Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Insiden MRT: Para penumpang terpaksa keluar rumah lebih awal; bas percuma disediakan

 Perkhidmatan MRT di empat stesen laluan Timur Barat antara Stesen Joo Koon dengan Tuas Link, terus digantung hari ini (16 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perkhidmatan MRT di empat stesen laluan Timur Barat antara Stesen Joo Koon dengan Tuas Link, terus digantung hari ini (16 Nov).

Bagaimanapun para penumpang disediakan dengan khidmat bas percuma di keempat-empat stesen bagi melicinkan perjalanan, menyusuli perlanggaran dua kereta api di Stesen Joo Koon semalam (15 Nov).

Menyusuli perlanggaran tersebut, khidmat di stesen MRT Gul Circle, Tuas Crescent, Tuas West Road dan Tuas Link digantung untuk sementara waktu.

Pihak SMRT menyatakan, tindakan itu perlu sementara siasatan menyeluruh dijalankan bersama Thales, syarikat yang bertanggungjawab atas sistem isyarat SMRT.

Yang pasti, para penumpang yang BERITAMediacorp temui hari ini menyatakan, mereka perlu mengubah jadual perjalanan supaya tidak lambat ke tempat kerja.

"Saya perlu keluar rumah awal 20 minit untuk ke Tuas Link," kata seorang penumpang.

"Khidmat kereta api hanya sampai ke Joo Koon. tapi saya perlu ke Tuas. Jadi saya keluar rumah 20 hingga 25 minit lebih awal," tambah seorang penumpang lain bernama Jitendar Kumar.

Demi memastikan perjalanan penumpang tidak terganggu, SMRT menyediakan kemudahan percuma untuk membawa penumpang yang perlu menyambungkan perjalanan ke empat stesen yang terjejas.

Pemantauan BERITAMediacorp mendapati keadaan di kawasan berkenaan berjalan begitu lancar sekali, dengan banyak perkhidmatan bas yang disediakan bagi membawa penumpang ulang-alik dari stesen MRT Joo Koon ke stesen MRT Tuas Link.

Malah setiap tiga hingga lima minit, bas-bas ini akan tiba membawa penumpang yang hanya perlu menunggu buat beberapa ketika sahaja sebelum ia bergerak.

Khidmat percuma itu disediakan sepanjang hari. Penumpang boleh menaikinya di perhentian bas yang terletak di pintu keluar B stesen MRT Joo Koon.

Bagi mengawal keadaan, beberapa pegawai turut dikerahkan di stesen-stesen tersebut untuk memastikan para penumpang dapat meneruskan perjalanan mereka dengan lancar.

"Kakitangan MRT sangat mesra, (mereka) tunjukkan di mana untuk naik (dan) di mana untuk turun. Mula-mula kelirulah tapi ada pegawai jaga. Mereka sudah tunjukkan, (baru) saya fahamlah," kata seorang penumpang yang terjejas.

Namun demikian, ada juga yang meluahkan keprihatinan mereka tentang kekerapan berlakunya kerosakan MRT.

Perkhidmatan ke stesen-stesen lain sepanjang laluan Timur Barat berjalan seperti biasa.

Namun SMRT belum memberi kepastian mengenai bila perkhidmatan MRT ke empat stesen terjejas akan dimulakan semula.

Menyusuli perlanggaran kereta api semalam, Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam meluahkan menerusi Facebooknya, beliau faham mengapa orang ramai berasa geram.

Namun, beliau menambah bahawa beliau "yakin" Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan akan dapat memulihkan keadaan.

 

Sumber : BERITA Mediacorp/AY/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan