Images
  • inisiatif suai maju
    Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa melawat Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat pada 11 Januari 2019. 

Inisiatif Suai Maju sudah bantu 30,000 rakyat S'pura dapat kerja baru pada 2018

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata program Inisiatif Suai Maju sudah membantu 30,000 rakyat Singapura mendapatkan pekerjaan baru tahun lalu.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding 25,000 pekerjaan baru yang diwujudkan dalam tahun 2017 melalui inisiatif tersebut.

PM Lee berkata demikian semasa melawat Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat hari ini (11 Jan).

Menurut PM Lee, sedang data ekonomi menunjukkan rentak pertumbuhan ekonomi Singapura berjalan lancar, negara ini mesti meneruskan usaha penyusunan semula.

PM Lee berkata sektor-sektor yang berlandaskan eksport sedang berkembang pesat. Namun, pertumbuhan sektor perkhidmatan dalam negeri adalah lebih perlahan.

Semasa lawatan ini, PM Lee yang diiringi Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo menemui para pencari kerja yang menggunakan Careers Connect dan berjaya mendapatkan pekerjaan.

Mereka diberi taklimat mengenai usaha WSG melancarkan transformasi teknologi dalam empat sektor iaitu pengilangan, keselamatan, runcit dan kewangan.

Para pengunjung juga dapat menyaksikan bagaimana WSG bekerjasama dengan majikan untuk menganjurkan latihan khusus kepada para pekerja bagi menguasai teknologi dan meningkatkan keuntungan syarikat.

Dua individu berkongsi bagaimana program di bawah Inisiatif Suai-Maju sudah membantu mempersiapkan mereka bertukar kerjaya dalam ekonomi baru serta relevan dan kekal bekerja.

DAPAT LUASKAN KHIDMAT DENGAN KEMAHIRAN BARU

Setelah lebih 10 tahun bekerja dengan bank DBS, Cik Nahariah Mohd Nor mengalami sendiri perubahan dalam tuntutan kerjanya dalam penggunaan teknologi digital.

Cik Nahariah mengambil inisiatif mengikuti kursus di bawah Program Penukaran Profesional (PCP) dan kini boleh menghulurkan khidmat lebih luas kepada para pelanggan menerusi wadah-wadah digital DBS.


Gambar Cik Nahariah bersama Ketua Negara Singapura DBS Shee Tse Koon (kiri) dan Ketua Sumber Manusia Singapura Bank DBS, Theresa Phua (kanan).

Di samping menghadiri kelas latihan, beliau juga menjalani latihan sambil bekerja dan lakon peranan selama enam minggu.

"Sepanjang saya dalam latihan, saya diajar macam mana hendak buat segala transaksi dengan pelanggan melalui video. Semua latar belakang atau apa segala yang saya perlu untuk menjalankan transaksi pelanggan itu semua dalam komputer," kongsi Cik Nahariah Mohd Nor, Pegawai Khidmat Pelanggan bersama DBS.

KEJAR MINAT DALAM ROBOTIK KERANA LIHAT POTENSI INDUSTRI ITU BERKEMBANG

Dari sektor minyak dan gas kemudian ke industri pembuatan, Encik Fazli Abu Bakar menyertai Inisiatif Bekerja Sambil Berlatih (A&T) pada awal 2018 dan kini bertugas sebagai seorang jurutera robotik.

Minat lulusan diploma lanjutan Kejuruteraan Mekanikal itu dalam bidang automasi dan robotik mendorong beliau untuk menukar kerjaya.

Setelah enam bulan menimba kemahiran dalam pengekodan bersama penyedia latihan RACE Academy, pada Oktober tahun lalu, beliau ditawarkan bekerja dengan sebuah firma Amerika Syarikat yang berpangkalan di Singapura iaitu GLOBAL Automation Technologies.

Biarpun baru empat bulan bekerja dalam tugas barunya itu, Encik Fazli sudah dihantar ke luar negara seperti Afrika Selatan baru-baru ini untuk menyumbang kepakaran yang diraih dalam projek-projek automasi.

"Saya rasa kita perlu kemahiran robot. Di samping memprogram dan pengekodan, kita perlu juga belajar cara menyenggara robot. Itu adalah kemahiran yang perlu di Singapura sebab saya rasa robotik dalam industri Singapura akan maju," ujar Encik Fazli lagi.


Gambar Encik Fazli (paling kiri) di Pameran Galeri WSG.

Kedua-dua Encik Fazli dan Cik Nahariah merupakan dalam kalangan 17,000 individu yang mendapat manfaat daripada Inisiatif Suai-Maju pada tempoh enam bulan pertama tahun lalu.

- BERITAmediacorp/FZ/ai

Top