaysia di perairan Singapura. Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyifatkan perbuatan itu sebagai "satu tindakan provokatif" yang bercanggah dengan semangat perjanjian kedua-dua negara untuk menghuraikan isu-isu dua hala secara tenang dan membina.

Dr Balakrishnan berkata "lawatan Encik Osman yang didedahkan kepada umum" itu menjejas semangat muhibah dan kepercayaan yang perlu untuk kerjasama lanjut antara kedua-dua negara, serta menyebabkan Singapura dan Malaysia tidak dapat meneruskan dengan Jawatankuasa Bersama Menteri (JMC) bagi Iskandar Malaysia, yang dijadual diadakan hari ini (14 Jan).

Dr Balakrishnan menekankan bahawa Singapura "secara rasmi membantah pencerobohan itu" menerusi satu surat diplomatik kepada Malaysia, dan menyarankan agar mesyuarat itu ditangguhkan kepada tarikh yang lain.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perbincangannya bersama Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Azmin Ali - sebelum dan selepas tindakan Encik Osman itu - diadakan secara muhibah dan membina.

Menyentuh mengenai ruang udara di selatan Johor pula, Dr Balakrishnan menarik perhatian bahawa prosedur-prosedur Sistem Pendaratan Alatan (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar tidak mengenakan sebarang syarat atau had tambahan yang menghalang Malaysia daripada membangunkan bangunan-bangunan tinggi di Pasir Gudang, ataupun mengendalikan kapal-kapal tinggi di Pusat Pelabuhan Pasir Gudang.

Dalam kenyataannya, Dr Balakrishnan berkata: "Ada dakwaan bahawa Pasir Gudang tidak akan dapat mendirikan bangunan-bangunan lebih tinggi daripada lima tingkat disebabkan oleh ILS, tetapi jika anda menyeberangi ke seberang tambak dan memandu di sekitar Pasir Gudang, anda dapat lihat bahawa sudahpun terdapat bangunan-bangunan setinggi 105 meter di situ."

"ILS belum pernah dan tidak akan menghalang pembinaan struktur-struktur tinggi seperti yang didakwa oleh Malaysia. Dan kami secara tetap menyatakan bahawa jika Malaysia mempunyai sebarang rancangan baru bagi pembangunan, kami bersedia untuk berbincang dan menyesuaikan prosedur ILS jika perlu," tambahnya.

DUA AG BERBINCANG HARGA AIR MENTAH

Satu lagi perkara yang dibangkitkan oleh Malaysia baru-baru ini adalah harga air mentah yang dijual kepada Singapura di bawah Perjanjian Air 1962, kata Dr Balakrishnan.

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad membangkitkan perkara itu kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong apabila kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan pada November lalu. Dr Balakrishnan berkata mereka bersetuju bahawa Peguam Negara (AG) dari negara masing-masing akan bertemu "bagi mengadakan perbincangan untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai kedudukan masing-masing".

Semasa menggulung ucapannya, Dr Balakrishnan menekankan bahawa kekuatan diplomasi Singapura bergantung kepada "perpaduan domestik dan daya bingkasnya, dan bahawa kita tidak boleh mudah ditakut-takutkan atau dipengaruhi."

"Ini adalah asas diplomasi kita sedang kita berusaha untuk membangunkan hubungan baik dengan semua rakan dan negara jiran dengan mematuhi undang-undang antarabangsa berdasarkan peraturan," katanya.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan