Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Intai khazanah lama di Sungei Road Green Hub

Masih ingatkah anda akan Pasar Lambak Sungei Road? Ia merupakan tempat kunjungan ramai bagi mendapatkan barang-barang terpakai, antik atau lama pada suatu ketika dahulu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masih ingatkah anda akan Pasar Lambak Sungei Road?

Ia merupakan tempat kunjungan ramai bagi mendapatkan barang-barang terpakai, antik atau lama pada suatu ketika dahulu.

Selepas beroperasi selama lebih 80 tahun, tempat yang juga dipanggil "Pasar Pencuri" atau "Robinson Petang" itu ditutup pada tahun 2017.

Aada di antara penjajanya berpindah ke tempat lain, manakala ada pula yang memilih untuk bersara.

BERITA jelajah menemui sebilangan mereka yang mendapat peluang untuk kembali berniaga di sebuah lokasi berdekatan tapak pasar lambak yang lama.

ILHAM BANGUNKAN KEDAI BERPUTIK SEMASA TEMPOH COVID-19

Terletak di 28 Kelantan Lane, Sungei Road Green Hub menempatkan sekitar 20 penjaja asal dari pasar lambak Sungei Road.

Dibuka pada awal September lalu, ia diusahakan oleh kumpulan relawan The Saturday Movement sebagai ruang alternatif untuk para penjaja itu terus berniaga.

(Gambar: BERITAmediacorp)

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

"Apabila tempat ini ditawarkan untuk disewa semasa COVID-19, saya kata, mari kita sewa tempat ini supaya mereka ada ruang yang tetap.

"Saya rasa semua penjaja di sini juga gembira kerana semuanya lebih teratur," ujar pengasas The Saturday Movement, Raymond Khoo.

Apabila BERITA jelajah ke kedai itu pada Selasa lalu (20 Okt), hingar-bingar tawar menawar dan para penjaja yang saling berborak diiringi alunan muzik akordion membuatkan kami seolah-olah kembali berada di pasar lambak Sungei Road.

LEBIH 200 BARANG TERPAKAI, ANTIK DIJUAL

Dengan lebih 200 barang terpakai dan ada di kalangannya berstatus antik, suasana Sungei Road seakan hidup semula di situ.

Malah, menjejakkan kaki ke sana juga membawa pengunjung kembali ke zaman nenek moyang mereka.

Dari acuan tembaga, komik lama hingga ke mesin taip, barang-barang antik itu mengimbau nostalgia tersendiri.

Bagi generasi muda tempat itu juga memberi mereka peluang untuk mengintai khazanah lama dari generasi sebelumnya.

Sambil memegang sebuah acuan tembaga untuk membuat kuih baulu, Encik Raymond berkongsi bahawa golongan generasi muda khususnya, mungkin tidak tahu kisah di sebalik semangat kejiranan semasa menggunakan acuan tembaga itu.

"Hari Raya semua orang berkumpul buat kuih bahulu. Namun apa yang menarik, ramai orang tidak tahu - maksud saya golongan muda seperti anda, kami letakkan arang di sini untuk memasaknya.

"Jadi apabila ia siap, kami mengeluarkan semua arang ini dan ia terus masak di dalam bekas ini," jelas Encik Raymond.

BARANGAN DIJUAL PADA HARGA 10-20% LEBIH MURAH

Menurut Encik Raymond lagi, barang-barang yang dijual di Sungei Road Green Hub pula sekitar 10 hingga 20 peratus lebih murah berbanding kedai-kedai lain.

Bagi para pengunjung yang bijak tawar menawar, barangan yang berkenan di hati boleh diperolehi pada harga yang berpatutan.

Meskipun kini ia lebih teratur dan bertembokkan simen, suasana di pasar lambak yang lama dihidupkan semula di ruang kedai Sungei Road Green Hub.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan