Images
  • istana (2)
    Gambar fail: Howard Low

Istana anjur rumah terbuka pada 4 Nov sempena Deepavali

SINGAPURA: Istana akan menganjurkan rumah terbuka pada 4 November sempena Deepavali.

Demikian diumumkan oleh Pejabat Presiden hari ini (22 Okt).

Namun, para pengunjung hanya boleh mengakses kawasan luar dan taman-taman Istana.

Mereka yang mahu mengunjungi Istana pada 4 November perlu membuat permohonan tiket lebih awal, tambah Pejabat Presiden dalam satu kenyataan media.

Mereka yang membuat permohonan tiket perlu memilih slot yang bermula pada pukul 9.00 pagi, 11.00 pagi, 1.00 tengah hari atau 3.00 petang. Setiap permohonan adalah terhad kepada dua tiket.

Tiada bayaran dikenakan untuk tiket-tiket tersebut, yang akan diagihkan menerusi sistem undian elektronik. Keputusan undian adalah muktamad, tegas Pejabat Presiden.

Istana kali terakhir dibuka kepada orang awam pada 28 Ogos sempena Hari Kebangsaan.

HANYA TAMAN-TAMAN BOLEH DIAKSES

Tiada persembahan, lawatan berpandu, gerai-gerai, trak makanan atau oleh-oleh yang dijual sewaktu rumah terbuka Deepavali itu, menurut Pejabat Presiden. Selain itu, lawatan berpandu di bangunan utama juga tidak akan diadakan.

"Para pelawat mesti memakai pelitup pada setiap masa. Kegiatan tanpa pelitup termasuk makan dan minum tidak dibenarkan," menurut kenyataan itu lagi. "Duta-duta jarak selamat akan dikerahkan untuk memastikan para pelawat mematuhi langkah-langkah jarak selamat."

Setiap tiket membolehkan hanya seorang pelawat menghadiri acara rumah terbuka Deepavali itu pada slot yang ditetapkan. Kanak-kanak, termasuk bayi juga mesti memiliki tiket sah untuk memasuki Istana.

Istana biasanya dibuka kepada orang ramai selama lima hari setiap tahun.

Istana awalnya dijadualkan untuk dibuka pada Mei sempena Hari Raya Aidilfitri dan Hari Buruh tetapi acara tersebut dibatalkan selepas langkah-langkah COVID-19 diperketatkan di tengah-tengah lonjakan kes.

Mereka yang berminat untuk membuat permohonan tiket boleh melakukan sedemikian mulai 25 Oktober, dari pukul 10.00 pagi hingga 26 Oktober, pada pukul 10.00 pagi di laman ini. 

- CNA/SM/sm

Top