Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Insiden bekalan elektrik terputus peringatan untuk perkukuh kebingkasan sektor tenaga

Insiden bekalan elektrik terputus di beberapa estet merata Singapura minggu ini satu peringatan kepada negara untuk terus memperkukuhkan kebingkasan sektor tenaga, kata Setiausaha Parlimen Kanan Perdangangan dan Perusahaan merangkap Ehwal Luar Tan Wu Meng. 

Anggaran Waktu Membaca:
Insiden bekalan elektrik terputus peringatan untuk perkukuh kebingkasan sektor tenaga

Flat-flat di kawasan ubi terjejas akibat bekalan elektrik yang terputus pada Selasa. (Gambar: pembaca Channel NewsAsia)

Diterbitkan : 20 Sep 2018 02:58PM Dikemas Kini : 20 Sep 2018 03:02PM

SINGAPURA: Insiden bekalan elektrik terputus di beberapa estet merata Singapura minggu ini satu peringatan kepada negara untuk terus memperkukuhkan kebingkasan sektor tenaga, kata Setiausaha Parlimen Kanan Perdangangan dan Perusahaan merangkap Ehwal Luar Tan Wu Meng semasa mengumumkan beberapa inisiatif untuk mempertingkat sistem tenaga Singapura hari ini (20 Sep).

Berucap di acara Inovasi Tenaga Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Dr Tan berkata bahawa insiden itu menarik perhatian kepada peri pentingnya keselamatan tenaga.

"Baru-baru ini, kami dapat melihat sendiri peri pentingnya keselamatan dan kebingkasan sektor tenaga ketika ramai penduduk tiba-tiba terjejas dengan bekalan elektrik terputus pada awal pagi Selasa," kata Dr Tan.

"Saya berjaga sehingga lewat malam pada hari itu, selepas bertemu dengan beberapa penduduk. Saya mengikuti perkembangan insiden itu yang mula dikongsi di media sosial pada sekitar 1.30 pagi - beberapa minit selepas bekalan elektrik terputus," kata beliau.

"Saya juga menerima banyak emel dan kiriman WhatsApp daripada pasukan EMA yang bekerja keras sepanjang malam, memberi respons dan menyiasat perkara yang berlaku."

Pihak penguasa akan terus menjalankan siasatan terhadap insiden itu, kata Dr Tan, sambil menambah bahawa "apa pun hasil siasatannya, kami akan belajar dan melakukan lebih baik lagi."

GERAN PERKUKUH RANGKAIAN BEKALAN ELEKTRIK

Dr Tan mengumumkan bahawa geran penyelidikan bernilai S$15 juta akan diberikan kepada tujuh projek yang bermatlamat memperkukuhkan rangkaian bekalan elektrik Singapura di samping mempertingkat kebingkasan sistem kuasa serta pasaran tenaga Singapura.

Projek-projek itu, yang dipilih EMA selepas membuka permohonan geran pada Mei lalu, dijangka selesai dijalankan menjelang 2021.

Ia akan memanfaatkan teknologi-teknologi seperti 'blockchain', analitik data dan kecerdasan buatan (AI).

Institusi-institusi yang terlibat dalam projek-projek itu termasuk Universiti Nasional Singapura, Universiti Teknologi Nanyang dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura.

Dalam pada itu, EMA dan Enterprise Singapore juga secara bersama melancarkan satu permohonan geran bagi syarikat-syarikat kecil dan sederhana untuk membangunkan huraian yang mengoptimumkan permintaan tenaga, serta penggunaan tenaga suria di dalam dan luar negara.

Buat julung-julung kalinya juga, Pemerintah memperluaskan Program Bekerja dan Belajar SkillsFuture kepada penuntut politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal dalam bidang kejuruteraan tenaga dalam sektor awam, yang memperuntukkan S$5,000 bagi setiap individu yang layak, umum Dr Tan. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan