Images
  • Vivian
    Dr Vivian Balakrishnan di Parlimen.

Isu antarabangsa semakin pengaruhi perbicangan dalam negeri

SINGAPURA: Masyarakat Singapura yang terbuka, berbilang kaum dan agama memberikan banyak peluang kepada warga asing untuk cuba menguji iltizam dan melemahkan perpaduan masyarakat di sini.

Demikian menurut Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan hari ini (1 Mac).

Semasa membahaskan peruntukan Belanjawan Negara bagi kementeriannya, Dr Balakrishnan memberitahu Parlimen, isu-isu antarabangsa semakin lama semakin sering menjadi perbincangan dalam negeri dan rakyat Singapura perlu mengikuti perkembangan dunia.

"Rakyat Singapura mesti mengikuti perkembangan (dunia) bukan sahaja dari pelbagai sudut pandangan malah juga pengaruhnya yang perlu dipertimbangkan," kata beliau.

"Rakyat Singapura juga perlu bijak menilai "berita palsu" dan jangan membiarkan diri kita terganggu dan berpecah belah."

Untuk mencapainya, beliau berkata Kementerian Ehwal Luar (MFA) sudah mempertingkat usahanya untuk mendampingi rakyat Singapura dari pelbagai latar belakang. "Kami memerlukan sokongan kuat yang berdasarkan pengetahuan tentang perkembangan terkini kerana dasar asing bermula dari dalam rumah," kata Dr Balakrishnan.

Memetik kata-kata mantan Presiden Tony Tan semasa Ceramah S Rajaratnam pada tahun lalu, Dr Balakrishnan berkata "apabila seseorang datang kepada anda membawa mesej, fikirkan tentang mesej itu dan tanyakan kepada diri sendiri apa maksud sebenarnya".

"Fikirkan dengan teliti tentang siapa yang akan meraih manfaat daripada mesej tersebut dan sama ada ia untuk kepentingan Singapura sendiri," kata beliau.

Paling penting, tambah beliau, dasar asing Singapura bersandarkan kepada "persetujuan domestik bagi kepentingan negara".

Merujuk kepada sebahagian daripada cabaran masa akan datang yang perlu diharungi Singapura, Dr Balakrishnan berkata meskipun jalinan hubungan diplomatik Singapura baik, ia "perlu terus berwaspada terhadap perkara yg diketahui namun mungkin kita terlepas pandang dan juga perkara yang kita tidak tahu menahu sama sekali".

"Apakah perkara yang mungkin kita terlepas pandang? Ketegangan di Semenanjung Korea menjadi cabaran besar kepada keamanan dan kestabilan serantau," tambah beliau.

"Singapura sudah melaksanakan sepenuhnya dan sebaiknya Ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kami berharap rundingan baru-baru ini antara Republik Korea dan Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) akan membantu mencapai huraian damai dan pada akhirnya kami berharap Korea Utara akan menghentikan program nuklearnya.

"Bagaimana kita di Singapura harungi berita-berita mengejutkan dari negara lain bergantung kepada daya bingkas dan perpaduan dalam negeri," kata beliau.

- CNA/NK/nk

Top