Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inisiatif M3: Berdayakan juga para sukarelawan untuk membantu

 Berdayakan para sukarelawan dan anggota masyarakat agar menjadi satu ekosistem mapan, dalam usaha membantu pergerakan M³ (MUIS, MENDAKI, MESRA).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Berdayakan para sukarelawan dan anggota masyarakat agar menjadi satu ekosistem mapan, dalam usaha membantu pergerakan M³ (MUIS, MENDAKI, MESRA).

Langkah tersebut pada akhirnya akan membantu memperbaiki landskap masyarakat Melayu/islam di sini.

Demikian menurut Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara, Zaqy Mohamad dan Anggota Parlimen Cik Rahayu Mahzam, dalam forum dasar pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) anjuran MESRA malam semalam (28 Ogos).

RAHAYU: ANJAKAN PARADIGMA BAGI SELARAS USAHA BANTU MASYARAKAT

Sesi dialog itu disertai hampir 100 peserta meliputi para pemimpin akar umbi, masjid, badan-badan tempatan dan kesatuan pelajar.

Antara persoalan dan keprihatinan utama yang diutarakan dalam sesi itu termasuk - apakah peranan para sukarelawan dan anggota masyarakat untuk sama-sama libatkan diri dalam pelaksanaan M³?

Serta apakah antara ruang-ruang yang perlu diisi golongan itu bagi menguatkan lagi sinergi ketiga-tiga badan M³ itu?

Menjawab pertanyaan yang diajukan itu, Cik Rahayu Mahzam berkata walaupun rangka kerja bagi MUIS, MENDAKI dan MRESRA masih dalam fasa perancangan, beliau membayangkan adanya satu ekosistem mapan yang bukan sahaja tertumpu kepada pendekatan 'dari atas ke bawah'.

Sebaliknya lebih penting lagi kata beliau adalah 'pemberdayaan' yang dihasilkan oleh gerakan anggota masyarakat dan para sukarelawan sendiri.

Ini menurutnya boleh dicapai menerusi pelibatan dan gerakan relawan menerusi rangkaian M³, khususnya peranan MESRA yang 'benar-benar berada di sisi masyarakat'.

"Mungkin kita pada suatu waktu ada pandangan tertentu tentang bagaimana MESRA itu menjalankan tugas mereka atau apakah perkara-perkara yang mungkin dilakukan oleh MESRA, mungkin perlu adanya perubahan fikiran, anjakan paradigma sedikit untuk membantu kita menyelaraskan MESRA dengan usaha untuk membantu meningkatkan masyarakat," kongsi Cik Rahayu.

"Jadi sekiranya ianya perlu untuk kita menguatkan tenaga sukarelawan, kita perlu mungkin berikan latihan ataupun bimbingan kepada sukarelawan kita untuk boleh sama-sama menggalas tanggungjawab ini pergi mencari, memberi bantuan, memberi informasi ini mungkin perlu dilakukan."

ZAQY: PENTING DAPATKAN PANDANGAN RELAWAN

Encik Zaqy pula mahu para sukarelawan yang melibatkan diri dalam projek perintis itu dapat bertindak sebagai penggerak dalam mengisi jurang, agar landskap masyarakat Melayu/Islam yang lebih utuh, dapat dicapai.

Maka itu ujar beliau, memang penting pihaknya menggunakan masa ini untuk mendekati para sukarelawan bagi mendapatkan pandangan mereka tentang inisiatif-inisiatif yang diketengahkan oleh Perdana Menteri.

"Kami memang mempunyai minda yang terbuka untuk mengambil apa-apa cadangan ataupun saranan daripada masyarakat, jika mereka rasa mereka ingin membantu ataupun memberi kata bulat atau maklum balas kepada kami," kata Encik Zaqy.

Selain daripada gerakan pengukuhan sukarelawan, kedua-dua AP itu menekankan bahawa ia mempunyai data-data daripada pelbagai agensi pemerintah yang boleh digunakan untuk memantapkan lagi ekosistem M³. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan