Images
  • anisa hassan
    Anisa Hassan membangunkan sebuah aplikasi padanan jodoh untuk membantu orang bujang Muslim di Asia Tenggara mencari teman hidup mereka. (Gambar: Singapore: 40-Over-40)

Inilah cara pengasas app cari jodoh Muslim, Anisa Hassan, suntik inspirasi kepada kaum Hawa di sekelilingnya

SINGAPURA: Senarai sulung 'Singapore: 40-Over-40' meraikan kaum Hawa berusia 40 tahun ke atas yang menyuntik inspirasi kepada kita untuk menjalani kehidupan lebih baik dan melakukan perkara di luar kebiasaan kita. Ini termasuklah seorang pengasas aplikasi mencari jodoh Muslim, Anisa Hassan.

Beliau adalah antara nama yang tersorot dalam senarai tersebut di samping wanita-wanita daripada pelbagai latar belakang, semuanya berusia 40 tahun dan ke atas. Perjalanan hidup mereka mencerminkan pelbagai kejayaan yang boleh dijadikan sebagai pembakar semangat buat wanita lain.

YANG BOLEH BANTU ANDA TEMU JODOH

Menemui seorang sahabat sejati bukan senang, apatah lagi teman hidup yang berkongsi nilai dan pandangan yang sama dengan kita.

Bukan golongan bujang sahaja yang sukar mencari padanan cinta bahkan, mereka yang ingin membina semula mahligai selepas bercerai mahupun kematian suami atau isteri mungkin menghadapi stigma.

Cik Anisa adalah seorang rakan yang setiap anggota kaum Hawa perlukan untuk mengingatkan mereka bahawa wanita yang berusia lebih 40 tahun belum terlambat untuk mengejar cinta. Malah, memang fitrah kita sebagai manusia.

Cik Anisa mengasaskan Joompa pada 2018 iaitu sebuah aplikasi mencari jodoh yang membantu golongan bujang Muslim di Asia Tenggara untuk mencari pasangan hidup mereka. Joompa adalah permainan kata daripada 'jumpa'.

Cik Anisa berpendapat terdapat keperluan untuk mewujudkan wadah seumpama itu di mana orang bujang Muslim boleh berkenalan dengan selamat dan dipadankan dengan seseorang yang seagama serta berkongsi budaya yang sama dengan mereka.

Beliau merasakan misinya tercapai apabila berjaya membantu orang lain mencari cinta hati mereka, termasuk ratusan yang membina semula mahligai yang dilanda badai.

"Saya berasa puas apabila dapat memadankan orang bujang yang sudah berusia lebih 40, 50 dan 60 tahun serta membantu mereka mengatasi stigma bahawa mereka sudah jauh melepasi jangka hayat mereka," kongsi beliau.

Penganjur inisiatif itu, pengasas bersama Career Navigators Sher-li Torrey, berkata: "Kami memilih 40 dan bukannya 50 kerana penuaan bermula lebih awal di Asia." Career Navigators adalah anak syarikat Mums@Work, sebuah portal yang dikhususkan untuk menyokong kaum ibu yang bekerja di Singapura.

Pencalonan dibuka pada Mac 2021 dan ia menarik lebih 200 penyertaan bagi tiga kategori: Usahawan, penyumbang sosial dan individu yang beralih kerjaya atau memulakan pekerjaan baru.

Panel seramai sembilan juri memilih 40 pemenang namun Cik Torrey menekankan bahawa 'Singapore: 40-Over-40' bukanlah satu peraduan anugerah.

Beliau menjelaskan bahawa kayu ukur kejayaan ditakrif berdasarkan kisah wanita-wanita itu dan pegangan peribadi mereka dalam menyuntik inspirasi kepada wanita lain untuk turut sama mengecapi kejayaan.

UBAH PEMIKIRAN, PECAHKAN STEREOTAIP TENTANG PERANAN JANTINA


Menulis di akaun Facebooknya pada Selasa (22 Jun), Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura kerana menyokong gerakan masyarakat dalam meraikan pencapaian dan kemajuan berterusan kaum Hawa.

Menurut beliau, dalam Tahun Merai Wanita SG kali ini, maklum balas dan pandangan warga Singapura dari pelbagai latar belakang dikumpulkan.

Melalui lebih 100 sesi Perbincangan Mengenai Kemajuan Wanita Singapura - belia, ibu bekerja, suri rumah, pemimpin wanita dan kaum Adam telahpun berkongsi pandangan mereka tentang bagaimana negara boleh melakukan lebih banyak lagi bagi memperkasakan seterusnya kaum Hawa secara menyeluruh, kata Encik Masagos.

Beliau berkata satu bidang utama maklum balas yang diterima daripada para peserta adalah pengukuhan peranan jantina tradisional dalam masyarakat hari ini.

Pemikiran ini, jelas beliau, mungkin menghambat sebilangan lelaki menjadi lebih terlibat sebagai ayah serta suami di rumah. Majikan pula mungkin terhalang daripada memperkenalkan skim yang membolehkan lelaki dan wanita mempunyai tanggungjawab yang seimbang baik di tempat kerja mahupun di rumah.

"Sebagai sebuah masyarakat, kita perlu mengubah pemikiran seumpama itu. Lelaki dan wanita seharusnya bekerjasama sebagai pasangan. Di rumah, saya menggalak pasangan yang sudah berkahwin untuk berkongsi tanggungjawab sambil menyokong satu sama lain dalam kerjaya masing-masing," ujar Encik Masagos yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

"Saya telah melihat beberapa catatan baru-baru ini dengan tanda pagar #MakeTheNorm. Sungguh gembira melihat lelaki dan wanita memecahkan stereotaip. Khususnya, bagaimana kaum lelaki kita menyingsing lengan untuk membantu menyuap anak mereka makan, menyalin pakaian dan menjaga anak-anak mereka manakala wanita berjaya di tempat kerja, hasil sokongan kuat daripada suami mereka," tulisnya lanjut.

Encik Masagos turut menekankan bahawa perubahan minda memerlukan bantuan setiap orang.

"Marilah kita bekerjasama untuk memupuk sebuah masyarakat lebih inklusif bagi kaum lelaki dan wanita kita." 

- CNA/BERITAmediacorp/FZ/fz

Top