Images
  • fadil
    Muhammad Fadil Sulaiman dikhabarkan meninggal dunia selepas meninggal dunia di sebuah stesen MRT. (Gambar: Mohammad Bahrul-Ulum/Facebook)

Insan istimewa sering dilihat di masjid merata S'pura, Fadil, meninggal dunia

SINGAPURA: Barangkali insan istimewa ini pernah menyapa anda. Kalau anda sering ke masjid, anda juga pasti pernah sekali dua terserempak dengannya.

Pada Rabu (16 Dis), Muhammad Fadil Sulaiman dikhabarkan meninggal dunia. Beliau dikenali ramai sebagai seseorang yang suka menziarahi masjid-masjid merata Singapura sejak usianya remaja lagi - untuk mengikuti ceramah mahupun majlis-majlis selawat dan maulid.

Insan istimewa itu antara lain pernah dilihat di Masjid Kassim, Masjid En-Naeem dan Masjid Darul Makmur. Ada kalanya beliau bahkan membantu mengutip derma meski dalam keadaan serba sederhana.

Sekali sekala juga, Allahyarham akan mendampingi jemaah untuk membantunya menggunakan telefon bimbit.


Menurut seorang pendakwah tempatan, Ustaz Mohd Bahrul-Ulum, Allahyarham Fadil akan dikebumikan hari ini (17 Dis).

Menerusi satu catatan Facebook semalam, beliau mengkhabarkan bahawa beberapa syarikat pengurusan jenazah sudah menghubunginya untuk membantu keluarga Allahyarham Fadil menguruskan jenazah secara ikhlas dan percuma.

"Ada juga beberapa Asatizah yang menghubungi saya untuk menanggung semua kos pengurusan jenazah beliau termasuk murid-murid saya di (Masjid) An-Nur," tulis Ustaz Bahrul-Ulum.


(Gambar: Mohammad Bahrul-Ulum/Facebook)

Namun, segala pengurusan jenazah akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak PERGAS, jelas beliau.

Jenazah dipercayai masih di Hospital Besar Singapura (SGH) setakat lewat malam Rabu (16 Dis).

Selebriti tempatan, Syah Ibrahim, turut mengesahkan Allahyarham Fadil sudah tiada menerusi 'FB Live' beliau.

Allahyarham Fadil dikenali Syah kerana sering "muncul" di pejabatnya.


"Walaupun Allahyarham tidak pernah meminta, kami faham kalau beliau singgah tu, mungkin beliau lapar, kekurangan wang, nak caj telefon bimbit atau sekadar berehat di pejabat kami," tulis pemilik syarikat Orange itu.

Menerusi 'FB Live' Syah di SGH, pihak keluarga Allahyarham Fadil menjelaskan, insan istimewa itu dipercayai terjatuh di sebuah stesen MRT pada sekitar 2.40 petang Rabu (16 Dis).

Seorang lagi rakan selebriti yang terkesan dengan pemergian Fadil ialah pengacara popular Khairudin Samsudin.

Dalam catatan Facebooknya, Khai turut mengongsi pengalaman yang menyentuh hatinya ketika kali terakhir bertemu Allahyarham di Singapore Expo.


Dengan rendah hati, Allahyarham menghulurkan sebungkus nasi beriani dan dua botol air kepada Khai kerana 'kasihan' melihat Khai sibuk bekerja.

Walaupun dipujuk supaya beliau sendiri yang menjamu nasi beriani itu, Allahyarham bertegas mahu memberikannya kepada Khai.

Siapa sangka Allahyarham Fadil juga disanjung oleh Timbalan Mufti Dr Mohammad Hannan Hassan.


Dalam ucapan takziahnya yang cukup mendalam, Dr Hannan menulis Allahyarham Fadil mengajarnya "lebih dari apa yang aku ajarkannya."

"Dia menyentuh hati bukan dengan hujah, syariah. Tetapi dengan senyuman, tawa riang dan keistimewaannya. Jalan ke Syurga mu terlalu luas," luah Dr Hannan.  

Turut mengimbas bibit-bibit kenangan manis bersama Allahyarham ialah atlit kurang upaya negara, Md Shariff Abdullah yang lebih dikenali sebagai 'Singapore Blade Runner'.


Dalam catatannya di Facebook, beliau mengongsi bahawa Allahyarham adalah seorang yang cukup periang dan mesra bergurau senda.

Mengakhiri catatannya, Shariff berkata: "Beliau adalah seorang insan yang istimewa dan disayangi masyarakat." 

- BERITAmediacorp/aq

Top