Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Islam tunggak masyarakat Melayu; asatizah main peranan penting pupuk umat progresif

Islam adalah tunggak masyarakat Melayu, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa menyampaikan ucapannya dalam Bahasa Melayu bagi Rapat Umum Hari Kebangsaan hari ini (18 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Islam tunggak masyarakat Melayu; asatizah main peranan penting pupuk umat progresif

Masyarakat Islam di Singapura. (Gambar: Facebook/ PM Lee)

SINGAPURA: Islam adalah tunggak masyarakat Melayu, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa menyampaikan ucapannya dalam Bahasa Melayu bagi Rapat Umum Hari Kebangsaan hari ini (18 Ogos).

Di sini juga PM Lee akur bahawa para asatizah berperanan penting dalam memupuk masyarakat Islam Singapura yang progresif.

PM Lee berkata demikian di Kolej Tengah Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di Ang Mo Kio sambil menyifatkan Islam sebagai antara agama ulung di dunia, yang menekankan kedamaian.

USTAZ ZAHID ZIN MILIKI CIRI GALAK ISLAM PROGRESIF

Diamalkan dengan semangat saling menghormati, toleransi dan bersikap inklusif dalam masyarakat majmuk Singapura, PM Lee menarik perhatian kepada asatizah tempatan Ustaz Zahid Zin yang memiliki ciri-ciri tersebut bagi mendorong masyarakat Islam tempatan yang progresif.

(Gambar: Muslim Youth Forum)

(Gambar: Muslim Youth Forum)

PM Lee menarik perhatian: "Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Forum Belia Islam (MYF), beliau mengambil pendekatan segar dalam menganjurkan kelas-kelas agamanya. Ini termasuk mengundang orang bukan Islam untuk berkongsi perspektif dengan belia Islam."

(Gambar: Muslim Youth Forum)

(Gambar: Muslim Youth Forum)

Malah, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat juga pernah mengambil bahagian dalam salah satu sesi seumpama itu.

Ustaz Zahid juga aktif menyertai kegiatan anjuran MESRA dan menjadi anggota Majlis Penasihat M³.

PENGHORMATAN TERAKHIR SAUDARA BUDDHA TARIK PERHATIAN

Penghormatan terakhir Ustaz Zahid kepada seorang saudara bukan Islam baru-baru ini juga diketengahkan PM Lee.

Beliau, yang juga penerima Anugerah Belia Inspirasi MUIS50, menziarahi keluarga mendiang yang menjalankan upacara mengikut agama Buddha.

"Dalam catatannya di Facebook, Ustaz Zahid menulis bagaimana semua budaya dan kepercayaan mesti dihormati, dan pengalamannya itu merupakan detik berharga untuk beliau mengajar anak-anaknya.

(Gambar: Zahid Zin)

(Gambar: Zahid Zin)

"Sebenarnya, ia satu pengajaran untuk kita semua, tidak kira apa kepercayaan kita, atau umur kita," kata PM Lee, yang turut melahirkan harapan agar asatizah itu dapat terus menjadi sumber inspirasi kepada semua.

Sehubungan itu, PM Lee turut mengalu-alukan saranan daripada sebuah jawatankuasa lanjutan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), yang diketuai Dr Maliki Osman, untuk mewujudkan golongan asatizah yang bermutu tinggi dan pemimpin masa depan yang konfiden.

MUIS LANCAR PCICS TAHUN DEPAN

Dalam perkembangan lain, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan melancarkan Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) tahun hadapan.

Kursus tersebut adalah bagi siswazah agama di luar negara apabila mereka pulang ke Singapura supaya mereka dilatih untuk menerapkan apa yang dipelajari dalam konteks negara ini.

(Gambar: MCI)

(Gambar: MCI)

"Kami juga berharap untuk meneroka pendekatan dan pedagogi baru dalam pengajaran dan pembelajaran Islam. Ini akan membantu dalam mencorak model untuk kolej Islam kita sendiri, yang bakal melatih generasi asatizah yang baru di Singapura," kata PM Lee.

MASYARAKAT MELAYU/ISLAM S'PURA DIKAGUMI

PM Lee menarik perhatian masyarakat Melayu/Islam Singapura dikagumi sebagai contoh bagi masyarakat Islam minoriti di dunia.

Ini didorong kejayaan negara ini dalam membina hubungan silang kaum dan agama.

(Gambar: MCCY)

(Gambar: MCCY)

Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) anjuran Singapura baru-baru ini turut membolehkan para ulama dan ahli akademik di sini bertukar-tukar idea dengan rakan-rakan peserta dari negara asing.

"Persidangan ini adalah satu peringatan kepada diri kita sendiri, untuk cekal berusaha dalam mengukuhkan keharmonian agama kita, walaupun isu-isu kaum dan agama sering mencetuskan konflik yang serius dalam masyarakat lain," kata PM Lee.

BERKEMBANG MAJU SEIRING KEMAJUAN S'PURA

Semasa menggulung ucapan beliau dalam bahasa Melayu, PM Lee akur masyarakat Melayu sudah berkembang maju seiring dengan kemajuan Singapura.

Ini dengan tertubuhnya masyarakat yang kukuh dan yang memperkaya sejarah Singapura sepanjang beberapa abad ini.

(Gambar: Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura)

(Gambar: Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura)

Malah, kata PM Lee, orang Melayu berpegang teguh kepada identiti sendiri sambil bersatu padu dengan masyarakat lain serta memiliki naluri dan jati diri sebagai anak watan Singapura.

"Usaha memperingati dwiabad ini adalah peluang untuk kita semua mengiktiraf sumbangan orang Melayu kepada Singapura dan meraikan pencapaian anda," kata PM Lee.

Turut mendukung aspirasi masyarakat Melayu menjadi Masyarakat Gemilang, PM Lee mengakhiri ucapannya: "Saya yakin masyarakat Melayu akan bertambah maju, tahun demi tahun." 

Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan