Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu privasi, keselamatan data jadi keprihatinan apabila sistem pengecaman wajah semakin digunakan

Digunakan untuk semua perkara - dari membuka kunci telefon bijak hingga ke menaiki pesawat, teknologi pengecaman wajah kini digunakan di mana-mana sahaja.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu privasi, keselamatan data jadi keprihatinan apabila sistem pengecaman wajah semakin digunakan

Perisian pengecaman wajah di Pameran Elektronik Pengguna di Las Vegas pada 8 Jan 2019. (Gambar fail: The New York Times/Joe Buglewicz)

Diterbitkan : 18 Nov 2019 09:49AM Dikemas Kini : 18 Nov 2019 09:51AM

SINGAPURA: Digunakan untuk semua perkara - dari membuka kunci telefon bijak hingga ke menaiki pesawat, teknologi pengecaman wajah kini digunakan di mana-mana sahaja.

Namun sekalipun teknologi tersebut sudah biasa digunakan, penjagaan perlu diambil untuk memastikan ia tidak disalah guna, kata para pakar.

Pengecaman wajah kini semakin luas digunakan di Singapura. Awal bulan ini, ia diumumkan bahawa hotel-hotel di sini boleh menggunakan sebuah sistem automatik yang menggunakan pengecaman wajah untuk mempercepatkan proses daftar masuk pengunjung.

Menjelang 2025, pengecaman wajah - bersama-sama dengan imbasan iris dan cap jari - akan dilaksanakan di kesemua pusat pemeriksaan imigresen Singapura. Ia adalah sebahagian daripada usaha keselamatan sempadan di bawah Strategi AI Negara yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada 13 November lalu.

Terdapat juga rancangan untuk menggunakan pengecaman wajah bagi merekod kehadiran para Anggota Parlimen di Parlimen.

Di seluruh dunia, teknologi tersebut digunakan untuk pelbagai tujuan meliputi penguatkuasaan undang-undang ke daftar masuk bagi penerbangan di lapangan terbang.

Tahun lalu, pasukan keselamatan bagi penyanyi Taylor Swift dilaporkan menggunakan pengecaman wajah untuk mengenal pasti pengintai di konsert-konsert.

BAGAIMANAKAH PENGECAMAN WAJAH BERFUNGSI?

Profesor Madya Terence Sim dari Sekolah Pengkomputeran Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata penggunaan kian meningkat pengecaman wajah boleh diterangkan mengikut beberapa sebab.

Ini termasuk kemajuan PADA pengawaasan komputer, cabang sains komputer yang ada kaitan dengan tugas menganalisis dan memproses imej.

Perisian pengecaman wajah berfungsi dengan menggunakan pengesanan muka untuk mengenal pasti kedudukan dan saiz tepat sebuah wajah dalam imej yang dipetik oleh kamera, kata Profesor Madya Sim.

Ciri-ciri - seperti kedudukan mata dan bentuk rahang, bibir serta hidung - dipadankan dengan satu pangkalan data, menurut beliau sambil menambah bahawa ini dikecapi dengan menggunakan teknik kecerdasan buatan yang dipanggil pembelajaran mesin.

Sebagai langkah keselamatan, beliau menegaskan, pengecaman wajah tidak mempunyai ketepatan setinggi imbasan cap jari atau iris.

Bagaimanapun, ia mempunyai manfaat yang tidak memerlukan perhubungan fizikal berbanding penggunaan imbasan cap jari. Bahkan, ia lebih murah daripada imbasan cap jari kerana kamera biasa boleh digunakan untuk melakukan pengecaman wajah, tambah Presiden Persatuan Karyawan Keselamatan Maklumat, Dr Steven Wong.

CABARAN TEKNOLOGI

Teknologi pengecaman wajah, bagaimanapun, tidak terlepas daripada kegagalan.

Misalnya, kata Dr Wong, beberapa huraian pengecaman wajah mempunyai kesukaran untuk membezakan antara kembar. Beliau juga menambah pencahayaan dan perubahan kosmetik lain boleh menghalang seseorang daripada dikenal pasti dengan tepat.

Memegang gambar atau video ke kamera juga membuatkan teknologi tersebut gagal mengenal pasti wajah dengan tepat, kata Profesor Madya Sim sambil menambah bahawa "penyelidikan aktif" sedang dijalankan untuk mencegahnya.

PERLUKAN KAWAL SELIA LEBIH KETAT

Para pakar memberitahu Mediacorp bahawa perlu ada undang-undang lebih ketat bagi penggunaan pengecaman wajah untuk tujuan pengawasan sambil merujuk kepada kebimbangan berhubung isu privasi.

(Gambar: NICOLAS ASFOURI/AFP)

Profesor Madya Sim menarik perhatian kepada implikasi berhubung penggunaan teknologi pengecaman wajah dalam bidang-bidang seperti pusat beli-belah dan malahan juga rumah.

"Jika saya letak kamera dengan pengecaman wajah di rumah saya tetapi ia menangkap wajah para pejalan kaki di jalanan, adakah ia sah di sisi undang-undang?" soal beliau sambil menambah bahawa penggunaan teknologi tersebut secara tersembunyi seumpama itu seharusnya diharamkan.

Dekan Sekolah Undang-Undang NUS Simon Chesterman menyatakan ciri-ciri serupa yang menjadikan pengecaman wajah berguna untuk tujuan pengenalpastian seperti memeriksa pasport boleh berubah kepada sebuah alat bagi pengawasan besar-besaran.

Privasi data adalah satu lagi keprihatinan, kata Profesor Madya Sim, sambil menekankan bahawa sistem pengecaman wajah dan data yang dikumpulkannya mesti dilindungi dengan betul terhadap serangan siber.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan