Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inuka, si beruang kutub Taman Haiwan S'pura sakit tenat, mungkin terpaksa dimatikan

Beruang kutub terkenal di Taman Haiwan Singapura, Inuka, sedang sakit tenat dan mungkin terpaksa dimatikan selepas pemeriksaan kesihatan bulan ini, demikian menurut Wildlife Reserves Singapore (WRS) hari ini (12 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Inuka, si beruang kutub Taman Haiwan S'pura sakit tenat, mungkin terpaksa dimatikan

Beruang kutub, Inuka. (Gambar: Wildlife Reserves Singapore)

Diterbitkan : 12 Apr 2018 04:38PM Dikemas Kini : 12 Apr 2018 04:42PM

SINGAPURA: Beruang kutub terkenal di Taman Haiwan Singapura, Inuka, sedang sakit tenat dan mungkin terpaksa dimatikan selepas pemeriksaan kesihatan bulan ini, demikian menurut Wildlife Reserves Singapore (WRS) hari ini (12 Apr).

Beruang kutub yang pertama dilahirkan di kawasan tropika yang kini berusia 27 tahun itu diperiksa oleh sepasukan veterinar Selasa lalu (10 Apr). Menurut WRS, pasukan itu mendapati bahawa kesihatannya "merosot dengan ketara".

Inuka yang mengalami artritis, masalah gigi dan kadangkala jangkitan telinga, kini semakin kaku dalam gaya jalannya, terutama sekali pada bahagian belakangnya. Gaya jalan yang tidak normal menyebabkan tapak kakinya melecet.

Selain itu, pasukan itu juga mengesan kelemahan otot dek usia tua, menurut WRS.

Ahli veterinar sudah meningkatkan rejim jagaan hariannya untuk menyertakan rawatan intensif bagi kakinya dan juga memberinya ubat penghilang kesihatan serta antibiotik.

Pemeriksaan veterinar kedua dijadualkan pada hujung April untuk "mendapatkan keterangan lebih lanjut" tentang kesihatannya. Jika Inuka tidak bertambah baik, pakar-pakar haiwan mungkin harus "membuat keputusan yang sukar" untuk menyuntik mati beruang kutub tersebut, demikian didedahkan WRS.

SESI INTERAKSI DENGAN INUKA DITANGGUH

WRS selanjutnya menyatakan bahawa sepanjang tiga bulan kebelakangan ini, Inuka kelihatan kurang aktif dan ia kini lebih cenderung untuk berehat berbanding menyertai sesi interaksi harian bersama para penjaganya.

Ia juga kurang berenang dan kelihatan kurang berminat dalam kegiatan sehariannya yang melibatkan mainan seperti kon trafik, bola dan ais yang dimuatkan dengan makanan kegemarannya.

Namun, WRS menambah: "Walaupun sesi interaksi harian bersama beruang kutub sudah ditangguh untuk membolehkan Inuka berehat, para peminat masih boleh terus menziarahinya di Frozen Tunda di Taman Haiwan Singapura."

Hakikatnya, Inuka yang dilahirkan pada 26 Disember 1990 di Taman Haiwan Singapura sudah menjangkaui jangka hayat beruang kutub, menurut WRS.

Puratanya, jangka hayat beruang kutub dalam jagaan adalah 25 tahun dengan jangka hayat 15 hingga 18 tahun bagi beruang kutub jantan. 

Sumber : CNA/SM/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan