Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inisiatif baru Perikatan Untuk Bertindak pertingkat usaha lindungi wanita, kanak-kanak perempuan dari gangguan online

Satu Perikatan Untuk Bertindak yang baru bagi menangani gangguan online, khususnya yang disasarkan terhadap kaum wanita dan budak perempuan dilancarkan pada Rabu (21 Jul) oleh Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Jul 2021 03:29PM Dikemas Kini : 21 Jul 2021 10:20PM

SINGAPURA: Satu Perikatan Untuk Bertindak yang baru bagi menangani gangguan online, khususnya yang disasarkan terhadap kaum wanita dan budak perempuan dilancarkan pada Rabu (21 Jul) oleh Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI).

Perikatan Untuk Bertindak adalah gabungan yang diterajui oleh industri dan gabungan ini bekerja rapat dengan Pemerintah.

Ini selepas MCI mendampingi lebih 360 pihak berkepentingan sejak Februari tahun ini berhubung isu-isu seperti gangguan berdasarkan jantina yang berteraskan teknologi, interaksi online yang tidak disenangi dan wadah-wadah online yang menggalak maksiat dan gangguan, menurut satu kenyataan media.

"Kami telah membincangkan kesan yang sangat membimbangkan mengenai gangguan-gangguan online ini, khususnya terhadap kaum wanita dan kanak-kanak perempuan," menurut Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara Sim Ann, yang mempengerusikan perikatan tersebut dengan Setiausaha Parlimen MCI Rahayu Mahzam.

"Melalui pendampingan kami, kami mendapati bahawa terdapat pengiktirafan luas yang menyifatkan gangguan sedemikian sebagai sesuatu yang memprihatinkan masyarakat," ujar beliau.

"Terdapat juga tekad kolektif yang kuat untuk menolong wanita dan anak perempuan kita, merapatkan jurang dan mengatasi kelemahan pada keselamatan digital agar mereka dapat menikmati tahap kebebasan dan keyakinan yang sama semasa berurusan online seperti yang mereka lakukan dalam kehidupan sebenar."

Perikatan itu akan menumpukan perhatian kepada usaha "merapatkan jurang dan kelemahan pada keselamatan digital" dan "mengambil tindakan untuk mempertingkatkan kebebasan dan keselamatan" kaum wanita dan kanak-kanak perempuan dalam persekitaran "digital pada masa akan datang", menurut kenyataan media MCI.

Salah satu saranan utama yang dibangkitkan dalam perbincangan tersebut adalah keperluan untuk membangunkan mekanisme sokongan dan prasarana bagi para mangsa gangguan online, dedah kenyataan media itu,

"Salah satu teras utama dalam usaha ini adalah untuk mewujudkan norma-norma yang lebih baik dalam membangunkan peranti dan ruang online yang lebih selamat dan bertanggungjawab," kata Cik Rahayu.

"Platform ini juga membolehkan para anggotanya untuk memperincikan beberapa masalah dengan lebih teliti dan mungkin tampil dengan huraian yang lebih bersasar."

Sambil akur bahawa ruang digital kian berubah-ubah, beliau menambah" "Kami mungkin bergantung kepada pengalaman dan kepakaran para anggota kami serta orang ramai untuk memberikan pendapat dan pandangan mereka supaya kita dapat terus membentuk dan menggesa orang ramai untuk bersikap lebih bertanggungjawab terhadap penggunaan peranti digital dan juga ruang digital."

Perikatan tersebut akan dilancarkan dengan seramai 48 anggota yang merangkumi kedua-dua sektor awam dan swasta bagi menangani isu gangguan online dalam lima bidang utama - pendidikan awam, kajian, sokongan mangsa, pendampingan belia dan kesukarelawanan.

Perikatan itu juga sedang meneroka kerjasama untuk menepati matlamat tersebut. MCI turut menyokong 'hackathon' masyarakat bersama dengan DBS dan Badan Kehakiman Singapura yang dilancarkan hari ini dengan matlamat untuk "menjana huraian-huraian inovatif" bagi mewujudkan ruang-ruang online yang lebih baik dan selamat.

Para individu yang berminat untuk sama-sama membanteras gangguan online dan menyumbang kepada perikatan tersebut dipelawa untuk berbuat demikian melalui go.gov.sg/mciafa.

Menjawab pertanyaan mengenai bagaimana perikatan tersebut merancang untuk menangani kesalahan-kesalahan yang tidak boleh ditangkap berkaitan dengan gangguan online seperti mengambil gambar wanita tanpa diminta di ruang-ruang awam dan kemudian mengongsikannya secara online," Cik Sim berkata para anggota mempunyai "idea-idea yang baik" mengenai sumber-sumber untuk mendidik para individu kerana banyak tindakan ini sebenarnya boleh didakwa di bawah undang-undang.

Terdapat pengiktirafan bahawa perbincangan seperti ini perlu dimulakan untuk "membantu orang ramai memahami" bahawa sesuatu yang mungkin tidak salah di sisi undang-undang sekarang mungkin masih boleh menggugat keselamatan dan menjatuhkan maruah kaum wanita," tegas beliau. 

Sumber : CNA/AW/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan