Images

Istana dibuka kepada umum sempena Hari Kebangsaan; yang pertama sejak COVID-19

SINGAPURA: Istana akan dibuka kepada para pengunjung buat pertama kali sejak tempoh lebih 18 bulan pada 1 Ogos nanti sempena meraikan Hari Kebangsaan.

Demikian diumumkan oleh Pejabat Presiden hari ini (13 Jul).

Istana biasanya dibuka kepada orang ramai pada lima hari setiap tahun. Ekoran COVID-19, pekarangan tersebut ditutup kepada umum sejak Februari tahun lalu.

Rumah terbuka yang dirancang pada 13 Mei tahun ini sempena sambutan Hari Raya Puasa dan Hari Buruh juga dibatalkan di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19.

Mereka yang mempunyai tiket ke acara yang dibatalkan itu akan dijemput kembali untuk ke acara rumah terbuka pada 1 Ogos.

Pembukaan semula pekarangan Istana dilakukan sedang langkah-langkah COVID-19 dilonggarkan secara bertahap-tahap dan kegiatan-kegiatan disambung semula secara selamat, menurut Pejabat Presiden dalam kenyataan media tersebut.

Untuk mengelakkan perhimpunan dalam kumpulan-kumpulan besar, rumah terbuka pada 1 Ogos itu tidak akan menampilkan elemen-elemen yang biasa dilihat dalam acara-acara sebelum ini, seperti persembahan, lawatan berpandu, gerai dan trak makanan.

Duta jarak selamat juga akan bertugas untuk memastikan para pengunjung mematuhi langkah-langkah pengurusan COVID-19.

"Istana meminta kerjasama dan pemahaman pengunjung agar rumah terbuka Istana yang menjelang akan menjadi pengalaman menyenangkan bagi semua," tambah Pejabat Presiden.

Kali terakhir Istana mengadakan rumah terbuka adalah pada 26 Januari 2020, untuk menyambut Tahun Baru Cina. Acara-acara rumah terbuka lain sempena Hari Raya Puasa, Hari Kebangsaan dan Deepavali diadakan secara maya pada tahun lalu.

- CNA/TQ/tq

Top