Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu letak kereta di garisan berkembar kuning: Polis perlu guna kebijaksanaan, buat pengecualian bila perlu

Para pegawai polis akan mematuhi peraturan dan undang-undang trafik namun akan ada keadaan di mana mereka mungkin perlu menggunakan kebijaksanaan sendiri dan membuat pengecualian.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu letak kereta di garisan berkembar kuning: Polis perlu guna kebijaksanaan, buat pengecualian bila perlu

Gambar yang tersebar online menunjukkan seorang TP menghampiri pemandu di Prinsep Street.

Diterbitkan : 31 Dec 2017 05:25PM Dikemas Kini : 31 Dec 2017 05:28PM

SINGAPURA: Para pegawai polis akan mematuhi peraturan dan undang-undang trafik namun akan ada keadaan di mana mereka mungkin perlu menggunakan kebijaksanaan sendiri dan membuat pengecualian.

Demikian menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) semalam (30 Dis).

Ini dinyatakan sebagai respons kepada surat yang diterbitkan dalam akhbar Lianhe Zaobao tentang saman yang tidak dikenakan ke atas kereta-kereta konvoi Presiden Halimah Yacob yang menunggu di tepi jalan raya dengan garisan berkembar kuning, awal bulan ini.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan SPF sebelum ini menyatakan dalam satu kenyataan bersama bahawa seorang pegawai penguatkuasaan LTA sedang menjalankan rondaan rutin di Prinsep Street pada 20 Disember apabila beliau ternampak dua kenderaan yang sedang menunggu di tepi jalan raya dengan garisan berkembar kuning.

Pegawai itu kemudian menghampiri kenderaan tersebut untuk menyuruh pemandunya beredar dan dimaklumkan oleh pemandu berkenaan bahawa mereka sedang menunggu untuk menjemput Presiden yang berada di tempat itu.

Di tengah-tengah perbualan tersebut, Puan Halimah tiba dan pemandu berkenaan segera beredar.

Tiada saman dikeluarkan, menurut LTA dan SPF.

Penulis surat kepada akhbar itu, Long Jidong, berkata bahawa para pegawai tidak mematuhi peraturan jalan raya dan berkata mereka sepatutnya dihukum.

"Ia menyalahi undang-undang untuk meletak kereta di mana terdapat garisan berkembar kuning dan menghadang jalan raya. Para pemandu kenderaan sektor awam sepatutnya menunjukkan contoh dengan tidak berhenti di garisan berkembar kuning," tulis beliau dalam surat tersebut, yang diterbitkan pada Khamis lalu (28 Dis).

Sebagai respons, SPF semalam menyatakan kenderaan rasmi mungkin perlu berada dekat dengan lokasi acara atas sebab-sebab keselamatan dan untuk mempercepat urusan berpindah ke tempat lain.

"Apabila perlu menguatkuasakan undang-undang, kenderaan polis seringkali perlu diletakkan di lokasi yang membolehkan operasi dijalankan dengan pantas. Dan seringkali juga tiada tempat meletak kereta yang mudah diakses (yang memenuhi ciri keselamatan yang diperlukan).

"Oleh itu, bagi memastikan individu yang di bawah perlindungan tidak terdedah (kepada ancaman keselamatan), kenderaan akan diletakkan berdekatan dengan lokasi yang sesuai untuk mengambil mereka, walaupun meletak kereta di lokasi itu tidak dibenarkan," menurut polis.

"Para pegawai polis akan meneliti keadaan, termasuk keselamatan awam, apabila membuat keputusan-keputusan sedemikian. Mereka sudah dilatih."

SPF menambah ini serupa dengan apa yang diamalkan oleh pasukan-pasukan polis di banyak negara lain.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan