Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inisiatif Suai-Maju menepati sasarannya untuk bantu mereka yang memerlukan, kata Josephine Teo

Cik Nahariah Mohd Noor, seorang juruwang sebuah bank, yang berusia 45 tahun, ingin berhenti kerja pada hari pertama beliau menjalani latihan sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan digital.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Feb 2018 04:21PM Dikemas Kini : 09 Feb 2018 10:40PM

SINGAPURA: Cik Nahariah Mohd Noor, seorang juruwang sebuah bank, yang berusia 45 tahun, ingin berhenti kerja pada hari pertama beliau menjalani latihan sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan digital.

"Saya rasa amat tertekan. Masalahnya ialah semua urusan melibatkan komputer dan saya harus belajar banyak perkara. Jadi, saya mengirim emel kepada HR dan minta mereka untuk menghantar saya pulang ke cawangan bank. Pengurus HR saya menggesa saya cuba bertahan untuk enam bulan lagi," kata beliau.

Beliau amat berterima kasih atas nasihat itu kerana perbankan online telah mengubah cara pelanggan berinteraksi dengan bank.

Kini, kerja beliau di Bank DBS termasuk membantu para pelanggan menerusi mesin pengeluaran wang video atau maya (VTM) jika mereka tidak mempunyai kad bank mereka atau token selepas waktu bank ditutup.

Ini nasihat beliau kepada mereka yang sedang melalui perubahan kerjaya: "Mereka harus menerimanya dengan hati terbuka dan menerima perkara baru, cabaran baru. Lihat sahaja diri saya ini, kalau saya tidak mencuba VTM dan saya teruskannya dan mereka menghantar saya kembali ke pejabat cawangan, saya mungkin tidak tahu saya boleh melakukannya."

Cik Naharih merupakan salah seorang daripada 3,300 rakyat Singapura yang menjalani Program Penukaran Profesional (PCP) tahun lalu. Program di bawah inisiatif Suai Maju oleh Kementerian Tenaga Manusia, ini memudahkan pekerja pertengahan kerjaya untuk menukar kerjaya mereka.

Perangkaan tersebut seganda daripada jumlah rakyat Singapura yang mengikut serta program tersebut pada 2016.

PERUBAHAN SUSAH TAPI BOLEH DILAKUKAN

Menteri Kedua Tenaga Manusia Josephine Teo mendedahkan kepada wartawan Mediacorp semasa wawancara Selasa lalu (30 Jan) bahawa "kita tidak seharusnya hanya melihat pada nombor bagi menilai sama ada program itu menepati sasarannya."

Daripada 3,300 peserta, separuh merupakan pekerja dari bidang penjagaan kesihatan, infokomunikasi dan media, perdagangan borong, khidmat profesional dan khidmat kewangan.

Bidang-bidang tersebut dikenal pasti tahun lalu untuk mendapatkan bantuan lebih fokus. Ini memandangkan mereka merupakan bidang berisiko tinggi diancam perubahan struktur, meskipun terdapat pekerjaan baru bagi tahun-tahun depan.

"Bank-bank sedia maklum dengan kemajuan teknologi, interaksi dengan pelanggan akan berubah dengan drastik. Pada masa akan datang, kita mungkin tidak memerlukan kakitangan yang ramai di kaunter. Namun begitu pada masa yang sama, bank-bank ini mempunyai keperluan baru, contohnya, para pekerja yang boleh melakukan penjualan digital. Bank-bank itu juga memerlukan pekerja untuk melakukan analisis data," kata Cik Teo.

PCP merupakan salah satu program di bawah Inisiatif Suai Maju yang membantu rakyat Singapura yang terjejas oleh kelembapan ekonomi dan penyusunan semula struktur menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan pekerjaan dan mempertingkatkan kemahirkan mereka.

Tahun lalu, lebih 24,000 individu dapat mencari pekerjaan menerusi inisiatif Suai Maju. Sekitar 62 peratus melibatkan pemadanan pekerjaan manakala 38 peratus pula menerima bantuan menerusi Program Sokongan Kerjaya dan P-Max.

Program Sokongan Kerjaya membantu golongan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) yang menganggur lebih daripada enam bulan dengan memberikan sokongan gaji jangka pendek bagi menggalak majikan untuk menggajikan mereka. Lebih 1,100 PMET memanfaatkan program ini.

P-Max pula, membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk mengambil, melatih dan mengekalkan para pekerja baru mereka.

Merujuk kepada jumlah tersebut, Cik Teo berkata, inisiatif Suai Maju berjaya menepati sasaran dengan menyediakan sokongan tambahan kepada mereka yang memerlukan.

Daripada lebih 24,000 individu yang ditempatkan, lebih separuh merupakan PMET. Lebih separuh juga berusia 40 tahun ke atas dan sekitar 30 peratus menganggur jangka panjang enam bulan atau lebih.

"Saya rasa jika diberi pilihan, ramai dalam kalangan kita memilih untuk kekal dengan syarikat pertama kecuali sekitaran pekerjaannya sudah tidak lagi elok. Dengan itu langkah yang praktikal adalah apakah mungkin membolehkan sebanyak PMET melakukan serupa?" kata Cik Teo.

"Caranya adalah untuk bekerjasama dari awal lagi dengan setiap syarikat yang perlu berubah. Mereka perlu menjalani penyusunan semula. Jadi, amat jelas bahawa beberapa pekerjaan harus ditiadakan. Tetapi pada masa yang sama, mereka juga mewujudkan pekerjaan baru, dan kami boleh membantu para pekerja menyesuaikan diri berpindah dari pekerjaan lama mereka ke pekerjaan baru," tambah beliau. 

Sedang syarikat-syarikat terus menjalani penyusunan semula untuk menjadi lebih produktif dalam pasaran tenaga manusia yang semakin ketat, keadaan di mana kemahiran dan pekerjaan yang tidak cocok terus menjadi satu cabaran. 

Buat SME pula, sekitar 6,700 syarikat sudahpun memanfaatkan program Pembangunan Perusahaan Lean yang diperkenalkan pada 2015. Program tersebut memberi kelonggaran kepada SME dalam mengambil pekerja asing. 

PENTING UNTUK KEKALKAN MOMENTUM

Cik Teo juga menyentuh tentang perangkaan terkini yang diterbitkan kementeriannya.

Perangkaan awal Laporan Tenaga Kerja pada bulan Januari itu menunjukkan pemberhentian kerja lebih rendah pada 2017 iaitu 14,340 berbanding 19,170 pada tahun sebelumnya.

Kadar pengangguran pula berada pada paras 2.1 peratus pada bulan Disember, juga kurang sedikit berbanding 2.2 peratus pada bulan September.

"Kami melihat tanda-tanda positif dari segi pemberhentian kerja yang merosot, pengangguran masih rendah dan sebenarnya menurun sedikit. Apa yang penting ialah untuk memberi perhatian kepada momentum yang telah dihasilkan dan cuba lihat sama ada kita boleh mengekalkannya," kata Cik Teo. 

Sumber : CNA/FA/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan