Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu berlainan bahasa, 'tidak cukup' peguam antara kesulitan pekerja asing tuntut keadilan, dapatkan bantuan guaman di S'pura

Cik Simpen, 49 tahun, yang sudah bekerja di Singapura sebagai seorang pembantu rumah selama 13 tahun, adalah antara pekerja-pekerja Indonesia di sini yang terkesan dengan kes perbicaraan Cik Parti Liyani yang dibebaskan daripada tuduhan-tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu berlainan bahasa, 'tidak cukup' peguam antara kesulitan pekerja asing tuntut keadilan, dapatkan bantuan guaman di S'pura

Cik Parti Liyani tiba di Mahkamah Negara bersama peguam bela Anil Balchandani pada 8 September. (Gambar: TODAY/Raj Nadarajan)

Diterbitkan : 14 Sep 2020 08:42PM Dikemas Kini : 14 Sep 2020 09:21PM

SINGAPURA: Cik Simpen, 49 tahun, yang sudah bekerja di Singapura sebagai seorang pembantu rumah selama 13 tahun, adalah antara pekerja-pekerja Indonesia di sini yang terkesan dengan kes perbicaraan Cik Parti Liyani yang dibebaskan daripada tuduhan-tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

“Beliau tidak melakukan kesalahan, jadi adalah baik beliau tidak dipenjarakan,” kata Cik Simpen.

Awal dari itu Cik Parti, 46 tahun, didapati bersalah oleh seorang hakim daerah atas tuduhan mencuri barangan bernilai S$34,000 milik majikannya, mantan Pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong serta keluarganya. Cik Parti dihukum penjara dua tahun dan dua bulan.

Namun setelah mendengar rayuannya, sabitan kesalahan dan hukuman ke atas empat tuduhan mencuri dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 4 September.

Hakim Mahkamah Tinggi Chan Seng Onn memutuskan bahawa Mahkamah Daerah gagal menimbangkan beberapa perkara, dan Encik Liew dan anaknya mempunyai “muslihat” ketika membuat aduan polis yang menuduh Cik Parti mencuri barangan mereka pada 2016.

Pada Selasa (8 Sep), kes Cik Parti dimuktamadkan secara rasmi setelah beliau diberikan pelepasan yang membawa kepada pembebasan atas satu lagi tuduhan yang belum dijatuhkan hukuman.

Meskipun berbeza kerakyatan, sebilangan pembantu rumah dari Filipina juga memuji Cik Parti atas keberaniannya.

“Saya tabik kepadanya,” kata Cik Grecilda Capozez, 47 tahun, yang sudah bekerja di Singapura selama 21 tahun. “Beliau seorang wanita yang sangat berani mempertahankan haknya. Saya fikir sesetengah pembantu rumah dalam kedudukan sepertinya mungkin akan menyerah kalah.”

Selain menjadi sumber inspirasi, pengalaman Cik Parti yang penuh rintangan dan halangan untuk mempertahankan nama baiknya juga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sesetengah pekerja asing yang ditemui Mediacorp kerana mereka khuatir dikenakan tuduhan atas jenayah yang bukan dilakukan oleh mereka.

Awal minggu ini, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata, agensi-agensi Pemerintah sedang meneliti perkara-perkara yang menyebabkan Cik Parti didapati bersalah atas tuduhan mencuri.

Sabitan kesalahan dan kemudian pembebasan Cik Parti turut menarik perhatian kepada cabaran-cabaran yang dihadapi para pekerja asing di negara ini untuk menuntut keadilan sekiranya mereka terjebak dengan masalah undang-undang

Tinjauan Mediacorp melibatkan sebilangan peguam dan pertubuhan-pertubuhan bukan pemerintah (NGO) juga mendedahkan beberapa isu sistemik: Para pekerja asing kerap berdepan dengan kesulitan untuk mendapatkan khidmat guaman dan komunikasi turut menjadi isu disebabkan oleh berlainan bahasa ketika cuba mendapatkan bantuan undang-undang.

(Gambar Fail: TODAY/Raj Nadarajan)

Yang merumitkan lagi keadaan mereka adalah kehilangan mata pencarian dan kebimbangan ketika menunggu kes mereka dihuraikan di mahkamah yang mungkin mengambil masa selama bertahun-tahun.

Kadangkala para pekerja tidak tahu bagaimana mereka boleh meminta bantuan, atau selok-belok sistem undang-undang negara ini – seperti yang ditekankan oleh peguam bela Cik Parti, Encik Anil Balchandrani, dalam wawancara dengan kumpulan hak pekerja asing Pertubuhan Kemanusiaan bagi Ekonomi Penghijrahan (HOME).

HOME adalah NGO yang membantu Cik Parti sepanjang perbicaraan kesnya yang berlarutan selama empat tahun.

Apabila ditanya jika mereka tahu di mana mereka boleh meminta bantuan sekiranya dituduh melakukan jenayah, kebanyakan pekerja asing yang ditemui Mediacorp berkata mereka akan memohon bantuan daripada kedutaan negara masing-masing, seperti mana dimaklumkan kepada mereka sebelum mereka tiba di Singapura untuk bekerja.

Ada pula yang berkata mereka akan meminta bantuan pihak berkuasa tempatan – sama ada polis atau Kementerian Tenaga Manusia (MOM) – jika mereka dikenakan tuduhan jenayah. Selain tempat-tempat tersebut, sebahagian besar pekerja asing tidak mengetahui tentang wadah-wadah bantuan lain.

AKSES KEPADA PERWAKILAN UNDANG-UNDANG

Isu yang kerap kali dibangkitkan dalam wawancara Mediacorp bersama dengan NGO-NGO dan peguam-peguam adalah kesulitan yang dihadapi oleh pekerja asing untuk mendapatkan perwakilan undang-undang jika dikenakan tuduhan.

Sebagai pekerja bergaji rendah dengan kemampuan yang terbatas, para pekerja rata-rata hanya berupaya mendapatkan khidmat guaman secara pro bono atau secara sukarela.

Mereka boleh meminta bantuan daripada NGO-NGO seperti HOME, Transient Workers Count Too (TWC2) dan Persatuan Pekerja Pembantu Rumah bagi Sokongan Sosial dan Latihan (FAST) yang boleh membantu untuk mendapatkan khidmat guaman secara pro bono.

Parti Liyani (enam dari kanan) bersorak dengan para relawan dan kakitangan daripada HOME sert peguamnya, Anil Balchandan, setelah beliau dibebaskan hukuman mencuri. (Gambar: HOME/Facebook)

Cik Parti Liyani bersorak dengan para relawan dan kakitangan daripada HOME serta peguamnya, Anil Balchandan, setelah beliau dibebaskan hukuman mencuri. (Gambar: HOME/Facebook)

Bagaimanapun NGO-NGO menyatakan, tidak semestinya mudah untuk mencari peguam yang rela menawarkan pertolongan secara percuma.

Lazimnya, langkah pertama adalah untuk memohon bantuan Skim Bantuan Guaman Jenayah (CLAS) kendalian Khidmat Pro Bono Persatuan Guaman, yang menyediakan bantuan kepada individu-individu yang berdepan dengan tuduhan-tuduhan yang tidak membawa hukuman mati dan tidak mampu mendapatkan khidmat guaman.

Namun CLAS hanya meliputi kesalahan-kesalahan di bawah statut-statut tertentu.

Para pemohon perlu menjalani ujian kemampuan seperti dilakukan oleh agensi-agensi pemerintah untuk menilai sama ada seseorang pemohon menepati kriteria kelayakan bagi mendapatkan bantuan kewangan seperti hasil pendapatan dan nilai tahunan rumah mereka.

Kes-kes terhadap para pemohon juga dinilai kekuatannya dengan mengambil kira, antara lain, sama ada beliau mempunyai alasan yang munasabah untuk membelanya di mahkamah.

Mereka yang didakwa melakukan kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati akan menerima bantuan di bawah Skim Bantuan Guaman bagi Kesalahan yang Membawa Hukuman Mati (LASCO). Peguam-peguam pro bono akan dilantik Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi untuk mewakili tertuduh – tanpa mengira kerakyatan – tanpa perlu menjalani ujian kemampuan.

Encik Alex Au, Naib Presiden TWC2 mengongsi berdasarkan pengalamannya bahawa kira-kira separuh daripada permohonan kepada CLAS yang dibantunya, ditolak.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, pejabat Khidmat Pro Bono Persatuan Guaman menyatakan bahawa para pemohon yang gagal masih boleh meminta bantuan di bawah Skim Bantuan Pro Bono Ad Hoc (AHPBS).

Namun AHPBS hanya menerima permohonan yang dirujuk dan kesemua pemohon masih perlu menjalani ujian kemampuan dan kekuatan kes.

Pejabat tersebut menambah bahawa sekitar 15 hingga 20 peratus daripada kes-kes yang diluluskan di bawah kedua-dua skim melibatkan pekerja asing.

Bagi para pemohon yang ditolak, NGO akan berusaha untuk memperolehi perwakilan undang-undang menerusi rangkaian peguamnya sendiri.

Sesetengah kedutaan asing, termasuk Indonesia dan Filipina, juga akan membantu untuk mendapatkan khidmat guaman.

Namun Encik Au mengatakan, masih berlaku situasi di mana TWC2 tidak berhasil mencari peguam untuk mewakili seseorang pekerja yang kemudian terpaksa menjalani prosiding undang-undang tanpa diwakili peguam.

ADA BANTUAN TAPI 'TIDAK CUKUP' PEGUAM

Terdapat saluran bantuan guaman yang secukupnya bagi pekerja asing, kata peguam bela Mohamed Muzammil Mohamed dari Muzammil & Company, namun masalahnya adalah jumlah peguam bela yang kecil di Singapura.

Mediacorp difahamkan bahawa terdapat sekitar 1,200 peguam di Singapura yang mengendalikan kes-kes jenayah.

Peguam-peguam yang ditemui Mediacorp berkata bahawa mereka tidak mampu mengendalikan setiap kes pro bono yang ditawarkan kepada mereka kerana mereka sendiri berdepan dengan kesuntukan masa dan perlu juga mengendalikan kes-kes lain.

“Tidak semestinya kami akan kurang memberi perhatian kepada kes itu jika ia adalah kes pro bono dan hanya akan memberikan lebih tumpuan kepada kes-kes lain jika kami menerima bayaran,” kata Encik Muzammil.

Cik Felicia Ong, peguam dari Beacon Law Corporation berkata bahawa banyak tugas perlu dilakukan dalam perbicaraan kes jenayah dan kes-kes rayuan.

Gambar fail seseorang yang digari.

Gambar fail seseorang yang digari.

Dalam pertimbangan seseorang peguam sama ada beliau harus mengendalikan kes-kes pro bono ataupun tidak, Presiden Persatuan Peguam Bela Singapura, Sunil Sudheesan berkata bahawa antara perkara utama yang dinilai adalah sama ada kes berkenaan akan dibicarakan.

“Kes-kes yang dibicarakan sudah tentu melibatkan tuntutan masa yang ketara. Tidak semua orang yang sanggup melakukan kerja seperti mana dilakukan oleh Anil (peguam Cik Parti) secara pro bono mahupun sebaliknya,” katanya.

“Lantaran itu jika seseorang peguam sukarela CLAS boleh meluangkan masa, kes-kes perbicaraan boleh dikendalikan. Jika tidak, seseorang peguam sukarela boleh membantu dalam kes-kes ‘mengaku bersalah’ di mana tuntutan masanya biasanya kurang membebankan.”

APABILA BAHASA MENJADI RINTANGAN

Satu lagi cabaran yang dikemukakan NGO dan para peguam adalah cabaran dari segi bahasa yang dihadapi para pekerja asing ketika menempuh sistem undang-undang yang menggunakan Inggeris sebagai bahasa pengantaraan.

Ramai pekerja yang tidak biasa menggunakan – bahkan ada juga yang tidak memahami – bahasa Inggeris.

Para pekerja asing berdepan dengan kerumitan bahasa sebelum kes mereka dikemukakan di mahkamah, contohnya ketika memberi keterangan kepada pihak berkuasa.

Meskipun pihak polis mungkin menyediakan khidmat penterjemah untuk membantu pegawai siasatan semasa merakam keterangan seseorang pekerja, penterjemah itu tidak semestinya berbicara dalam bahasa atau dialek yang sebenarnya ditutur pekerja berkenaan. Ini boleh mendatangkan kecelaruan pada keterangan yang diberikan.

Kompleks Kantonment Polis di Singapura. (Gambar: Kendrick Soong) 

Kompleks Kantonment Polis di Singapura. (Gambar: Kendrick Soong) 

Misalnya, NGO-NGO dan peguam-peguam memberi contoh di mana keterangan seorang pekerja rakyat Indonesia dirakam dalam bahasa Melayu dan bukan Bahasa Indonesia.

Meskipun pegawai dan pekerja berkenaan boleh saling memahami antara satu sama lain memandangkan ada persamaan antara kedua-dua bahasa, ada perkataan-perkataan tertentu yang mempunyai makna yang berbeza. Akibatnya, keterangan pekerja itu mungkin disalah faham.

Selain itu ada juga pekerja yang bertutur dalam bahasa-bahasa yang sukar untuk mendapatkan penterjemah.

Cik Ong dari FAST memberi contoh pekerja Sri Lanka yang bertutur dalam bahasa Sinhala dan mempunyai pemahaman Inggeris yang terhad.

“Beliau mempunyai gambaran yang samar bahawa beliau melakukan sesuatu yang salah, namun beliau tidak memahami apa yang dinyatakan bagi setiap tuduhan kerana ada begitu banyak tuduhan yang dikenakan terhadapnya.”

Encik Melvin Chan, peguam TSMP Law Corporation yang pernah mewakili pekerja-pekerja asing dalam kes-kes sivil penting, menjelaskan bahawa ada pekerja yang tidak memahami sepenuhnya soalan-soalan yang diajukan semasa siasatan dijalankan.

Ini bermakna mereka mungkin mengaku melakukan kesalahan meskipun mereka tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Masalah penterjemahan juga berlaku di mahkamah, kata Encik Muzammil. Beliau menambah bahawa para penterjemah mungkin kurang berkemahiran dalam bahasa sebenar yang ditutur tertuduh atau bahasa Inggeris untuk menyediakan penterjemahan yang tepat.

Kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Negara menyatakan di lelaman web masing-masing bahawa kedua-dua mahkamah menyediakan khidmat penterjemahan bagi para saksi yang tidak memahami atau bertutur bahasa Inggeris, jika diminta. Ini termasuk bahasa Melayu, Jawa dan Bawean.

(Gambar: Mediacorp)

Bangunan Mahkamah Negara. (Gambar: Mediacorp)

Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap Mahkamah Negara berkata, ia mempunyai pangkalan data penterjemah bahasa asing sambilan yang menyediakan khidmat mereka jika diperlukan.

Pengaturan itu adalah berasingan daripada kumpulan penterjemah mahkamah yang menyediakan khidmat penterjemahan dalam bahasa-bahasa ibunda dan dialek-dialek lazim.

Ia menambah bahawa semua penterjamah mahkamah “perlu menepati standard kemahiran yang tinggi”. Para penterjemah yang baru dilantik perlu lulus Peperiksaan Pentauliahan bagi Penterjemah Profesional kendalian Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Para penterjemah bahasa asing yang khidmat mereka didapatkan oleh Mahkamah Negara juga perlu menyediakan bukti pensijilan dan pentauliahan mereka sebelum dilantik.

KEHILANGAN MATA PENCARIAN

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan menyusuli keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes Cik Parti, HOME menyatakan, para pekerja asing biasanya terkandas di Singapura semasa siasatan dijalankan tanpa mengetahui beberapa lama mereka perlu menunggu.

Sepanjang tempoh itu, mereka tidak dibenarkan bekerja. Tanpa mata pencarian, mereka perlu bergantung kepada NGO untuk berteduh dan diberi makanan dan bantuan kewangan.

(Gambar: TODAY/Nadhirah Mansor)

HOME menyatakan bahawa Cik Parti menghabiskan masa hampir empat tahun di tempat berteduh HOME sementara menunggu kesnya dimuktamadkan. Beliau tidak dibenarkan bekerja atau pulang ke tanah air untuk bertemu keluarganya.

Dalam keadaan sedemikian, sesetengah pekerja asing mungkin memilih untuk mengaku bersalah meskipun percaya bahawa mereka tidak bersalah.

Ini kerana masa yang diambil untuk menjalani hukuman mungkin lebih singkat berbanding tempoh yang diperlukan untuk membela diri daripada tuduhan jenayah yang dikenakan, kata Cik Felicia Ong.

Cik Serina Ong berkata, berdasarkan pengalamannya, para pekerja asing lazimnya mempunyai keluarga besar dan mereka adalah satu-satunya pencari nafkah dan lantaran itu, mereka berasa sangat tertekan – dari segi emosi dan kewangan – untuk menyara kehidupan keluarga di kampung halaman masing-masing. 

Sumber : Today/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan